Rabu, 21 Julai 2021

NONA SINGAPURA

 



 NONA SINGAPURA 

Aku bersiul senang hati kerana akhirnya  aku sampai ke Singapura. Duduk di Geylang. Berkawan dengan Anuar  anak Pak Long Sani yang sebaya  dengan aku. Malah nama dia sama macam nama abang aku.

‘ Kita orang Geylang... bukan Tempinis... bukan Bedok...bukan Changi....kita orang geng Geylang... kita lagi hebat ... dari dia orang...’ Anuar dengan lorat Singapura berbangga menyebut beberapa nama kampung Melayu  di Singapura ini.
Semuanya nama-nama ini aku tak tahu dan tak pernah dengar. Yang selalu aku dengar di radio dalam program permintaan lagu ialah nama Hospital Kandang Kerbau.  Banyak lagu permintaan  ditujukan kepada ibu yang  dalam rawatan di hospital ini untuk melahirkan  anak.

Awalnya aku  agak malu bercakap lorat Nogoree. Tapi akhirnya aku tak segan dan terus bercakap  lorat Nogoree. Hanya aku tidak mengguna ganti nama  ese , eden dan doyan.  Hakikatnya aku  di Singapura tapi lorat Nogoree aku masih pekat.  Tak mungkin aku akan berubah.

Anuar membawa aku merayau-rayau di sekitar kawasan rumahnya. Aku perhatikan Geylang adalah kampung Melayu. Aku terperanjat  bila melihat  rumah  yang amat rapat sekali. Rumah pun bukan besar sangat. Tidak selumayan rumah di Kampung Tengkek.

‘ Pasal apa  bawah rumah  ado pagar.... ado kotak...roban ayam ko ..’ Aku bertanya.

‘ Ohhh... dia orang sewa bawah rumah... itu bukan kotak ayam... itu bilik ... atas  rumah besar  tuan duduk.. bawah rumah  dia orang sewa  buat  tempat tidur... ‘ Anuar memberi penjelasan.

Aku hairan. Tak pernah aku lihat kampung Melayu begini miskin – bawah rumah ada rumah. Bawah rumah    ada orang tidur. Bawah rumah pun jadi rumah sewa.

Kami melintasi  sederet pendek kedai China. Aku lihat tak jauh bezanya dengan kedai China di pekan Kuala Klawang. Aku nampak ada papan iklan  wayang.

‘ Ado panggung  ko wayang kek sini? ‘ Aku bertanya.

‘ Ada dalam  pekan .. jauh dari rumah ...  kita orang  kalau nak nonton filem...gambar Melayu... kita orang pergi ke sana...’ Anuar menggunakan perkataan  filem dan gambar Melayu dan  bukan nengok wayang.

Di kaki lima kedai aku ternampak terlantar beberapa helai  getah gelang, Aku ambil. Aku nampak satu lagi. Aku ambil lagi. 

‘ Kamu hendak buat  apa dengan  getah ini..’ Anuar bertanya hairan.

‘ Ekao tak main gotah .. tak main gotah ko kek sini ..’ Aku menjawab dengan bertanya.

‘ Main macam mana?  Anuar hairan.

Jawapan Anuar ini menjadikan aku lagi hairan kenapa budak-budak di Singapura tidak tahu main  getah. 
 
Semenjak petang itu mata aku terus memerhati ke jalan, ke tepi longkang, ke  kali lima kedai – mata aku mencari getah. Aku  mula memungut dan mengumpul getah gelang. Di lengan kiri aku telah ada gelang getah berwarna warni

Aku anggap Singapura ini kaya sekali. Getah gelang  boleh dipungut di tepi jalan. Di Kuala Klawang  kalau aku hendak main getah aku perlu membeli dari kedai China  5 sen untuk 35 helai.  

Di rumah Pak Long  Sani seperti ada jadual .Di waktu pagi Mak, Kak  Lang  dan Mak  Long Sani akan ke pasar.   Kemudian mereka bersama-sama memasak.  Kami makan tengah  dan malam di rumah.  

Di hari ke dua aku terdengar Emak aku dan  Mak Long Sani berbual. Mereka  menyebut beberapa nama. 

‘ Kamu Zaleha... kamu datang jauh wajib lawat Makam Habib Noh... kamu guru sekolah wajib  bawa anak-anak lihat Sekolah Gambar... kalau kamu  ada masa pergi lawat  How Par Villa... Si Budin tu pandai memandu.. kamu tidak akan sesat...’ Mak Long Sani memberi cadangan.

Kami anak beranak dari kampung hanya mendengar surah orang Singapura. Tidak ada satu pun nama-nama  yang dicadangkan oleh Mal Long Sani  terpasak dalam ingatan aku.   Semuanya  baru aku dengar. 

Pengetahuan aku tentang Singapura hanya melalui lagu R. Azmi. Aku hairan  kenapa  Mak Long  tidak menyebut Jambatan Merdeka. Tidak menyebut  Happy World.  Hanya R. Azmi yang menyebut nama-nama ini.

‘  Laki Wold ,  Happi Wold... ni apa ? Aku bertanya  kepada Anuar.

‘ Mana  kamu tahu ?’ 

‘ Dengar dari lagu  R. Azmi...’ Aku menjawab.

‘ Taman hiburan... ada joget.. ada judi..ada musik.. seronok disana... inang inang... tari menari... suka berjoget...’ Anuar menerangkan sambil bertanya.

Mata aku terbuka. Belum pernah aku mendengar tempat semeriah ini.  Joget. Aku ada melihat  orang berjoget  ketika kenduri kahwin. Di Kampung Tengkek  joget dipanggil bertandak. 

‘ Minta pada Ayah kamu.. pergi waktu malam...’

Aku senyap tidak menjawab. Aku sedar bahawa Anuar tak tahu bahawa Abah aku ini lulusan dari Gunung Semanggul. Mustahil dia akan membawa kami semua ke pusat hiburan.

Hari Ketiga kami pergi mencari  Wan Timah aku. Dia tinggal dengan Tok Sheikh di Arab Street. Ini rumah kedai. Bilik belakang telah dipetak-petakan untuk menjadi bilik kecil cukup untuk  sebilik dua orang.  Pak Cik Barau dan isterinya  menginap di rumah  Tok Sheikh yang sama.  

Selain dari rombongan dari Jelebu aku nampak  ada lagi beberapa pasang bakal haji yang lain. Semuanya sebaya dengan Tok Wan Timah aku. Umur telah  melintasi 60 tahun.  Aku tidak tahu dari mana asal usul mereka. 

Emak aku bercerita ada juga  ada bakal haji dari  Sumatera yang datang Ke Singapura untuk mengambil kapal haji di Singapura. Tak perlu pergi ke Jakarta, Datang ke Singapura lagi dekat.

Tarikh  belayar telah diketahui. Lagi satu minggu kapal akan sampai.  Wan Timah, Pak Cik Barau dan Isterinya aku nampak semuanya dalam keadaan bersedia. Semua memegang  tasbih di tangan.

‘ Ada apa-apa lagi yang perlu...’ Ayah aku bertanya  kepada ketiga-tiga bakal haji dari Kampung Chenor.

‘  Kok ada ikan masin disini boleh tambah...’ Wan aku memberi cadangan.

Pergi ke haji ini wajib ada persediaan. Bawa beras, ikan kering, daging salai,  rempah rampai, gula kopi untuk makan dalam perjalanan. Dalam kapal bakal haji boleh memasak dengan dapur  semawar.

Wan Timah aku juga ada membawa kaca mata hitam. Ini mengikut kesah yang didengar - kaca mata hitam ini  perlu untuk tutup mata ketika menyeberang padang pasir yang  hangat dengan cahaya mata hari. 

‘ Nanti saya cari ikan kering tu.....’ Abah aku memberi pengakuan kepada Emaknya.

Dalam kereta ketika nak mencari kedai jual ikan kering Emak dan Abah  berbual tentang kain baju di Singapura yang harganya murah. Ini kerana Singapura mengamalkan bebas cukai.

Esoknya  kami keluar awal. Aku nampak Abah dan Emak aku ada rancangan khas.   Cara mereka berbual aku rasa ada satu yang menarik akan berlaku.

Betul. Emak dan Abah aku masuk ke kedai kain baju. Mak aku membeli kain batik Jawa, kain  batik lepas, dan kain pelekat Cap Gajah. Banyak juga  mereka membeli. Anak-anak hanya mengekor.

‘ Semua ini kena basuh dulu.. jemur kering...’ Emak aku memberi penerangan kepada Kakak aku.

‘ Tak pakai lagi.. basuh buat apa? Aku bertanya.

‘ Nak jadikan macam sudah dipakai... nanti kastam buka beg di lihat kain baju ini  macam kain lama... kita tak payah bayar cukai...kita bukan nak meniaga..’  Cik Gu Zaleha menerangkan kepada anak muridnya.

Dari deretan kedai kain baju Abah aku terjumpa kedai tukang jahit. Kemudian aku perhatikan tukang jahit China mengukur kaki Abah  aku. Kemudian Uda Budin pun ikut sama.

‘ Cepat betul  di Singapura ini.... boleh siap dalam lima hari...’ Abah aku dan Uda Budin keluar dari kedai jahit dengan  gembira kerana sempat menempah seluar. Kami anak-anak hanya mengekor.

‘ Budin... kita pusing-pusing ... rayau rayau tepi laut.. kita tengok pantai.... ‘ Ayah aku meminta Uda Budin membawa kami bersiar-siar. 

Kami masuk ke dalam pekan kemudian  sampai ke jalan di tepi laut.

‘  Inilah dia Jambatan Merdeka...’ Emak aku  bersuara ketika kereta kami naik atas jambatan. Aku ternampak ada patung singa di atas batu.

‘ Inilah dia patung singa... Sang Nila Utama beri nama pulau ini Singapura...nama asal pulau  Temasik...’ Cik Gu Zaleha membeli kuliah sejarah.

Mata aku memandang  keluar untuk melihat kali terakhir patung singa itu. 

‘ Bang... lopeh ni ke mano kito.. ado apo laiee nak nengok....’ Pak Uda Budin bertanya kepada Abah aku.

‘ Kito pergi lawat  Makam Habib Noh...’

Kereta kami sampai. Uda Budin meletakan kereta di bawah bukit.  Kemudian kami  naik ke bukit. Aku tak  tahu apa yang berlaku. Aku nampak ada  bangunan macam potongan masjid tapi kecil.

Kami anak beranak mendaki  naik tangga. Ramai juga keluarga  Melayu yang sama naik tangga dengan kami.  Di bahagian atas kami  masuk ke dalam bilik. Tidak ada siapa yang bersuara. Semua sepi. Di tengah bilik ini ada kubur bersimen dan dibaluti kain hijau dengan tulisan  Jawi.  Aku belum pernah melihat kubu Melayu bersimen macam ini. 

 Bilik  ini ada bau kemenyan dan ada bau bunga rampai. Aku ternampak ramai orang menampung tangan berdoa di hadapan kubur. Aku sebenarnya tak faham apa yang sedang berlaku dihadapkan mata aku. Aku hanya mengekor Emak dan Abah aku.

Turun dari tangga aku lihat ada beberapa orang  minta sedekah.  Mereka macam orang India miskin tapi  ibu India ini memakai kain tudung.  Ada  juga kanak-kanak sebaya dengan aku berdiri meminta sedekah. 

China Apek dan nyonya juga ada  berdiri di tepi tangga meminta sedekah. 

‘ Kubo apa ini Mak..’  Aku bertanya.

‘  Ini makam keramat  Habib Noh... orang alim... wali... orang nak naik haji semua akan datang   ziarah makam ini dulu.... sebelum ke Mekah...  ‘ Emak aku memberi penjelasan.

‘ Kubur atas bukit...’ Aku mahu kepastian.

‘ Sebelah sana itu masjid... Masjid Salleh.... kawan baik Habib..’ Abah aku mencelah memberi  penerangan.

Aku merasa  bangga kerana  telah sampai  ke kubur wali keramat. Aku tidak  sabar nak buka cerita kubur keramat ini kepada kawan-kawan di sekolah.

Ketika di makam Habib Noh  mata  aku tidak mencari-cari getah gelang di tangga atau di jalan raya. Aku takut juga dengan kubur keramat ini.

Esoknya  lepas makan tengah hari kami sekali lagi pergi ke   rumah Tok Sheikh. Ayah aku nak menyampaikan ikan kering kepada Wan Timah

Dari sana  Uda  Budin membawa kami ke sekolah gambar.  Aku tak faham apa dia sekolah gambar ini.  Aku tak tahu apa yang menarik dalam sekolah gambar ini.

Di pintu besar aku nampak ada patung jantan  berdiri tegak. Entah patung siapa aku tak tahu. Aku nampak lagi patung singa batu.  

Masuk dalam bangunan ada macam macam barang -barang. Barang-barang ini tidak pernah aku nampak dijual di kedai. Semuanya  dalam kaca.

Aku yang masih rendah agak susah juga nak melihat  apa yang sedang  di pamerkan.

Tertiba aku teringat . ‘ Di sekolah gambar  Singapura ada patung batu... jantan dan betina kena sumpah jadi batu... mereka sedang berancuk... betina ini bini orang...’ Aku terlupa ini surah siapa dan di mana aku terdengar. Ini pastilah aku dengar ketika aku  memasang telinga mendengar orang dewasa  berlabun. Isinya cerah dalam ingatan aku.

Lalu aku membuka mata mencari-cari patung jantan dan betina ini. Gagal. Aku rasa letih bosan dan  sekolah gambar ini tidak menarik.  Aku tak faham kenapa Mak Long Sani mencadangkan Cik Gu Zaleha membawa anak-anaknya ke sekolah gambar.

Pulang dari  sekolah gambar orang dewasa berehat .  Aku masih ingin merayau-rayau. Mana tahu ada nasib terjumpa getah.  Dalam hitungan aku telah memiliki 53 helai getah gelang. Jika mata rajin mencari mungkin  boleh jadi seratus.

Maka petang itu Anuar dan  aku  merayu lagi. Kami melintasi deretan kedai yang tidak jauh dari  rumah kami. Mata  mencari-cari  getah. Tertiba mata  aku ternampak tiga orang gadis Melayu. Mereka sedang menunggu bas. Entah hendak ke mana – aku tidak tahu.

Wow! Moden. Gadis Melayu moden ranggi langsing bergincu. Di Jelebu tak pernah aku nampak Minah secantik ini. 

Hah! Kepala aku tergambar  radio. Aku teringat R. Azmi. Akhirnya aku berjaya bertemu dengan  Nona Singapura di Geylang.

Macam itik pulang petang dia jalan melenggang
Bibirnya merah bak delima merekah
Kain tinggi sebelah betisnya membayang
Itu dia Nona Singapura

Bajunya jarang hai ketat di pinggang
Bunga di depan bunga di belakang
Pinggang ramping diikat keras-keras
Sampai susah bernafas

Rambut hitam ikal mayang kerinting palsu
Menggerbang pakai sepatu asal dari kayu
Tas tangan plastik tersangkut dibahu
Itu dia nona Singapura

Tudung pelangi hai tak pakai lagi
Bajunya basah mandi air wangi
Orang kata semua tolak tepi
Asal senang di hati

‘ R.Azmi  yang menyanyi tu... rumah dio kek mano ? ‘  Soalan budak kampung kepada budak  pekan.

‘ Dia orang... anak wayang... orang filem.. bukan di Geylang.. dia orang tinggal  di Jalan Ampas....’ Perbualan tamat.

Dua hari aku gagal menemui getah gelang. Di makam Habib Noh gagal.  Di sekolah gambar gagal. Petang ini pun gagal sekali lagi. Tapi aku  tersenyum senang hati  kerana aku dapat  melihat Nona Singapura. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN  DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/07/21/nona-singapura/


SLOGAN TAK KALAH

 



 SLOGAN KITA

BERJAYA

HASIL TARAAAK

Unknown commented on 

"GEROMBOLAN JADI KAYO"

Wawasang 2020 KAH KAH KAH Tula berslogang je hebat, padang muko, malu satu dunio, Pasal ati tak ikhlas, penuh dengang tahi busuk, penuh tipu muslihat mengkayakang diri, dari mamak kerala sampai ke budak pejabat, melayang manusio berpilih-pilih ikut geng yang keluar dari lubang yang samo, itula laknat diterimo tapi buat dek je... Tak payahla berslogang lagi, biar buat kojo dengan jujur ikhlas tanpa pilih-pilih, barula monjorit domi negaro

PAK DIN HATI MULIA

 

 



MAKLUMAT

TUKAR TIUB  TELAH
DAPAT BERHUBUNG
DENGAN
JURU GAMBAR BERITA

DIBAWAH INI NO AKAUN
PAK DIN
SESIAPA NAK HULUR
SEDIKIT BANTUAN
AH LAN WA SAH LAN
AMIN

BANK SIMPANAN NASIONAL
KAMARUDDIN BIN OMAR
NO AKAUN :
14-17-42-90-00-08-04-39


DARI ARKIB  14/7/2021

PAK DIN

BERHATI MULIA

Walaupun menjadi gelandangan, Pak Din gembira bersama beberapa ekor kucing diselamatkan yang sudah dianggap seperti anak sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Julai, 202 

PKP tidak halang kerja murni selamatkan anjing, kucing terbiar

HILANG sumber pendapatan serta tempat tinggal tidak menghalang rakyat Malaysia untuk terus membantu dan melindungi anjing dan kucing terbiar sepanjang tempoh sekatan pergerakan.

Mereka secara sukarela meluangkan masa, wang dan rumah mereka bagi memastikan haiwan ini diberi makan secukupnya dan kesihatannya dijaga. 

Haiwan terbiar yang lebih jinak pula diambil oleh mereka yang sanggup memeliharanya.

Kamaruddin Omar Baki, yang lebih mesra dipanggil Pak Din, pernah tinggal di rumah orang tua di Kulim, Kedah namun dihalau kerana memberi makan kepada kucing terbiar di rumah berkenaan. 

“Ada yang mengadu kepada pihak pengurusan kucing ini kotor. Mereka kemudian membuat keputusan menghalau saya keluar dan minta saya membawa keluar kucing.  

“Saya keluar pada 31 Mei selepas tinggal di sana selama dua tahun dan kembali ke Kuala Lumpur dengan sembilan ekor kucing,” katanya yang berusia 74 tahun. 

Pak Din pernah menyewa bilik di Sentul, Kuala Lumpur. Beliau pernah menjual barang di pasar untuk meneruskan hidup. 

Pada 2018 ketika sedang beratur di dapur jalan beliau ditangkap oleh pihak berkuasa dan dihantar ke rumah orang tua di Kulim untuk golongan yang tiada waris. Pak Din tidak pernah berkahwin. 

Kini beliau hidup sebagai gelandangan dan masih memiliki kucing yang beliau selamatkan. Beliau dan kucingnya tinggal dalam sebuah kereta di Jalan Tun Tan Cheng Lock berhadapan Pos Malaysia berhampiran stesen LRT Pasar Seni di ibu negara. 

Kucingnya diletakkan dalam sangkar untuk memastikan ia tidak ke jalan raya dan dilanggar kenderaan. Beliau hanya lepaskan ia untuk bermain di kawasan selamat ketika mencuci sangkarnya di bangunan berdekatan. 

Walaupun wang kebajikannya dipotong selepas meninggalkan rumah orang tua, beliau tidak sanggup berpisah dengan kucingnya yang dianggap seperti anaknya sendiri dan terus memberinya makan tiga kali sehari. 

“Saya berikannya makanan basah, jika saya beri makanan kering ia tidak akan makan. Untuk beri makan kepada semua kucing, saya perlukan tiga tin sehari dan setiap satunya berharga RM4.50,” katanya. 

“Saya dapatkan makanan saya di dapur jalanan yang beroperasi di kawasan ini. Adakalanya saya minta lebih makanan jika ada jadi saya boleh berikan kepada kucing. Dengan cara ini saya jimat satu tin.

“Jika kucing ini gembira, saya pun gembira,” katanya. – 11 Julai, 2021.

MARI KITA

BANTU SOSOK

YANG BAIK 

HATI INI

AMIN

PEMBACA TT

SILA TUNGGU

TT AKAN CARI

MAKLUMAT LANJUT

AMIN 

KES INI DAP TERAJANG ANWAR

 



 KES INI

DAP TERAJANG

ANWAR IBRAHIM

Unknown commented on

 "TAK ADA UNDI

 TAK PERCAYA ?"

Jidin dah hulur 300 k setiap parlimenb bagi bakul makan suppose rm 100 tapi hujung jadi rm 50, biasa lah kan projek kroni selalu, ada saja untung kematian kesusahan orang kah kah

GEMBIRALAH DENGAN APA YANG KITA ADA

 


 GEMBIRALAH

DENGAN APA

YANG KITA ADA

DUNIA MASIH RAMAI ORANG BAIK

 

 DUNIA KITA INI

MASIH RAMAI

ORANG BAIK

DARI ORANG

JAHAT 

AMIN

Bakul makanan haiwan peliharaan ditubuhkan oleh pencinta haiwan dapat membantu pemilik yang berdepan masalah memberi makanan kepada haiwan peliharan dan haiwan jalanan semasa wabak, – Gambar The Malaysian Insight, 21 Julai, 2021.

Bank makanan bantu selamatkan haiwan peliharaan, jalanan semasa wabak, kata pencinta haiwan


BEBERAPA individu menubuhkan bakul makanan haiwan peliharaan menggunakan wang mereka sendiri bagi membantu pemilik yang berdepan masalah untuk memberi makanan kepada haiwan peliharaan dan haiwan jalanan lain.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka ingin memastikan haiwan peliharaan ini tidak akan ditinggalkan di jalanan, seterusnya memburukkan lagi masalah pembuangan haiwan.

Mereka juga mahu meringankan beban pemilik haiwan peliharaan yang berdepan kesulitan akibat pandemik Covid-19 yang sedang melanda dan kelembapan ekonomi.

Terdapat peningkatan 70% kes pembuangan haiwan peliharaan sejak awal pandemik tahun lalu, lapor Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan (SPCA).

Di Pandan Indah, Ampang, Selangor, pemilik trak makanan Chan Wai Yee memulakan bakul makanan haiwan bagi membantu mereka yang memerlukan dan menggunakan Facebook untuk mempromosikan inisiatifnya. Sejak itu beliau menerima banyak panggilan untuk mendapatkan bantuan.

“Beberapa pemilik haiwan peliharaan yang memiliki tujuh atau lapan kucing di rumah tidak mampu membeli makanan untuk kucing mereka. Sementara mereka yang telah memulakan tempat perlindungan belum dapat mencari dana bagi membeli makanan untuk haiwan di tempat perlindungan.

“Mereka datang dari pelbagai kawasan di Selangor untuk mendapatkan bantuan saya. Yang paling jauh adalah Rawang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Chan, yang juga pencinta haiwan berkata, dia akan melakukan yang terbaik untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Oleh kerana fasa pertama Pelan Pemulihan Negara di mana perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan, ada yang tidak dapat datang dan mendapatkan bantuan secara langsung dari saya. Saya menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk mengirimkan makanan haiwan kepada mereka.”

Dia mendapat inspirasi untuk memulakan bank makanan haiwan susulan gerakan bendera putih yang dibuat bagi membantu meringankan mereka yang berdepan kesusahan semasa wabak.

Katanya, jika ada orang yang kelaparan, haiwan juga mesti ada yang berdepan situasi sama.

“Melalui gerakan bendera putih, kita membantu memberikan makanan kepada orang ramai tetapi haiwan tidak dapat melakukan hal yang sama.

“Kita bimbang pemilik akan mula meninggalkan binatang peliharaan mereka kerana tidak mampu menjaganya lagi. Saya harap langkah ini dapat membantu mereka yang sangat memerlukan.

Chan berkata, dia dan pasangannya menghabiskan kira-kira RM2,000 hingga RM3,000 bagi membeli pelbagai jenis makanan kering untuk kucing dan anjing serta makanan dalam tin. Mereka akan membungkus makanaN dan mereka yang memerlukan boleh mengambilnya dari trak makanannya dari ham 12 tengah hari sehingga 3 petang setiap hari.

“Makanan haiwan peliharaan mahal dan kami mempunyai dana yang terhad. Tetapi kami memutuskan untuk memperuntukkan 10% dari keuntungan untuk bank makanan haiwan kesayangan,” katanya.

Masalah haiwan terbiar dan masyarakat

Di Skudai, Johor, Woi Kah Chee pernah membuka kedai dandanan haiwan peliharaan dan kafe tetapi sejak wabak, kedainya kini terjejas teruk.

Bank makanan haiwannya adalah untuk pemilik haiwan yang tidak lagi mampu memberi makanan kepada haiwan mereka dan juga untuk sukarelawan yang memberi haiwan terbiar makanan dari duit mereka sendiri.

“Sukarelawan yang terjejas akibat kemerosotan ekonomi dan tidak lagi dapat memberi makanan kepada haiwan terbiar dialu-alukan untuk mendapatkan makanan di sini,” katanya.

Woi berkata, sejak kisah bank makanan haiwannya mula tersebar di media sosial, ada pihak yang menentang idea itu.

“Mereka berkata, pemilik haiwan sendiri tidak mampu mendapatkan makanan sendiri, jadi mereka tidak seharusnya membela haiwan peliharaan. Mungkin mereka adalah golongan yang tidak membela haiwan peliharaan dan tidak memahami apa yang sedang dialami oleh pemilik dan haiwan peliharaan.

“Bagaimanapun saya juga sudah menerima banyak tawaran dari mereka yang bersedia menyumbangkan makanan dan wang untuk bank makanan haiwan peliharaan. Masih ramai yang peduli di luar sana,” katanya. – 21 Julai, 2021.

 MARI KITA

SESAMA JADI

ORANG BAIK 

SAPERTI PAK DIN

AMIN

Walaupun menjadi gelandangan, Pak Din gembira bersama beberapa ekor kucing diselamatkan yang sudah dianggap seperti anak sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Julai, 202