Isnin, 29 Januari 2024

DAIM UZUR - KUAT UNTUK MELAWAN



Saya tidak peduli nasib saya – Tun Daim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan,  Daim Zainuddin hari ini sekali lagi  menafikan wujud sebarang salah laku.

Sebaliknya beliau tidak ‘sabar-sabar’ menanti hari perbicaraan bermula selepas didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta.

Daim mengakui dirinya agak uzur namun keyakinannya masih lagi kuat.

Walaupun keadaan tidak begitu mengizinkan beliau bercakap, Daim masih cuba untuk membaca kenyataan media di luar pekarangan Mahkamah Jalan Duta selepas didakwa di mahkamah itu.

Bagaimanapun beliau seperti tidak dapat meneruskan pembacaanya kemudian memohon maaf sebelum menyerahkan kenyataan itu kepada media sebelum pulang bersama  isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid bersama barisan peguam.

Antara yang terkandung dalam kenyataan itu termasuklah bagaimana Daim tidak mengakui salah terhadap tuduhan dilemparkan ke atasnya yang dipercayai bermotifkan politik.

“Saya tidak bersalah dan tidak sabar menunggu hari perbicaraan kelak. Namun, saya ingin menyatakan sesuatu mengenai keadaan negara kita.

“Seperti ramai yang lain mahukan sebuah Malaysia baharu, saya turut menyokong Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim pada 2018. Ketika itu, negara dihantui bayang-bayang skandal 1MDB.

“Tetapi kini, kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran yang menyalahguna kuasa, di samping janji-janji reformasi yang dimungkiri. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya.

“Demi mencapai jawatan perdana menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai timbalan perdana menteri. Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah timbalan perdana menteri itu digugurkan. Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?,” katanya.

Dakwa Daim, integriti dan tadbir urus baik semuanya ke ‘laut’ seperti SPRM, Peguam Negara dan LHDN diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik.

“Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara atau mengkritik kerajaan atau Anwar, malah menteri mengeluarkan ugutan menghantar kereta polis ke rumah mereka.

“Seharusnya Anwar mesti sedar yang semua ini ada tempiasnya. Ketika sibuk melunaskan dendam yang lampau, ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitaan rakyat biasa berterusan. Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?,” soalnya.

Katanya lagi, keyakinan yang ada pada dirinya tidak goyah walaupun sudah lanjut usia.

“Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya terhadap saya.

“Tetapi saya khuatir nasib negara saya. Jadi, saya menyeru anda melakukan apa yang terdaya dalam memelihara dan menyelamatkan negara ini. Jangan takut bersuara terhadap Anwar dan rejimnya. Sesebuah kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya, bukan sebaliknya.

Seperti kata pepatah, “Untuk memenangkan kejahatan, cukup sekadar orang baik tidak melakukan apa-apa”. Rakyat layak mendapat yang dijanjikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Daim sempat menitipkan firman Allah SWT dalam Surah al-Nur kepada Anwar Ibrahim berikutan ‘fitnah’ dilemparkan kepadanya.

“Kepada sahabat lama saya, Anwar Ibrahim, ingatlah akan firman Allah SWT dalam Surah al-Nur, bahawa mereka yang menyebarkan fitnah keji di kalangan orang-orang mukmin akan mendapat balasan pedih di dunia dan akhirat. Dan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui,” tegasnya. -



DALAM HAL

MAHKAMAH

DAN HAL DUNIA

ALLAH TAK CAMPUR

AMIN

DLM PERTEMPURAN

POLITIK 

SAPA PEGANG KUASA

DIA AKAN MENANG

AMIN

KHALAS

 

Tiada ulasan: