Jumaat, 31 Mac 2023
DARI BRICKFEILDS DISAMBUNG LAGI
DARI BRICKFEILDS DISAMBUNG LAGI
Kesah yang aku kesahkan ini tidak berhujung. Cerita aku ini masih diteruskan. Kesah-kesah ini disambung dan bersambung.
Setiap cafe yang aku pernah singgah, setiap cawan kopi yang pernah aku pegang adalah penyambungan cerita.
Ketika aku duduk sendirian dalam cafe aku akan menoleh ke kiri ke belakang ke hadapan. Mata aku pasti ternampak ada pelanggan yang tidak aku kenali duduk dalam cafe yang sama.
Kadang kala aku khayalkan siapa mereka. Rumah dimana. Berkeluarga, bujang atau duda. Atau sedang berkelana. Jika terlihat pasangan muda maka aku tahu mereka sedang bercinta. Atau apakah sedang merancang untuk berumah tangga.
Jika ternampak dua Mamat yang membawa fail aku akan tersenyum. Dua Mamat membuka fail ini pasti sedang berbincang hal perniagaan. Mungkin merancang untuk merasuah pegawai kerajaan agar projek di luluskan.
Setiap sosok yang bersantai di cafe pasti mereka ada cerita masing-masing. Sama seperti aku yang melayan secawan kopi sambil ngelamun tentang itu dan ini.
Pernah sekali di meja hadapan di Old Town Cafe ketika aku sedang duduk dengan seorang kawan tertiba melintas di hadapan aku seorang hamba Allah. Dia menoleh dan terus mengambil kerusi dari meja sebelah dan duduk di meja aku.
Aku cuba bersopan. Sebenarnya aku tidak suka jika ada orang lain yang tidak dalam perancangan datang duduk ke meja aku. Untuk aku ini mengganggu.
Aku sendiri tidak pernah menarik kerusi datang ke meja sebelah walau pun di meja sebelah kenalan. Untuk aku ini bukan dalam perancangan.
Kadang kala kita ke cafe untuk bersantai bersendirian. Jika aku tidak boleh bersendirian maka aku gagal mencari bahagia.
‘ Dari mana Bang.... ‘ Aku bersopan lagi.
‘ Sedang pasang krane... nak buat bangunan ....’ Dengan bangga dia berkata.
Kemudian hamba Allah ini bercerita bahawa dia bekerja memasang krane. Memasang krane di atas bangunan. Ketika ini KL Sentral sedang dibina.
Aku pun hairan juga ada krane atas bangunan. Belum pernah aku lihat sebelum ini. Kerjanya pasti ulit.
Lalu dia bercerita yang dia pernah bekerja memasang krane di Dubai, Hong Kong dan di New York. Aku hanya mendengar. Sosok ini berkisah dengan pengalaman hebat membina bangunan pencakar langit.
Kemudian dia bertanya ‘ kenal Shamsiah Fakeh....’ Aku mengangguk kerana aku tahu siapa Shamsiah Fakeh ini.
Aku menunggu apa sambungan dari soalan yang dihamburkan.
‘ Saya ni .... anak Shamsiah .. anak yang ditinggalkan.. bila Shamsiah lari masuk utan....’ Mata aku terbuka. Bukan terperanjat kerana aku berhadapan dengan sejarah. Mata aku terbeliak kerana aku yakin Si Mamat ini kaki temberang.
Mamat ini tidak tahu bahawa aku kenal dengan Jamal anak lelaki Shamsiah. Ketika Shamsiah wafat aku turut sama mengangkat keranda jenazah untuk di makamkan.
Malah kawan yang duduk sama di sebelah aku ketika Mamat ini buka temberang adalah kenalan baik Jamaliah cucu kepada Shamsiah.
Sampai sekarang aku tidak tahu apa untungnya Si Mamat ini buka cerita anak Shamsiah Fakeh kepada aku Hishamuddin Rais
Aku ingat lagi malam Ahad bulan Disember 2013 teater Bilik Sulit sedang dipentaskan di Temerloh. Aku lupa tarikh pementasan itu. Tapi aku tidak lupa bila mana selesai berteater aku dapat panggilan talipon dari Saifuddin Nasution.
Setiausaha Agong PKR ini mahu berjumpa dengan aku esok hari Senin. Aku menolak kerana hari Senin rutin aku menulis untuk kolum Dari Brickfeilds.
‘ Ini perkara lebih penting dari kolum kau... esok wajib jumpa... ‘ Saifuddin mengasak.
Aku jadi hairan apa yang lebih penting dari aku menulis. Amat jarang aku gagal menghantar tulisan kerana ini media cetak. Ruang telah disediakan. Bukan portal Internet yang tidak memilik konsep ruang.
Senin jam 11.30 kami bertemu di Old Town.
‘ Cik Gu Lee akan letak jawatan dan Anwar akan bertanding sebagai ganti...’ Berita meledak dari mulut Saifuddin.
Aku tidak menjawab kerana aku bukan orang parti. Aku hanya mendengar penerangan Saifuddin.
Dia melihat jam di tangan.
‘ Ketika kita bercakap ini Anwar di Kajang.. dia sedang berurus untuk menukar alamat... tanding DUN wajib warga tempatan... kalau parlimen tak perlu...wajib ada alamat di Kajang... dia pakai alamat Pak Ibrahim di Country Heights ....’ Saifuddin menerangkan bahawa semuanya telah di rancang.
Aku menyokong Langkah Kajang ini. Pada hemat aku ketika itu Anwar yang gagal menjadi PM boleh menjadi MB Selangor.
Justeru UBU ( Universiti Bangsar Utama) mengadakan forum pada Januari 2014. Klip forum ini muncul dalam YouTube pada 31 Januari 2014.
Aku ingat lagi bagaimana YB Rafizi Ramli membocorkan berita ladang lembu Shahrizat Jalil. Heboh berita lembu hingga Shahrizat Jalil , suami dan anak beranak sesak nafas.
Rafizi menalipon untuk berjumpa. Kami berjumpa di Old Town. Ketika ini kesah lembu Shahrizat dah mengendur.
‘ Aku fikir cara nak teruskan kempen lembu ni...aku rasa kena buat filem...’ Rafizi menerangkan tujuan bertemu.
Perkara filem lembu ini telah lebih awal aku baca di media sebelum kami bertemu di Old Town.
‘ Boleh... kena buat skrip.... dan buat cerita...’ Jawapan aku pada malam itu.
Cerita lembu Shahrizat ini aku panjangkan dengan Ah Chong pelajar ASWARA dan minta dia menulis skrip. Aku hantar skrip pada Rafizi. Tapi Shahrizat sudah tidak jadi menteri lagi.
Aku ingat lagi bulan Mac 2014 aku bertemu Louise Story. Wanita tiga puluhan ini wartawan penyiasat dari akhbar The New York Times (NYT).
Pertemuan kali ini tidak di Old Town tapi di sebuah restoran China di sebelah Stadium Negara. Lebih tersorok dari tempat biasa aku membuat temu janji.
Ketika aku dan Louise Story bertemu 1MDB masih dalam Tahun Sifar. Berita 1MDB belum meledak. 1MDB masih kesah terpendam.
Louise sedang mengumpul data untuk satu artikel tentang 1MDB dalam NYT.
Aku bertanya bila berita ini akan keluar di akhbar NYT.
‘ Some time in Autumn - October or November....’ Louise menjawab.
Aku terfikir kenapa begitu lambat baru tulisan dan berita 1MDB ini meledak. Aku yang tidak terlatih dalam bidang kewartawanan tidak faham cara kerja wartawan penyiasat dari Barat.
Cara mencari fakta. Menemu bual Si Anu dan Si Anu. Semua sumber maklumat di periksa, dirujuk dan diperiksa berkali kali. Ini untuk memastikan berita ini tepat kukuh dan sahih. Tidak akan muncul dakwa dakwi satelah berita diterbitkan.
Untuk aku yang tidak faham dunia wartawan yang penting ada laporan media Barat ini keluar. Laporan ini akan aku gunakan untuk membuat propaganda menibai Najib.
Sebelum aku bertemu dengan wartawan NYT ini aku tidak menahu siapa Jho Low. Malah nama 1MDB belum menjadi buah mulut. Louise berkisah sedikit tentang Jho Low. Aku pasang telinga.
Kali ke dua kami bertemu lagi. Kali ini waktu malam di Old Town. Louise meminta apakah aku ada cara untuk dia menemu bual Azman Mokhtar.
Aku kenal Si Azman ini. Kami dari sekolah yang sama. Untuk Budak Koleq kami panggil dia Amok.
Azman Mokhtar sebelum kes 1MDB meledak ialah Pengarah Urusan Khazanah Negara. Sosok korporat pemain ekonomi yang penting di Malaysia.
‘ A bit hard...might be impossible....’ Aku mengelak diri.
Louise Story bertandang di Malaysia lebih sebulan.
Satu malam sesudah Louise Story pulang ke New York aku bertemu dengan Sidikin Omar di Old Town Cafe. Anak muda ini bekerja sebagai pemberita untuk Suara Keadilan. Dia kenalan baik aku – aktivis dari UBU. Malah kadang kala dia menyunting kolum Dari Brickfeilds aku.
‘ Apa dia.... cerita apa?.... ‘ Dikin bertanya.
‘ Ini bigger than big....’ Inilah istilah yang aku gunakan bila aku menyebarkan propaganda 1MDB sebelum nama 1MB diketahui umum.
‘ Kau wajib kumpulkan segala maklumat tentang Najib.... something big is coming... bigger than big ...’ Lebih besar dari besar. Ini cara aku menjual drama 1MDB kepada Dikin dan kepada sesiapa saja.
Lebih besar dari besar ini aku gunakan untuk menunjukkan betapa besarnya berita yang akan meledak dari siasatan Louise Story.
‘ Kau tunggu lah.... sebelum Krismas... bulan sepuluh atau bulan sebelas akan ada berita dari media luar negara tentang Malaysia...’ Aku tidak memberi maklumat penuh pada Dikin kerana aku sendiri tidak tahu apa yang akan muncul.
Sabtu malam ketika aku dan Dikin di Old Town Cafe – Jalan Thambypillay amat sibuk.
Aku ternampak anak muda Melayu mungkin dari kampus sekitar KL yang ingin melihat tubuh wanita terbaring di atas katil. Sekawan anak-anak muda sedang berjalan keluar masuk dari satu pintu kedai ke satu pintu kedai.
Buruh asing – Mat Myanmar, Mat Indon dan Mat Bangla sama sibuk. Mereka berkawan-kawan naik tangga rumah merah untuk mencari kasih sayang di Jalan Thambypillay.
Aku bersama Dikin menghidup teh yang sudah sejuk degan mata memandang malam dan hati menunggu ledakan berita dari New York. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/03/31/dari-brickfields-bahagian-3
RESAH PENYAKIT TIDAK BERKUMAN
Makin ramai golongan muda hidapi masalah ‘anxiety’, kata pakar psikologi
MASALAH gangguan keresahan atau “anxiety” bukan lagi masalah kesihatan yang dialami golongan dewasa saja, dengan pakar mendakwa ia kini dialami kalangan kanak-kanak yang sukar mengendalikan tekanan.
Pakar berkata semakin ramai kanak-kanak yang mengalami serangan keresahan, terutama di kawasan bandar.
Mereka berkata semakin ramai wanita yang bekerja turut menjadi mangsa kepada penyakit ini.
Kaunselor psikologi Yap Hui Ling berkata kanak-kanak terutama yang tinggal di bandar besar, lebih cenderung mengalami gangguan keresahan berbanding mereka di bandar kecil atau kawasan pedalaman.
“Ini kerana kanak-kanak di bandar besar mungkin mengalami tekanan berbanding rakan sebaya di bandar kecil dan kampung,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Gangguan keresahan tidak membezakan pesakit dengan umur. Ia boleh melanda sesiapa saja tanpa mengira umur,” katanya.
Pakar psikologi klinikal Dr Yeoh Si Han berkata pesakitnya paling muda berusia 13 tahun mengalami gangguan keresahan.
Katanya, pesakit remaja itu meminta ibu bapanya membawanya berjumpa kaunselor psikologi kerana mengalami “masalah emosi yang tidak dapat diselesaikan”.
“Dia buat perangai dan sikap barannya sukar dikawal,” kata Dr Yeoh.
Pengasas Pusat Pembangunan Psikologi D’Dawn Tan Chee Seng berkata ibu yang bekerja di bandar juga cenderung mengalami keresahan kerana wanita biasanya lebih banyak mengalami perubahan mood, berbanding lelaki, ketika berdepan tekanan.
Tan berkata wanita bekerja juga lebih mudah mengalami gangguan keresahan kerana terpaksa berdepan tekanan kerja dan kemudiannya tertekan di rumah.
“Orang lelaki hanya perlu bimbang tentang kerja mereka saja.”
Sementara itu, Dr Yeoh berkata lebih ramai wanita mengalami masalah itu kerana mereka sedia mengakuinya, sementara lelaki tidak mahau mengakui penyakit berkenaan susulan stigma ia dikaitkan dengan masalah mental.
Beliau berkata penilaian itu dibuat berdasarkan kepada kajian klinikal.
“Wanita lebih mudah meluahkan kebimbangan dan ia dilakukan berbeza dengan lelaki,” katanya.
Katanya, sebagai contoh ialah bunuh diri.
Beliau berkata lelaki lebih cenderung membunuh diri ketika dalam keadaan sangat tertekan kerana mereka “tidak bercakap dan meluahkan tekanan itu”.
Dr Yeoh berkata bunuh diri dalam kalangan wanita lebih rendah kerana mereka meluahkan perasaan tertekan.
“Mereka bercakap dengan rakan baik mereka.”
Persatuan Kesihatan Mental Malaysia baru-baru ini melaporkan kira-kira lapan juta individu berusia antara 18 dan 60 tahun di negara mengalami masalah gangguan keresahan, dengan jumlah wanita adalah dua kali ganda berbanding lelaki. – 1 April, 2023.
RESAH SAKIT
TAK BERKUMAN
AMIN
PIKIR TENTANG
MASALAH DUIT
KELUARGA ANAK
AMIN
ALAM SEKITAR
MAKIN BURUK
AMIN
POLITIK NEGARA
MAKIN KACAU
AMIN
SEMUA INI
JADIKAN KITA
RESAH GELISAH
AMIN
KHALAS
LA HABAU MELAKA !
Tiada yang mendesak letak jawatan, hanya hati saya, kata Sulaiman
SULAIMAN Md Ali menegaskan beliau tidak menerima desakan daripada mana-mana pihak untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.
“Yang ada ialah desakan hati saya ini… desakan naluri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah, di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi di Alor Gajah hari ini.
Beliau juga mengulangi tiada sebarang perjanjian atau tawaran lantikan senator dalam Kabinet kerajaan Persekutuan dan menjelaskan faktor pengunduran dirinya disebabkan isu kesihatan.
“Saya tidak mahu dah. Saya nak jaga Dewan Undangan Negeri (DUN) saya (DUN Lendu) dan nak hidup secara normal saya semula. Malah saya pernah cakap, saya ni sepenggal (untuk jadi Ketua Menteri) cukuplah,” katanya.
Dalam pada itu beliau juga berharap semua pihak menyokong sesiapa sahaja yang dilantik selepas ini, memandangkan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dicadangkan oleh parti itu sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.
Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Zaidi Johari dipetik sebagai berkata Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, akan dilangsungkan di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada pukul 3 petang esok. – Bernama, 30 Mac, 2023.
LA HABAU
MELAKA
KAH KAH KAH
RUPANYA ADA
POLITIKUS TAK
GILA KUASA
KAH KAH KAH
KALAU LU TAK
CAYA CAKAP
SULAIMAN
LU GI TANYA
ZAHID
KAH KAH KAH
KHALAS
PENCURI KEKAL DI KAJANG
Mahkamah Persekutuan tolak rayuan akhir Najib
MAHKAMAH Persekutuan menolak usaha terakhir bekas perdana menteri Najib Razak untuk dibebaskan dari sabitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Panel hakim mencapai keputusan majoriti 4-1 untuk menolak permohonan beliau untuk menyemak semula sabitan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana itu.
Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat ketika menyampaikan keputusan itu berkata permohonan Najib dibuat tanpa merit.
Keputusan itu mengekalkan Najib di Penjara Kajang untuk menjalani baki tempoh pemenjaraan 12 tahun. – 31 Mac, 2023.
WOIT
KAH KAH KAH
TANPA APA APA
MERIT
KAH KAH KAH
MAKNANYA
PERBICARAAN
BERJALAN BETUL
TIDAK CACAT
TIDAK CELA
KHALAS
Langgan:
Catatan (Atom)












