Perbuatan persenda institusi raja semakin didengari – Sultan Nazrin
KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah perbuatan mempersenda institusi raja semakin didengari di samping isu agama dan kaum yang turut disensasikan.
Baginda bertitah, sesungguhnya raja pemerintah berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Titah baginda lagi, raja pemerintah turut berperanan utama menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa, yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa, lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif.
“Hal ini menjadi amat relevan, bertambah relevan, malah semakin relevan ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya.
“Belakangan ini, perbuatan mahu mengetepikan adab, malah memijak adat, semakin dipelopori oleh kalangan yang buta huruf terhadap sejarah negaranya, kalangan yang cetek tentang tamadun bangsanya, kalangan yang berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung, minda yang tidak ada akar budaya, lalu melanggar adab dan menyisihkan adat,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 baginda di Istana Iskandariah di sini, pada Sabtu.
Berangkat sama ke istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.
Sultan Nazrin bertitah, terlalu berharga bagi tamadun yang telah dibina dibenarkan untuk dimusnahkan kerana perbuatan yang dicetuskan oleh individu dan organisasi yang longgar pegangan adat dan kosong fahaman adabnya; cerdiknya tidak boleh diikut dan dungunya tidak boleh diajar.
Titah baginda lagi, individu dan organisasi berkenaan bernafsu besar untuk memperkenalkan tatacara baharu, bersuara dan berkelakuan sumbang tidak bertempat, mempromosikan tingkah dan laku yang sangat bercanggah dengan kesopanan adat dan kehalusan adab.
“Warga perlu disedarkan untuk menolak perbuatan pencerobohan budaya, dan ditolak secara total kata dan suara, tingkah dan laku yang melanggar sempadan adab dan adat.
“Warga tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang tidak bertamadun, miskin adab, papa adat,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut bertitah, baginda menghargai lafaz yang dizahirkan oleh Raja Jaafar Raja (Raja Muda) serta ucapan yang dipersembahkan oleh Saarani (Menteri Besar Perak), bersetia menjunjung di atas batu jemala, ikrar ketaatsetiaan kepada takhta pemerintahan Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
“Semoga Beta tidak dilalikan, tidak dilekakan dalam mimpi indah, tidak dibuai kata-kata pujian berunsur pelipur lara.
“Ahli-ahli Dewan Negara, para ulama dan umara, hendaklah senantiasa menyembahkan kepada Beta kisah benar, berlandaskan fakta, agar Beta tidak akan tergelincir daripada menyempurnakan amanah Ilahi secara adil dan saksama. Mudah-mudahan terus ditingkatkan wasilah antara Beta dengan rakyat jelata,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada seramai 213 penerima sempena ulang tahun hari keputeraan baginda kali ini.
Daripada jumlah itu, seramai 59 individu akan menerima darjah kebesaran masing-masing hari ini. –
1 ulasan:
Pasai tak ikut perlembagaan...bersaing dengan rakyat marhaen tender sana tender sini pastu menteri tak leh kata apa melainkan pertahan "tender terbuka..." konon.
Catat Ulasan