Kenyataan Media : Kehadiran
Anwar Ibrahim ke Sidang
Dewan Rakyat
Angkatan Muda Keadilan tegas dengan pendirian bahawa Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, adalah seorang tahanan politik. Penahanan beliau merupakan satu kes ketidakadilan yang nyata di negara kita. Malahan, badan hak asasi manusia seperti Amnesty International turut mengklasifikasikan Anwar Ibrahim sebagai “prisoner of conscience”.
Pengarahnya, Richard Bennett mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan pemenjaraan melibatkan Anwar Ibrahim adalah bermotifkan politik. Selain itu, pendakwaan beliau di bawah Kanun Keseksaan adalah hanya satu helah untuk melakukan penindasan politik. Penolakan permohonan beliau untuk menghadiri sesi Sidang Dewan Rakyat yang akan datang adalah satu lagi bentuk pencabulan hak dan mencemari amalan demokrasi di negara kita.
Anwar Ibrahim sewajarnya dibenarkan untuk menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-13 yang akan bersidang pada 9 April 2015. Proses rayuan pengampunan ke atas Anwar Ibrahim yang disabit dengan kesalahan meliwat dan dihukum 5 tahun penjara sudah bermula dengan penyerahan petisyen oleh isteri dan anak-anak beliau kepada wakil Istana Negara pada petang Isnin 24 Feb 2015. Perkara 48 (4)(c) dalam Perlembagaan menjelaskan bahawa seseorang Ahli Parlimen hanya hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah petisyen yang dikemukakan itu ditolak.
Anwar Ibrahim adalah wakil bagi seluruh masyarakat di Permatang Pauh dan seluruh rakyat Malaysia sebagai Ketua Pembangkang. Maka, permohonan beliau wajar dipertimbangkan semula agar beliau dapat hadir dan membahaskan ucapan pembukaan Yang Di Pertuan Agong selaku Ketua Pembangkang.
Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi tidak wajar berselindung di sebalik penjawat awam dengan menggunakan mereka untuk menolak permohonan dari pihak Anwar Ibrahim untuk menghadiri sesi Sidang Dewan Rakyat ini.
Kenyataan bahawa tiada negara yang pernah membenarkan tahanan politik menghadiri sidang Parlimen, menunjukkan kecetekan minda sesetengah individu di dalam urusan ini. Beberapa keadaan, di mana seseorang Ahli Parlimen yang dipenjara hadir ke mahkamah pernah berlaku.
Sebagai contohnya, pada 11 oktober 2011, sebuah mahkamah Ukraine menjatuhkan hukuman 7 tahun penjara kepada ketua pembangkang Ukraine, Yulia Tymoshenko selepas mendapati beliau bersalah dalam menyalahgunakan jawatannya semasa menjadi broker urus janji gas 2009 dengan Rusia, akan tetapi beliau dibenarkan menghadiri sidang parlimen negara tersebut. Perkara ini adalah hak seorang tahanan politik selagi mana tidak ada undang – undang atau keputusan akhir untuk menggugurkan kelayakan beliau sebagai seorang Ahli Parlimen.
Tindakan terbaru Menteri ini, adalah bukti jelas bahawa UMNO dan Barisan Nasional sememangnya memilih untuk menjayakan konspirasi politik yang jahat ini demi menafikan hak Anwar Ibrahim untuk mewakili rakyat Malaysia. Hakikatnya UMNO dan Barisan Nasional terlalu takut untuk berhadapan dengan beliau dan ini adalah usaha untuk menyekat beliau dari menyuarakan kritikan ke atas pentadbiran kerajaan Barisan Nasional hari ini.
Angkatan Muda Keadilan mencabar, Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri untuk tampil ke khalayak mengemukakan hujah dan alasan penolakan permohonan Anwar Ibrahim untuk menghadiri sesi Sidang Dewan Rakyat.
DR AFIF BAHARDIN
ADUN Seberang Jaya, Parlimen Permatang Pauh
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan
------------
1 ulasan:
Dr cap ayam.
Catat Ulasan