Polis buka kertas siasatan kes resit pesanan makanan segera hina Islam
JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan gambar resit pesanan makanan segera yang tular tertera perkataan menghina kaum Melayu dan Islam dikesan berlaku di Kluang, Batu Pahat dan Muar.
Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, pesanan pada resit bertarikh 19 dan 20 Disember itu dipercayai membabitkan individu yang sama walaupun berlaku di tiga daerah berbeza di negeri itu.
“Laporan polis mengenai penularan itu telah diterima. Kes masih peringkat siasatan dan usaha untuk mengesan serta menangkap suspek yang terlibat sedang giat dijalankan.
“Tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Kumar, Polis Johor memandang serius serta memberi amaran sekerasnya terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen agama dan menyentuh sensitiviti kaum terutama dalam media sosial.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil mengikut peruntukkan undang-undang terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.
Sebelum itu, tular dalam media sosial apabila paparan resit pesanan yang tertera tarikh 19 Disember lalu di sebuah restoran makanan segera di Kluang dimuat naik dan dikongsi pengguna.-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan