Isnin, 29 Januari 2024

KENYATAAN DAIM


Kenyataan Media

 Tun Daim Zainuddin, 

29 Januari 2024


Saya tidak akan berbicara mengenal tuduhan bermotifkan politik terhadap saya ini.

Saya tidak bersalah dan tidak sabar menunggu hari perbicaraan kelak.

Namun, saya ingin menyatakan sesuatu mengenai keadaan negara kita.

Seperti ramai yang lain yang mahukan sebuah Malaysia baharu, saya turut menyokong Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim pada 2018. Ketika itu, negara dihantui bayang-bayang skandal 1MDB.

Tetapi kini, kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran yang menyalahguna kuasa, di samping janji-janji reformasi yang dimungkiri. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan
sebaliknya.

Demi mencapai jawatan Perdana Menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah timbalan perdana menteri itu digugurkan. Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?

Kejujuran, integriti dan tadbir urus baik semuanya ke laut. Institusi bebas seperti SPRM, Peguam Negara dan LHDN diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik.

Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara atau mengkritik kerajaan atau Anwar, malah menteri mengeluarkan ugutan menghantar kereta polis ke rumah mereka.

Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Seharusnya Anwar mesti sedar yang semua ini ada tempiasnya.

Ketika sibuk melunaskan dendam yang lampau, ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitaan rakyat biasa berterusan.

Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan?

Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah.

Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya terhadap saya.

Tetapi saya khuatir nasib negara saya.

Jadi, saya menyeru anda melakukan apa yang terdaya dalam memelihara dan menyelamatkan negara ini.

Jangan takut bersuara terhadap Anwar dan rejimnya. Sesebuah kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya, bukan sebaliknya. Seperti kata pepatah, "Untuk memenangkan kejahatan, cukup sekadar orang baik tidak melakukan apa-apa," Rakyat layak mendapat yang dijanjikan.

Kepada sahabat lama saya, Anwar Ibrahim, ingatlah akan firman Allah swt dalam Surah al-Nur, bahawa mereka yang menyebarkan fitnah keji di kalangan orang-orang mukmin akan mendapat balasan pedih di dunia dan akhirat. Dan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.

Daim Zainuddin
29 Januari 2024


Tiada ulasan: