Selasa, 20 Januari 2015

ANK MUDA MULA MENYERANG





KENYATAAN WAN JUNAIDI UMPAMA MELUDAH NAIK KE LANGIT
 MENIMPA MUKA SENDIRI

KEADILAN DESAK KABINET BUKA KAUNTER IMIGRESEN SEMULA

Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara atas talian mulai 15 Januari 2015 bertujuan menangani peranan orang tengah yang mengenakan caj berlebihan dan mengelakkan daripada menunggu lama dan rasuah antara kakitangan Imigresen.[1]

Saya difahamkan Wan Junaidi sendiri mengakui terdapat gejala rasuah yang wujud dalam kementerian beliau. Beliau juga sedar bahawa sistem yang sedia ada memang mengakibatkan kesesakan di kaunter, dan rakyat terpaksa menunggu lama di kaunter.

Saya terkilan dengan tindakan Wan Junaidi selaku Timbalan Menteri yang menuduh jari terhadap kementerian sendiri. Persoalannya, mengapakah tiada sebarang tindakan proaktif diambil oleh beliau serta menteri  Ahmad Zahid Hamidi sendiri selama ini?

Sebagai menteri yang profesional dan bertanggungjawab, bukan sukar untuk mereka mengambil pendekatan proaktif bagi menangani isu ini seperti menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang bersalah serta memupuk kesedaran dan kefahaman mengenai tata etika kerja penjawat awam.

Wan Junaidi juga sedar bahawa kaunter yang sedia ada mengalami kesesakan yang serius sehingga memberikan ruang kepada orang tengah untuk mengaut keuntungan. Persoalannya, mengapakah tiada sebarang penyelesaian diambil sebelum ini bagi meningkatkan kecekapan lalulintas serta meringkaskan proses pembaharuan? Mengapakah sistem atas talian tidak boleh diterokai oleh kementerian sendiri, tetapi sanggup disumberluarkan kepada syarikat swasta yang kemudiannya mengaut keuntungan durian runtuh mencecah RM400 juta, dan Bekas Bekas Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang Raja Haji Munir Shah mendapat keuntungan atas kertas melebihi RM130 juta? Ini belum lagi mengambil kira risiko kebocoran maklumat sensitifyang perlu ditanggung oleh rakyat dan negara.

Maka saya mengecam sekeras-kerasnya tuduhan-tuduhan liar yang dibuat oleh Wan Junaidi. Saya menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tuduhan yang tidak bertanggungjawab, dan telah menjejaskan imej kementerian dan negara. Ianya seolah-olah memberikan gambaran bahawa semua kakitangan kementerian tersebut terjebak dalam budaya rasuah. Saya mencabar Wan Junaidi memgemukakan bukti-bukti tersebut sebelum membawa hujah, dan bukan menjadikan pegawai kerajaan dan orang tengah sebagai kambing hitam.

Saya mengingatkan Wan Junaidi sekali lagi bahawa isu pokoknya adalah monopoli pembaharuan PLKS oleh MyEG selepas semua kaunter imigresen telahpun ditutup mulai 5 Jan 2015. Saya mendesak kabinet membuat keputusan membuka semula kaunter imigresen supaya majikan dan rakyat berhak membuat pilihan sendiri.

Akhir sekali, sebagai pihak tertinggi sesebuah kementerian, Wan Junaidi dan Ahmad Zahid harus bertanggungjawab sepenuhnya atas semua kelemahan dan kepincangan tersebut. Jangan cuba salahkan pihak lain dan pegawai bahawan.

Ingatlah pepatah Melayu: meludah naik ke langit , menimpa muka sendiri juga.

YB Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan 
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat

---------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Elok elok tiada orang tengah tapi kini sah diwujudkan orang tengah untuk menyusahkan rakyat. ORANG TENGAH INI BERNAMA MYEG. Setiap satu pemohonan dikenakan caj sebanyak RM38.00. Syabas dan tahniah Kerajaan Malaysia atas initiatif ini.