Kenyataan Akhbar Majlis PR Perak Mengenai Pelaksanaan Hukum Hudud
Merujuk kepada dua kenyataan akhbar yang diterbitkan oleh Majlis Pimpinan PR Perak dan kenyataan akhbar oleh Dr Khairuddin Dato’ Abdul Malik, Setiausaha PR Perak, pada 23hb dan 24hb Mach, 2015, yang lalu. KEADILAN Perak ingin menjelaskan bahawa kedua-dua kenyataan tersebut adalah jelas dan tiada perlu disensasikan oleh mana-mana pihak.
KEADILAN Perak berpandangan bahawa semua parti-parti dalam PR di peringkat pusat dan negeri wajar memberhentikan dengan segera polimik pelaksanaan hudud di negara ini.
Keutamaan sekarang adalah untuk merapatkan semula saf kepemimpinan PR supaya keyakinan rakyat kepada PR tidak goyah.
Justeru, KEADILAN Perak ingin mengambil langkah-langkah yang pro aktif bagi menjelaskan kepada rakyat di negeri Perak tentang kepentingan memahami syari’at Islam secara komprehensif dan realistik (waqi’i).
Justeru, pandangan ulama-ulama muktabar di dunia Islam pada masa ini seperti Syaikh Yusuf al-Qaradawi, Pengerusi, Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Timbalannya, Syaikh Dr Ahmad al-Raisuni dan lain-lain ilmuan Islam yang berotoriti, adalah penting untuk dirujuk dan dijadikan formula penyelesaian kemelut pemikiran umat Islam saat ini dalam pelbagai aspek dan secara khusus salah faham mengenai pelaksanaan hudud.
KEADILAN Perak berpenderian bahawa kefahaman yang mendalam mengenai doktrin maqasid syari’ah (tujuan-tujuan syari’at) seperti yang dimuwafakatkan oleh ulama ulama salaf dan khalaf wajar dikaji dengan mendalam dan diikuti dengan pelaksanaan yang berhikmah.
Dalam hubungan ini, Syaikh Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa umat Islam dewasa ini wajar diraikan dengan hukuman yang lebih ringan (mura’at al-taysir) dari hukuman yang berat (ta’sir) seandainya mereka melakukan kesalahan. Ini adalah kerana rata-rata umat Islam hidup dalam suasana yang lebih sukar dan sulit.
KEADILAN Perak merasa kesal kerana ada kecenderungan beberapa individu mutakhir ini yang kononya berjuang untuk melaksanakan syari’at tetapi bersikap kasar dan cenderung untuk melakukan tindakan ganas ke atas beberapa individu yang celupar dan tidak beradab terhadap syari’at Islam. Mereka sewajarnya menghayati akhlak mulia anjuran al-Qur’an dan Sunnah.
Biro Pemahaman dan Pemantaman Agama (BiPPA), Perak, akan menganjurkan Seminar Islam Agama Kerahmatan Untuk Manusia pada awal May, 2015, terbuka kepada orang ramai. Objektif utama adalah untuk mendidik masyarakat memahami ajaran Islam dengan lebih jelas dan tepat.
Dr Muhammad Nur Manuty
Penegerusi
Majlis Pimpinan Negeri
PARTI KEADILAN RAKYAT Perak
25hb Mach, 2014