Selasa, 24 September 2024

TRUMP MAHU PERANG UKRAINE TAMAT




Trump kata Presiden Ukraine mahu Demokrat menang pemilihan Presiden AS


WASHINGTON: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) mewakili Republikan, Donald Trump, berkata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, mahu calon Demokrat, Naib Presiden AS, Kamala Harris, memenangi pemilihan Presiden AS 2024.

"Ini kerana jika saya menjadi Presiden AS, saya akan memanggil Presiden Russia, Vladimir Putin dan Zelenskiy bagi menggesa kedua mereka mencapai perjanjian untuk menamatkan perang Russia-Ukraine.

"Saya rasa Zelenskiy adalah 'jurujual' terhebat dalam sejarah. Setiap kali beliau masuk ke AS, beliau 'membawa pergi' sekitar AS$60 bilion (RM250 bilion).

"Beliau begitu terdesak mahukan mereka (Demokrat) memenangi pilihan raya ini tetapi saya akan melakukan perkara yang berbeza, saya akan mewujudkan keamanan," katanya pada perhimpunan kempen di Pennsylvania.


Dalam pada itu, tinjauan pendapat menunjukkan persaingan masih sengit antara Trump dan Harris, dengan kedua-duanya menerima sokongan hampir sama.

Zelenskiy tiba di AS pada Ahad untuk menghadiri sesi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan menggesa rakan kongsinya untuk membantu mencapai 'kemenangan bersama untuk keamanan yang benar-benar adil'.

Washington dan sekutunya membiayai program bantuan berbilion dolar kepada Ukraine sejak pencerobohan Russia bermula pada Februari 2022 sambil turut mengenakan beberapa kali sekatan terhadap Moscow.

Trump secara konsisten menyifatkan bantuan AS kepada Ukraine sebagai satu pembaziran wang dan enggan mengatakan beliau mahu Ukraine menang.

Walaupun Trump dan Zelenskiy bercakap melalui telefon pada Julai, mereka secara peribadi tidak berbincang sejak era pentadbiran Trump dari 2017 hingga 2021.

Zelenskiy sebelum ini berkata, beliau tidak boleh meramalkan apa akan dilakukan Trump jika menang pada November lalu, tetapi berharap Republikan mengekalkan sokongan tentera AS untuk Ukraine.

Pencerobohan Russia secara besar-besaran ke atas Ukraine menyebabkan kematian berpuluh-puluh ribu orang, menyebabkan jutaan kehilangan tempat tinggal dan memusnahkan sebahagian besar pekan serta bandar di Ukraine.

Putin berkata, rundingan damai boleh dimulakan hanya jika Kyiv meninggalkan kawasan timur dan selatan Ukraine kepada Russia dan meluupakan hasrat menganggotai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Zelenskiy berulang kali meminta penarikan keluar semua tentera Russia dan pemulihan sempadan kembali kepada kedudukan pasca-Soviet Ukraine.

Ukraine dan Barat mengatakan Russia sedang melancarkan perang ala empayar dan Putin menjadikan pencerobohan Ukraine sebagai langkah pertahanan menentang Barat yang mahu bermusuhan dan bersifat agresif. - REUTERS

JIKA TRUMP

JADI PRESIDEN

PERANG UKRAINE

AKAN DITAMATKAN

AMIN

AMERIKA TAK

MAHU BERI DUIT

PADA ZELENSKIY

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: