Khamis, 31 Ogos 2023

ABATA : AGAMA BANGSA DAN TANAH AIR



ABATA : AGAMA BANGSA

DAN TANAH AIR


Dalam tulisan ini saya memperkenalkan konsep ABATA : Agama Bangsa dan Tanah Air. Saya juga memperkenalkan konsep RAB : Raja Agama dan Bangsa. 

RAB muncul kerana saya menolak istilah 3R : Royalty  Race dan Religion.  RAB  ialah Raja Bangsa dan Agama.

Istilah Melayu ini  lebih  tepat makna dari singkatan kata. Manakala 3R adalah kata singkat untuk mengingatkan pembelajaran di zaman penjajah. Di zaman penjajah yang diajar hanya  3R : Reading Writing dan Arithmetic. 

Kesedaran  dan pencerahan politik saya yang teratur hanya sampai kepada saya sesudah  Inggeris  meninggalkan Tanah Melayu. 

Di zaman Inggeris saya hanya merasa tempias perlawanan para nasionalis yang bangun melawan Inggeris. Tempias ini pun hanya saya dengar   dari cerita-cerita mulut.

Tahun 1998 di zaman  gerakan Reformasi – ketika Anwar Ibrahim dalam penjara –  ada saya terdengar cerita-cerita mulut dari sosok yang lebih berpengalaman bagaimana suasana Reformasi ketika itu disamakan  seperti zaman melawan Inggeris.

Ini kerana ketika ceramah Reformasi berjalan ada Mak Cik memberi gelang tangan, ada Minah memberi cincin dan ramai Abang dan adik menghulur duit untuk menyokong Gerakan Reformasi. 

Mengikut surah suasana ini sama seperti yang  pernah berlaku ketika Burhanudin, Pak Sako atau Boestamam mengadakan kempen  ceramah nasionalis melawan  Inggeris.

Tahun 2022 berlaku PRU15.  Selepas PRU15 ada PRN 6 Negeri. Pada hemat saya  dari dua babak ini    muncul  satu  lagi suasana. Tapi suasana ini bukan suasana melawan Inggeris. Juga bukan   suasana Reformasi. 

Saya mentakrifkan suasana ini sebagai suasana Kesedaran Melayu. 

Suasana Kesedaran Melayu ini muncul kerana  ada hukum dan syarat yang membawa kelahirannya. Syarat utama yang melahirkan suasana politik ini ialah nazaknya parti United Malays National Organisation.

Manifestasi dari kenazakkan ini ialah masuknya Najib Razak ke dalam penjara.  Pemenjaraan bekas Presiden United Malays National Organisation ini membuktikan bahawa parti ini sedang nazak.

Hegemoni dan kekuatan Parti Ketuanan Melayu ini telah lama terhakis semenjak PRU12 lagi. Perpecahan demi perpecahan telah lebih awal berlaku.

Pada tahun 1988 berlaku  penubuhan  Semangat 46 dan pada 1998 penyingkiran Anwar Ibrahim adalah diantara sebab musabab  yang menazakkan United Malays National Organisation. 

Barah rasuah dan salah guna kuasa menjadi pemangkin yang akan membawa batu nisan kepada parti yang klim sebagai Parti Keramat untuk orang Melayu.

Inilah latar belakang yang mewujudkan   Kesedaran Melayu. Inilah suasana yang memunculkan apa yang saya panggil  Abata. 

Apa makhluk   Abata ini?

Saya  mentakrif  Abata sebagai sesiapa sahaja yang menganut mazhab – agama bangsa dan tanah air. 

Agama itu Islam. Bangsa itu Melayu. Tanah air itu Tanah Melayu.

Abata ini eklusif untuk Melayu. Melayu DKK – darah keturunan  Keling atau DKA – darah keturunan Arab – atau para mualaf atau kumpulan  geng  Bin Abdullah ditolak dari mazhab Abata.

Hanya Melayu dari Nusantara yang boleh menghayati mazhab Abata. Tidak wujud Abata Celup atau Abata Sampingan. Ini kerana  kunci Abata ialah budaya Melayu. Rukun induk Abata ialah Kemelayuan. Kemelayuan itu bermakna budaya Melayu.

Islam Abata ialah Islam Melayu. Ini membezakan Islam Arab. Islam Abata bukan Islam Arab. Abata tidak meminati Islam jenis Taliban. 

Dalam kata mudah Islam ini Islam  Budaya Melayu. Islam  genre  Nusantara.

Wajib diakui bahawa Melayu juga bukan monolitik. Melayu juga terbagi-bagi. Tetapi majoriti Melayu tergulung ke dalam mazhab Abata.  

Salah satu watak Abata ialah mereka tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Ini bukan bermakna mereka tidak memiliki kesedaran politik. Jangan salah baca.

Mereka mengikuti perkembangan politik. Mereka tahu apa yang sedang berlaku. Abata menjadi pemerhati politik yang peka.

Abata menjadi pemerhati yang teliti. Mereka melihat tingkah laku semua parti politik. Pemerhatian rapi terhadap parti politik Melayu – United Malays National Organisation dan Parti Islam Pas, Bersatu, PKR atau Amanah.

Abata memerhati juga parti-parti China dan India. Abata memerhati tingkah laku MCA, MIC atau DAP. 

Satu ciri penting dalam mazhab Abata  pada ketika ini mereka curiga dan tidak percaya  kepada parti yang bukan parti Melayu. Paling jelas pada tahun 2023 mazhab Abata melihat parti DAP sebagai virus yang wajib dijauhi dan malah Abata  melihat DAP sebagai musuh.

Dalam PRU15 Abata berbondong-bondong telah meninggalkan United Malaysia National Organisation. Satu ketika dulu Abata memberi sokongan padu kepada parti yang klim sebagai parti Ketuanan Melayu. Kini tidak  lagi.

Abata telah hilang keyakinan terhadap United Malays National Organisation.  Abata melihat tipu belit dan kong kali kong pemimpin parti ini cukup menjelikkan. 

Satu ketika dahulu di zaman DAP masih belum berkuasa Abata tidak merasa gentar dengan parti ini. Parti DAP dilihat sama setaraf dengan MIC atau MCA.

Parti politik bukan Melayu yang tidak mengancam Melayu.

Sikap ini beralih apabila DAP mula menguasai Pulau Pinang.  Sikap  benci DAP kini beralih lagi. Abata kini melihat DAP sesudah PRU15 dan PRN 6 Negeri sebagai musuh.

Dari hitungan angka dan jumlah YB DAP dalam kerajaan Madani  atau dalam DUN Selangor atau  DUN Pulau Pinang jelas menunjukkan bahawa DAP kini berkuasa.

Abata merasa kuasa politik Melayu terhapus. Pada bacaan Abata taiko politik Tanah Melayu kini dimiliki oleh DAP.

Ucapan-ucapan lucah  dan jahat dari Ramasamy, dari Lim Kit Siang , dari Lim Guan Eng atau dari Nga Kor Ming meyakinkan Abata bahawa agenda Lee Kuan Yew yang mahu Tanah Melayu menjadi Malaysian Malaysia ini masih berjalan.

Nama Melayu  dan jati diri Melayu itu wajib di lupuskan. Cara terbaik seperti cara Inggeris ialah mengubah nama  Tanah Melayu  menjadi Malaya.

Abata membaca dengan   jelas Malaysian Malaysia adalah agenda jahat sama seperti mengubah nama  Kampung Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi sebagai Bangsar South. Abata melihat dan mentafsir bahawa projek Malaysian Malaysia ini mahu menghapuskan  Islam, Melayu dan Tanah Melayu.

Justeru Kesedaran Melayu Abata mula mengampuh melimpah dan membanjiri ruang yang satu ketika dulu di bawah kuasa hegemoni United Malays National Organisation.

Apa buktinya Abata mengampuh ?

Secara ilmiah kita buktikan dengan  jumlah kerusi yang di menangi oleh Perikatan  dalam PRU15 dan PRN 6 Negeri. Kemenangan ini ialah kerana Abata  mengalih sokongan. 

Satu lagi bukti ialah kemunculan  ramai kelas inteligensia Melayu yang secara terbuka mengkritik, memberi komen dan kadang kala memperlekeh Ketuanan Melayu.

Inteligensia Melayu ini menjadi pembuat pandangan, penyalur idea dan penggerak fikrah.

Kelas inteligensia Melayu  sebelum ini  di payung dan mencari makan dari tapak  tangan United Malays National Organisation. Kini kuasa dan hegemoni atau mungkin keupayaan memberi makan juga telah berkurangan. Maka  kelas ini telah berani melawan towkay.

Hegemoni dan kuasa United Malays National Organisation telah pecah terbarai. 

Inteligensia Melayu berbondong-bondong meninggalkan United Malays National Organisation.

Rata-rata dalam media sosial, dalam portal berita  yang bukan milik Madani atau yang tidak  di kawal oleh jentera Madani  kita boleh membaca, menuntun atau mendengar pandangan dari kelas inteligensia Melayu. 

Dari pengamatan saya semua ini hanya berlaku sesudah PRU15 dan sesudah PRN 6 Negeri. Kelas inteligensia Melayu ini  amat jelas  menganuti mazhab Abata.

Justeru dari  suasana Kesedaran Melayu ini sini muncul larangan RAB – Raja Agama dan Bangsa. Larangan ini menggunakan kuasa  dan aparatus daulah. Polis dan mahkamah  digunakan untuk membendung ombak Abata.

Mari kita kembali melihat sejarah. Pada tahun 1948 dahulu kuasa penjajah Inggeris telah memperkenalkan Akta Hasutan. Tujuan Akta Hasutan 1948 ialah untuk membendung, melarang dan menangkap para nasionalis dari berjaya menyebarkan pencerahan kepada orang Melayu. Orang Melayu pada ketika itu sedang dihasut oleh Boestamam, Pak Sako dan kawan-kawan  untuk bangun melawan penjajah Inggeris.

Saya tidak  harian dalam masa terdekat  Kerajaan Madani ini akan menggubal  satu akta baru – Akta RAB 2023.

Larangan dan kekangan untuk bercakap tentang Raja, Agama dan Bangsa ini betul- betul menusuk ke jantung Abata. Bezanya Abata tidak menyebut Raja – memadai dengan konsep tanah air.

Tangkapan, siasatan dan amaran tentangan larangan  RAB  saban hari kita baca dalam media. Semua dituju kepada penyokong Abata.

Bercakap hal Melayu salah, bercakap hal  Islam  salah, bercakap hal Raja salah. Larang tangkap cekau  dan penjara kini dihadapi oleh Abata.

Apakah ini dapat menumpas  Kesedaran Melayu ? Apakah ini akan memandulkan Abata ?   Tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/08/31/abata-agama-bangsa-dan-tanah-air
DAN
THE MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/459833


Tiada ulasan: