Rabu, 2 Januari 2013

SURAT UNTUK BANI MELAYU




INI TEKAD  RAKYAT
UNTUK TAHUN 2013

NILAI  BANI MELAYU

Mengikut Perlembagaan Persekutuan takrifan  Melayu itu adalah:  sosok yang mengamalkan budaya, bahasa Melayu dan beragama Islam. Takrifan ini cukup  senang, demoktarik dan tanpa banyak songel. Untuk saya,  dibelakang takrifan – siapa dia Melayu -  ada persoalan  yang lebih besar – persoalan nilai Melayu. Takrifan nilai ini sayangnya TIDAK dimasukkan dalam Perlembagaan Pesekutuan ssebagai cara untuk  mengenal siapa Melayu dan siapa bukan Melayu.

Takrifan siapa Melayu dalam Perlembagaan  dilakukan hanya  untuk tujuan mentadbir. Pentabiran penjajah  British  yang bertanggungjawab membawa  buruh imigran dari China dan India memerlukan sistem identifikasi. Justeru lahir konstruksi takrifan Melayu yang membolehkan sosok saperti Mahathir Muhamad, Reezal Merican atau   Azeez  Rahim menerbus masuk dan mengakui diri mereka Melayu. Walhal -  rupa bentuk , kulit dan iras sosok-sosok jelas ke Indiaannnya. Persoalannya apakah nilai yang  diamalkan oleh sosok-sosok ini  mencerminkan nilai-nilai  Melayu?

Saya menimbulkan apa dan siapa  itu Melayu kerana pada hemat saya pada tahap  ini Bani Melayu sedang menghadapi  krisis  yang maha besar. Bani Melayu hari ini menghadapi krisis identiti diri.  Krisis identiti ini membawa Bani Melayu kepada krisis nilai.  Justeru krisis nilai Bani  Melayu inilah yang sedang kita lihat dalam politik kontemperori Malaysia hari ini.

Nilai muncul dari punca ekonomi. Nilai tidak muncul dari mimpi atau angan-angan. Pada satu ketika dahulu Bani Melayu keseluruhan  adalah kaum tani, nelayan atau pekebun kecil. Kedatangan penjajah British memunculkan sosok-sosok Melayu untuk menjadi pegawai kerajaan, anggota polis, askar dan guru-guru.

Ramai juga Bani Melayu sebelum kedatangan British menjadi pelaut yang hebat-hebat. Dalam sejarah dan cerita-cerita rakyat ada tertulis juragan dan saudagar Melayu yang berniaga di kepulauan Melayu. Si Tenggang adalah contoh juragan dan saudagar dari Bani Melayu. Tetapi dengan kesampaian juragan dan saudagar dari India dan China  yang memiliki jaringan perniagaan yang lebih luas telah  membuka   persaingan. Akhirnya  kerana persaingan sengit kumpulan juragan dan saudagar  Bani Melayu ini pupus.

Seratus tahun dahulu Bani Melayu tidak mengenal duit dan dinar. Ini berbeza dengan kaum imigran India dan China yang tamadunya  ribuan tahun mendahului tamadun Melayu. Justeru nilai Bani Melayu adalah nilai kaum tani.  Nilai Bani Melayu  adalah nilai masyarakat pertanian-agraria. Nilai kaum tani dipasak oleh setiakawan yang intim, kejujuran kata-kata, janji yang ditepati dan paling ampoh adalah nilai bergotong royong. Nilai-nilai ini tidak pernah diukur dengan dolar dan dinar.

Nilai Bani Melayu ini muncul kerana keperluan bertani dan mencari kehidupan. Adalah tidak tepat  jika kita menganggap bahawa nilai -  apa yang dianggap salah dan apa yang dianggap  benar -  muncul dengan kedatangan Islam.   Bani Melayu adalah mualaf  yang baru berumur lima ratus tahun. Nilai salah  benar – apa yang baik dan apa yang salah- telah wujud dalam roh  Melayu sebelum sampainya juragan dan sudagar Arab di Melaka.  Nilai keterbukaan fikrah Bani Melayulah yang menyambut  saudagar dan  juragan Arab.

Dunia berubah. Pembuatan dan pekerjaan untuk mata pencarian berubah. Asas ekonomi berubah. Bentuk-betuk ekonomi  berubah. Semua ini membawa perubahan nilai.

Dari asas ekonomi pertanian dan nelayan Bani Melayu telah dipaksa oleh ekonomi  kapitalis yang bernabikan jual beli  dan berkiblatkan keuntungan. Awalnya resapan ekonomi kapitalis ini agak lunak.  Sistem ekonomi kapitalis masuk secara teratur dan tidak menggangu gugat  ketenteraman Bani Melayu. Walau pun sistem ekonomi kapitalis ini membawa budaya  sendiri yang jelas berlawanan dengan budaya agraria Bani Melayu – mereka tidak merasa terancam.

Nilai kapitalis diukur dengan ringgit dan dinar. Tenaga kini bukan lagi diminta bergotong royong untuk bersama-sama membuat talian sawah atau bersama-sama membaiki pemetong. Tenaga dalam sistem ekonomi kapitalis boleh dihitung untuk dipukul harga.

 
Awalnya Bani Melayu tidak menyedari ini. Perubahan ekonomi telah membawa perubahan politik. Kuasa politik yang dimiliki oleh United Malays National Organisation mula disedari sebagai lompong. Kuasa politik tanpa kuasa ekonomi hanyalah  mimpi yang dimimpi-mimpikan. Mimpi ini pecah membawa kesedaran apabila ianya ini diasak oleh  kekalahan parti Bani Melayu yang berslogan Ketuanan Melayu pada tahun  1969.   Kekalahan besar parti  United Malays National Organisation ini telah memuncul satu dasar ekonomi yang baru.

Dasar Ekonomi Baru telah memaksa Bani Melayu  masuk ke dalam kancah jual beli  ekonomi kapitalis. Selama 40 tahun kebelakanga ini Bani Melayu telah dipaksa untuk menerima sistem nilai budaya yang dilahirkan oleh sistem ekonomi kapitalis ini. Justeru krisis politik yang kita  lihat hari ini adalah menifestasi dari nilai-nilai ini.


Pergolakan politik yang berlaku lebih dari satu dekad ini adalah  manifestasi  bekecamuknya  nilai Bani Melayu. Kalau dulu kata-kata dari mulut Bani Melayu adalah janji yang terikat. Hari ini kata-kata tidak boleh lagi  diterima tanpa tanda tangan dan surat akuan peguam. Bulat air kerana pemetong bulat manusia kerana mufakat tidak lagi menjadi asas kemasyarakatan Bani Melayu.

Setiakawan dan semangat kekitaan kini dinilai dengan keanggotaan kelab ini atau parti itu. Budi dan bahasa   hanya ucapan-ucapan kosong kalau ianya tidak disadur dengan ringgit dan dolar.

Dalam masa satu jenerasi Bani Melayu telah dipaksa untuk menerima nilai yang amat asing.  Banyak jalur-jalur nilai ini tidak berakar umbi dalam  pembudayaan salasilah agraria Bani Melayu.

Perkembangan siasah terkini  membuktikan  dengan jelas  tesis bahawa Bani  Melayu sedang dilanggar krisis identiti. Krisis identiti ini ialah krisis nilai.  Nilai yang saya jadikan contoh kajian  ialah –  bagaimana satu kumpulan Bani Melayu sanggup menerima dan  menobatkan Najib Razak sebagai pemimpin mereka.

Pada satu ketika dahulu jika ada  Raja Melayu yang zalim saperti Raja Bersiong atau saperti Sultan Mahmud maka tidak dapat tidak, walau pun dalam budaya feudal – raja yang zalim ini akan dinyahkan. Raja zalim ini akan dihalau atau dibunuh. Ini nilai budaya salah benar Melayu – tanpa peguam atau akuan bersumpah.

Saya perhatikan krisis nilai ini  menjadi lebih tenat. Dalam masyrakat agraria salah dan benar  adalah salah dan benar. Tidak berdulak dalik.  Tidak perlu peguam atau surat aku janji. Tetapi nilai yang  sistem ekonomi kapitalis  yang dipaksakan ke atas Bani Melayu ini telah menjadikan sosok Melayu ini hilang punca.  Bani Melayu yang berslogan Ketuanan Melayu kini telah tidak dapat lagi memisahkan mana yang salah dan mana yang benar.

Untuk memahami krisis nilai ini mari kita lihat dengan lebih dekat kes  contoh - pembunuhan  Altantuya. Dalam kes ini Razak Baginda telah dituduh bersama dua orang anggota PDRM.  Razak Baginda terlepas dari hukuman gantung manakala dua anggota polis ini didapati bersalah. Tidak cukup dengan ini pihak peguam Negara tidak pula membuat  rayuan agar Razak Baginda dibicarakan sekali lagi.


Perangai Peguam Negara ini  amat berbeza dengan kes 4 Orang Mahasiswa UKM yang didapati tidak bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dalam politik.  Peguam Negara dengan pantas telah membuat rayuan agar 4 Mahasiswa UKM ini  diulang bicara. Kes bunuh Altantuya tidak ada ulang bicara. Tetapai dalam kes politik Mahasisawa UKM Peguiam Negara meminta ulang bicara. Inilah tanda bahawa Bani Melayu telah sesat nilai.

Kes pembunuhan Altantuya ini membuktikan  tesis saya bahawa ada satu kelompok besar  Bani Melayu  yang telah tidak lagi memiliki  nilai salah  dan benar. Bani Melayu ini yang bernabikan jual beli dan berkibalatkan keuntungan  telah tidak lagi memiliki  keupayaan untuk menilai  mana  yang salah dan mana yang benar. Mereka hanya memiliki keupayaan untuk menimbang nilai  untung dan rugi.

Justeru, krisis nilai ini ditenatkan lagi dengan ajaran agama.  Islam telah mengajar  Bani Melayu yang mualaf ini  untuk menjadi manusia yang jujur. Untuk menjadi umat yang berani berkata benar dan bangun menentang kemungakaran dan kebatilan. Semua prinsip ajaran agama ini hancur berderai apabila kita jadikan kes pembunuhan  Altantuya ini sebagai bahan rujukan


Dua minggu ini Bani Melayu telah mendengar temu bual dan pengakuan  Deepak Jaikishan.  Saudagar permaidani ini pernah mengakui  Rosmah Mansor sebagai kakak angkatnya. Saudagar ini juga memiliki hubungan yang intim dengan suami Rosmah.  Dari temu bual saudagar  ini jelas menunjukkan bukan sahaja Najib Razak yang terlibat dalam kes Altantuya ini malah Rosmah Mansor juga terlibat sama. Awas! Bukan setakat  laki bini sahaja yang terlibat  -  adik  Najib Razak juga terlibat sama.

Pada satu ketika dahulu ada Bani Melayu  bingar melauan-laungkan Ketuanan Melayu, Kedaulatan Raja-Raja  Melayu dan Islam kini  meraka senyap tidak berkata apa-apa. Tidak ada mufti, tidak ada imam, tidak ada Tok Kadi , tidak ada Ustaz atau  Ustazah yang berani bertanya : betulkah apa yang dikatakan oleh Deepak ini?

Tidak ada pun seorang pemimpin kerajaan, tidak ada Menteri Besar Bani Melayu, tidak ada  Menteri Bani Melayu malah tidak ada Raja Melayu yang dikatakan sebagai kepala Agama Islam yang cuba berani bertanya – apakahn ‘ tuduhan dan pengakuan’ Deepak benar atau salah.

Untuk saya apabila  Bani Melayu ini senyap maka ini  membuktikan  tesis saya bahawa mereka sedang sakit tenat dan  mengahadapi penyakit ketidak tentuan arah nilai. Untuk saya – semuanya jelas -  Bani Melayu ini telah kehilangan nilai – salah dan benar. Bani Melayu ini tidak dapat legi mengenal hitam dan puteh -  yang pada satu ketika dahulu dimiliki oleh datuk nenek moyang mereka.hadapan.(TT)


INGATAN:
Tulisan ini telah keluar
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar mingguan ini sila 
pukul talipon 03- 22-74-40-45










-------

TANAH KENA RAMPAS DI PENGERANG- ORANG KAMPONG JADI MAYAT




 KOMENTAR TUKAR TIUB
lihat dan baca
inilah cara  media melaporkan berita keluarga jadi mayat
tidak ada diusik tentang tanah mereka akan di rembat
tidak ada dikatakan kenapa mereka bunuh diri

justeru ini lah
satu lagi sebab kenapa
1 juta rakyat wajib turun ke jalan raya
pada 12 januari ini



3 beranak maut hidu asap beracun

Cetak

Kota Tinggi: Sepasang suami isteri bersama anak mereka yang juga penghidap Sindrom Down ditemui mati, dipercayai akibat lemas di rumah mereka di Kampung Jawa, Pengerang di sini semalam. 

Mayat mereka ditemui pasukan polis yang membuat pemeriksaan selepas menerima laporan jiran yang mengesyaki sesuatu selepas rumah keluarga berkenaan ditutup rapat. 
Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Mahazan Che Aik, berkata mayat lelaki berusia 60 tahun; isterinya 57 tahun dan anak lelaki mereka berusia lingkungan 20-an ditemui di bilik utama rumah berkenaan. 



Bakar bahan getah 

Katanya, pemeriksaan awal mendapati ada bau asap di dalam rumah itu dan pihaknya mengesyaki ia menjadi punca kematian tiga sekeluarga itu. 

Difahamkan, lelaki itu mengunci bilik utama sejak tengah malam kelmarin sebelum mengambil serbuk kayu dan membakar bahan getah bagi mengeluarkan asap sehingga menyebabkan ketiga-tiga mereka lemas akibat terhidu asap. 

Kejadian itu hanya disedari jiran mangsa yang curiga apabila melihat rumah mangsa bertutup sepanjang hari dan sunyi berbanding biasanya kedengaran suara bising anak mangsa.
 
Tiada unsur jenayah 

“Kami mendapati ada bau asap dalam rumah berkenaan yang dipercayai punca ketiga-tiga mereka lemas. Hasil bedah siasat juga mendapati mereka mati akibat membunuh diri dan tiada unsur jenayah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Che Mahazan berkata, penduduk mendakwa lelaki itu pernah memberitahu jirannya bahawa dia ingin membunuh diri berikutan kesukaran hidup akibat isterinya yang lumpuh akibat serangan angin ahmar dan anak mereka menghidap Sindrom Down.



----------

SANG SAKA BENDERA RAKYAT UNTUK MALAYSIA

SALUT
ANAK MUDA BERANI


SANG SAKA BENDERA RAKYAT  MALAYSIA YANG BARU

Bersempena dengan malam Tahun Baru tengah malam ini. Kami mewakili seluruh Anak Muda menuntut kepada pihak yang bertanggungjawab agar menulis sejarah dengan telus dan mengiktiraf pejuang-pejuang gerakan kiri sebagai pejuang kemerdekaan sebenar. Di kesempatan ini juga kami menegaskan sekali lagi, bahawa kami tidak mewakili mana-mana pertubuhan mahupun parti politik. Kami Anak Muda hanya ingin pejuang kemerdekaan sebenar diiktiraf dan dihargai pengorbanan mereka dan bendera yang kami kibarkan hari ini adalah simbolik kepada perjuangan mereka.

Ramai sedia maklum  akan kewujudan kesatuan terawal yang terlibat dalam menentang penjajah. Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada 1938 adalah gerakan terawal menentang British. Di sinilah bibit-bibit penentangan penjajah berlaku. Ditunjangi oleh Ibrahim Yaakob bertujuan untuk melindungi Hak-Hak orang Melayu dan menentang penjajah British.

Pada tahun 1945, wujud pula Parti kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti ini merupakan parti politik Melayu yang pertama tertubuh di Tanah Melayu ketika itu. Matlamat utama penubuhan PKMM ialah untuk menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris. Parti ini dipelopori oleh Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. PKMM mempunyai dua saya iatu Angkatan Pemuda Insaf (API) yang di ketuai oleh Ahmad Boestamam dan Angkatan Wanita sedar (AWAS) yang diketuai oleh Ustazah Shamsiah Fakeh.

Bagaimanapun beberapa bulan kemudian apabila Kesatuan Melayu Muda (KMM) bergabung dengan PKMM, Dr Burhanuddin Helmi telah mengambil alih pucuk pimpinan sebagai presidennya yang kedua. Dalam bulan Disember 1947, PKMM bertukar lagi pucuk pimpinan dan kali ini disandang oleh Ishak Haji Muhammad sebagai presidennya yang ketiga. Perjuangan PKMM adalah jelas pada waktu itu adalah bertujuan ingin membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman penjajah British dengan slogan perjuangan Mereka ketika itu “Merdeka” dan perjuangan UMNO ketika Itu dengan Slogan Hidup Melayu. 

Selepas tamat Perang dunia ke-2, British kembali ke Tanah Melayu selepas tentera Jepun mengaku kalah dalam peperangan tersebut. perkara ini menyaksikan panji "Union Jack" kembali dikibarkan di Tanah Melayu. Ini bermakna Tanah Melayu kembali menjadi Tanah Jajahan British. Sumber ekonomi seperti Getah, Bijih Timah kembali menjadi alternatif untuk menyelamatkan ekonomi British pada ketika itu. selepas perang Dunia ke-2 Tanah melayu menjadi wilayah bebas dan tidak terikat dengan undang-undang kolonial pada ketika itu. Pada ketika itu juga muncul sebilangan anak muda dan kesatuan yang mahukan perubahan hasil dari semangat perjuangan Tokoh-tokoh dari Indonesia seperti, Soekarno, Bung Tomo dan Tan Melaka. Muncul juga beberapa pertubuhan seperti Malayan Democratic Union (MDU), Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU)dan Parti Kebangsaan Melyu malaya (PKMM) yang membela nasib rakyat ketika itu. Perkara ini mengusarkan penjajah British, Lalu British mengagaskan Malayan Union pada 1 April 1946.

Namun Malayan Union mendapat tentangan hebat pada ketika itu dari rakyat ditanah Melayu. Beberapa faktor yang membawa penentangan kepada Malayan Union adalah kerana Raja Melayu bakal kehilangan takhta dan kewarganegaraan Jus Soli kepada imigran asing. Oleh sebab itu, British membuat rundingan bersama Garbenor Malayan Union, Raja Melayu dan UMNO untuk mengagaskan pula Perlembagaan Persekutuan yang terus membantu British untuk mencengkam Tanah Melayu dibawah Tanah Jajahanya. Raja Melayu dan Umno ketika itu menyokong Perlembagaan Persekutuan demi menyelamatkan kedudukan mereka supaya terus berkuasa ditakhta selain slogan  perjuangan umno ketika itu "Hidup Melayu" dan bukan bermotif kemerdekaan.

Perkara ini telah menimbulkan kemarahan Pejuang Kiri ketika itu yang ingin melihat Tanah Melayu Bebas dari kuasa asing dan membantah perlembagaan persekutuan. Perkara ini menyebabkan pertubuhan-pertubuhan kiri bergabung dibawah All-Malaya council of Join Action (AMCJA). dan pertubuhan kiri paling berpengaruh PKMM membuat gabungan sendiri bersama sayapnya iaitu API, AWAS dan GERAM dibawah gabungan Pusat Tenaga Ra'ayat (PUTERA). Akhirnya dua gabungan ini menjadi satu selepas menilai motif perjuangan yang sama iaitu membubar Perlembagaan Persekutuan dan menuntut kemerdekaan Malaya. gabungan ini digabungkan dengan nama PUTERA-AMCJA.

Setelah PUTERA-AMCJA sedar mereka perlu membuat sesuatu untuk menidakkan agenda British ini, satu rundingan telah diadakan antara pertubuhan dibawah AMCJA-PUTERA. Pertubuhan yang hadir adalah,PKMM, PMFTU, API, AWAS, BATAS, MIC, MNDYL, GERAM, MPAJ-ESCU, 12- STAE WOMEN'S FEDERATION, MDU (sebagai general secretary) dan Tan Cheng Lock dan Ishak Hj Mohamad (Pak Sako) sebagai pengerusi. dalam perbincangan ini, semua gabungan sepakat untuk menubuhkan Perlembagaan Rakyat sebagai mekanisme untuk menentang perlembagaan Persekutuan.

Dalam Perlembagaan Rakyat Singapura termasuk dalam persekutuan, tidak dalam perlembagaan persekutuan milik British. Kewarganegaraan dengan rupa bangsa Melayu iaitu Melayu, cina dan India adalah sebangsa. kewarganegaraan bagi semua rakyat malaya berbanding warganegara ketat bagi bukan Melayu dalam perlembgaan persekutuan . Hak mengundi 18 Tahun Keatas  dalam perlembgaan rakyat manakala tiada pilihanraya dalam perlembagaan persekutuan. Hak Politik Samarata dalam perlembagaan Rakyat, tiada Hak politik dan Perlembagaan Persekutuan. Majlis Kaum-Kaum untuk menapis diskriminasi dalam perlembagaan rakyat manakala tiada badan penapis diskriminasi dalam perlembagaan persekutuan. Malaya negara Baru dalam perlembagaan rakyat, dalam perlembagaan persekutuan Malaya kekal koloni British. Malaya kearah negara sendiri dan merdeka dalam perlembgaan Rakyat manakala perlembagaan persekutuan hanya meletakkan Malaya dibawah naungan British. Perlembgaan rakyat telah  dicipta pada 10 Ogos 1947 manakala Perlembagaan Persekutuan dicipta oleh British, UMNO dan Raja-raja Melayu  pada 19 Disember 1946.
British melihat penentangan terhadap Perlembgaan Persekutuan semakin mendapat tentangan rakyat. Oleh itu, British menubuhkan semula "Societies Ordinance" menyekat kebebasan berpersatuan dan "Registrar of societies" bertindak menolak pendaftaran pertubuhan. Namun perkara ini sedikitpun tidak melemahkan perjuangan AMCJA-PUTERA.

Walaupun pada mulanya perkara dalam perlembagaan Rakyat iaitu kewarganegaraan rupa bangsa malaya iaitu semua bangsa adalah Melayu bakal difikirkan mendapat tentangan kaum lain yang berpendidikan namun perkara ini dipersetujui semua tanpa perbahasan. Rapat umum, Risalah terus diedarkan kepada rakyat untuk memperkenalkan perlembagaan Rakyat. Perkara ini mendapat sambutan hangat rakyat yang ingin melihat kemerdekaan 100%. Perjuangan merealisaikan perlembagaan Rakyat semakin giat dengan PUTERA-AMCJA bercadang untuk mengadakan bakal Hari Hartal pada 20 OKtober 1947 dari jam 6 pagi sehingga 12malam . media cetak ketika itu memainkan peranan dalam menyampaikan manifesto hartal kepada rakyat. Hartal adalah mogok rakyat berhenti dari membuat sebrang aktiviti harian rakyat sepanjang Hari Hartal. pada 16 Oktober wakil PUTERA-AMCJA di London, Lim Hong Bee menghantar perlembagaan Rakyat kepada ahli Parlimen British.

Tanggal 20 Oktober 1947, Hartal berlangsung dengan jayanya. ketika itu dikatakan seluruh Malaya lumpuh tanpa sebrang kegiatan harian atau kegiatan ekonomi. Hartal mendapat sokongan seluruh Rakyat ketika itu. Rakyat terus menolak perlembagaan Persekutuan dan mengangkat Perlembagaan Rakyat. Namun perintah darurat dikeluarkan British pada 18 Jun 1948 atas alasan membanteras komunis. 29,857 orang ditahan dan 10,000 orang daripada jumlah itu adalah orang Melayu. Lihatlah betapa manis perjuangan ini. sayangnya saya tidak pernah terbaca dalam mana-mana buku teks akan cerita ini. Ayuh terus kita raikan tanggal 20 Oktober ini akan tarikh keramat yang memperlihatkan rakyat bangkit, semua rakyat bersatu menentang penjajah.

Perjuangan PKMM dan PUTERA-AMCJA sangat sinonim akan Bendera Sang Saka Merah Putih atau dikenali juga dengan nama bendera rakyat. Di Tanah Melayu Sang saka Merah Putih telah menjadi lambang kemegahan kerajaan melayu Melaka dengan menjadikan panji itu sebagai simbol kerajaan. Namun selepas kejatuhan kerajaan Melayu Melaka pada 1511, kerajaan kepulauan Indonesia pula menjadikan Sang saka Merah Putih sebagai simbol.

Pada  abad ke-17 kerajaan majapahit telah menggunakan warna merah putih sebagai lambang kerajaan mereka. Selepas lenyap kerajaan Majapahit, kerajaan mataram turut menggunakan motif panji yang sama.

Pada Jun 1947, PKMM telah mengisytiharkan Sang Saka Merah putih sebagai lambang perjuangan mereka seperti dilaporkan majalah kenchana pada tahun tersebut. Namun pada  10 Disember tahun yang sama PKMM bersama dalam komponen PUTERA-AMCJA telah mengisytiharkan Bendera Rakyat atau Bendera Sang saka Merah Putih dengan 12 bintang  berwarna kuning sebagai bendera perjuangan mereka.

12 bintang pada bendera tersebut melambangkan 9 negeri Melayu dan 3 negeri selat di Tanah Melayu. Manakala warna kuning pada bintang melambangkan keadilan dan kedaulatan rakyat,  perlembagaan rakyat yang diiktiraf dan membayangkan semua negeri dalam keadaan aman dan makmur.

Bintang berbucu lima pada bendera pula melambangkan ketuhanan, kedaulatan rakyat,  keadilan sosial, kebajikan, dan kebangsaan. Warna merah pada bendera melambangkan keberanian dan kuasa rakyat untuk menentang imperialis penjajahan dan diskriminasi kaum agar tertegak keadilan dan demokrasi di Malaya.

Warna Putih pada bendera pula melambangkan perjuangan yang didasarkan kepada kejujuran dan kesucian untuk mencapai kebebasan dengan cita-cita yang satu iaitu kemerdekaan sendiri dengan berpaksi rakyat.

Setelah mengamati perjuangan  KMM hingga tertubuhnya PUTERA-AMCJA, kami melihat mereka adalah pejuang sejati kemerdekaan. Oleh itu, kami barisan Anak Muda berharap agar semua pihak membuka mata akan sejarah ini dan mengiktiraf perjuangan mereka. Pengibaran Bendera Rakyat pada Malam ini adalah simbol Anak Muda mengiktiraf perjuangan PUTERA-AMCJA dengan berharap pihak bertanggungjawab menilai sendiri akan perjuangan yang jelas menentang kuasa Imperialis dan menuntut kemerdekaan tanah Melayu.


-------

SIAPA COOL DAN SIAPA POYO - TUNGGU DAN NANTI



SIAPA YANG POYO
 SIAPA COOL SIAPA POYO
apa pasal pulak baju batik poyo? Pakai jeans cool? Pakai jean kalau otak bangang kaki hang setia...tak guna langsung...hampeh... baju batik local made...industri local...melayu bikin...apa pasal kasi taukeh kapitalis jeans untung? mana pigi sosialisme???? Sudah jadi budak kapitalis hanya kerana perkataan cool dan poyo??? Huh... on SENARAI COOL AKAN MUNCUL - TUNGGU DAN NANTI

Anonymous
on 12/31/12

MB SELANGOR COOL
Cctv cool : mb khalid ibrahim baca teliti kertas kerja komen/tanda tangan dan campak kertas kerja dalam tray.. pada tarikh dan masa yg puak umno tuduh dia buat skandal dlm pejabat MB TT... aku nak kategori ni tercalon !!!!!! on SENARAI COOL AKAN MUNCUL - TUNGGU DAN NANTI
Publish | Delete | Spam
Anonymous
on 12/31/12


--------

TUKAR TIUB PEMECAH BERITA - TANAH MEREKA DI RAMPAS MEREK JADI MAYAT




SEBELUM KITA SEMUA JADI MAYAT
LEBIH BAIK
BANGUN MELAWAN
 

TUKAR TIUB PEMECAH BERITA

SEKELUARGA BUNUH DIRI SELEPAS TERIMA SURAT PENGAMBILAN TANAH

Pagi ini saya menerima maklumat bahawa seeluarga Pang yang mempunyai 3
ahli keluarga di Kampung Jawa, didapati semua ahli keluarganya
membunuh diri di tempat tinggal sendiri dengan membakar serpihan arang
di blik.

Gabungan NGO Pengerang (GNP) lalu pergi ke tempat tragedi tersebut,
dan 3 mayat telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

Melalui penduduk tempatan, Ahli Gabungan telah dimaklumkan bahawa
Keluarga Pang ini adalah keluarga miskin, dan isterinya adalah pesakit
strok, dan anaknya yang berumur 20 tahun itu, merupakan orang kurang
upaya yang mempunyai kecacatan akal. Encik Pang yang berumur 50 -an
bekerja sebagai pembantu restoran, akan tetapi baru-baru dia perlu
menjaga isteri dan anaknya, dia terpaksa berhenti berkerja.

Beberapa bulan yang lalu, disebabkan oleh pembangunan RAPID, Keluarga
Pang telah menerima surat pengambil tanah. Rumah kediaman Keluarga
Pang dibina diatas seorang tuan tanah lain, sehubungan itu Keluarga
Pang cuma menerima pampasan sebanyak RM20 ribu sahaja sebagai
pampasan.

Selepas Pang menerima surat pengambilan tanah, dia pernah meminta
pertolongan dari pihak parti politik pemerintah, dan pernah
memberitahu pihak tersebut bahawa dia ingin membunuh diri.

GNP berasa amat sedih terhadap tragedi yang berlaku, dimana keluarga
miskin tidak dapat menahan tekanan hidup, hasil dari pengambilan tanah
oleh pihak pemaju, dan akhirnya terpaksa membunuh diri.

Kami juga menyeru pihak kerajaan perlu mengambil berat terhadap apa
yang telah berlaku, jika pihak berkenaan masih lagi berkeras untuk
terus membuat pembangunan ini, dipercayai akan menyebabkan lebih
banyak tragedi berlaku di Pengarang

Chua Peng Sin (013-7241409)
Bendahari
Gabungan NGO Pengerang
1hb Januari 2013



---

Selasa, 1 Januari 2013

UCAPAN SELAMAT DARI TIM TUKAR TIUB




UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU

 




-----