Jumaat, 30 April 2010

SEJARAH HULU SELANGOR




TASEK PERTAK YANG BERGELORA DENGAN PERJUANGAN





MENGHALA KE SUNGAI PERTAK
( Bahagian 2)

Kereta tua kami merenget mendaki bukit. Jalan aspal di lereng gunung kosong – tepinya belukar, pohonan subur, rendang indah dan hijau. Hutan dara di gunung ganang - jauh - kelihatan biru mententeramkan jiwa yang resah. Petang itu cukup lunak.

Aku ingat-ingat lupa wilayah ini. Kali akhir aku melinatsi wilayah ini pada tahun 1972 – ketika aku bersama satu kumpulan anak anak mahasiswa Universiti Malaya dijemput bercuti dan berbincang dengan Tun Sambanthan. Tepat - nama Jalan Tun Sambanthan di Brickfield itu adalah nama jalan untuk mengingati susuk ini.

Ketika itu, Sambanthan seorang vegeterian yang suka memakai dhoti , sedang menjadi kepala MIC dan bekerja sebagai Menteri Perpaduan. Kami aktivis dan pembuat pandangan di Universiti Malaya telah dijemput untuk mengeluarkan pandangan. Mencari dan menguji cara terbaik untuk melahirkan perpaduan dikalangan pelajar. Hampir dua minggu kami di Bukit Frazer berbincang dan berlabon ( lebih tepat bersantai ) untuk memberi pendapat kepada Pak Menteri. Kementerian Perpaduan ini diwujudkan sesudah Perikatan kalah besar pada tahun 1969. Sekarang kementerian ini telah dimansuhkan.

Aku ingat lagi petang itu : aku menumpang kereta pegawai dari Kementerian Perpaduan untuk ke Bukit Frazer. Bersama dalam kereta ialah Hamzah Zainuddin dari PMIUM. Pegawai kementerian ini telah menunjukkan selekoh di mana Henry Gurney telah dibedil. Pegawai ini bagitu yakin tentang selekoh ini. Aku yang baru memasuki 21 tahun terpaksa akur dan menerima pegawai Tun Sambantahn ini sebagai perawi membawa hadis saheh.

Aku teringat kembali si Hamzah Zainudin : apabila mendengar surah tentang Sir Henry Gurney dia kurang sedar bahawa yang dibunuh mati ialah musuh rakyat Tanah Melayu. Tapi aku ingat lagi , si Hamzah ini agak kagum dengan taktik gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang dapat membasmi wakil ratu Elizebeth di Tanah Melayu.

Tiba-tiba dihadapan aku ternampak Tembok Besar China – melintang luas. Rupa-rupanya ini sebahagian dari tembok empangan. Disebelah kiri gaung dan lembah yang dahulunya perkampongan Orang Asal kini telah ditenggelami air. Muncul tasek yang maha luas diatara celah kangkang banjaran ini. Ini tasik buatan manusia.

Aku amat sedar yang tasik disebelah kiri aku ini memiliki sejarah. Tasek ini adalah medan perjuangan anak anak muda pada satu ketika dahulu. Perjuangan SOS – Save Our Sungai – menentang pembinaan empangan ini. SOS - satu gerakan anak-anak muda dari kota yang memiliki kesedaran alam sekitar telah bangun menentang pembuatan empangan air ini.

Anak-anak muda ini bukan orang jahat tetapi mereka tidak memiliki analisa kelas dalam perjuangan mereka. Akhirnya mereka gagal seperti banyak perjuangan yang tidak memiliki pemahaman tengan modal, kapital dan kelas. Perhatikan pula - nama gerakan mereka - SOS – nama ini langsung tidak ada pertalian budaya dengan warga yang ingin dibantu. Bayangkan warga yang ingin diselamatkan ialah Orang Asal yang mi no spik inglis.

Akhirnya tanah wakaf , tanah buah buahan dan tanah kuburan Orang Asal ini tenggelam. Yang tinggal untuk aku lihat di petang itu hanyalah kocakan air yang indah. Dibawah ketenangan tasik ini adalah satu sejarah perjuangan yang bergelora.

Kadang-kadang Ngo di Malaysia ini suka buat lawak seram. Justeru, satu kesilapan yang selalu mereka lakukan – mereka menggunakan bahasa Inggeris. Mereka lupa 60 peratus dari warga yang ingin mereka sedarkan berucap dan menggunakan Bahasa Melayu. Kerana itu aku selalu ‘ketawakan’ ngo-ngo ini. Mereka tidak memiliki pertalian budaya dengan warga yang ingin mereka sedarkan.

Akhirnya aku sampai ke tempat yang dituju. Dari jauh aku ternampak deretan rumah banglow di atas bukit yang tersususun indah. Sekali pandang seperti projek cepat kaya Vincent Tan - membuat chalet di atas gunung. Aku silap. Ini adalah kampong perumaham Orang Asal – Kampong Pertak. Ini adalah rumah rumah baru. Aku difahamkan ini adalah rumah ganti rugi terhadap tanah tanah mereka yang hilang untuk selama-lamanya. Dari rumah kayu dan buluh – kini mereka menjadi moden – duduk dalam banglow.

Aku ngelencong memasuki kawasan perumahan ini. Kelihatan kereta kereta mewah tersadai dilereng bukit. Bendera gambar dacing bertaburan disana sini. Di bawah bukit ada satu dewan yang penuh dengan orang. Aku ternampak banyak lelaki berperut gendut , boroi dan memakai pakaian orang kota sambil mengibar bendera dacing. Orang Asal kelihatan berserabai , berseluar katuk dan ada yang tidak memakai baju. Nah! Dari pemerhatian aku satu ceramah sedang berjalan untuk meyakinkan Orang Asal kenapa mereka wajib mengundi dacing kerana muka calon langsung tidak ditunjukkan.

Kereta kami melintasi dewan dan kami terus masuk ke kawasan kampong. Lalu kami meletakan kereta di hadapan sebuah rumah yang ada terkibar bendera Pas, Dap dan PKR. Kami memilih hadapan rumah ini kerana merasakan tuan rumah ini orang baik – kereta kami pasti akan selamat. Kemudian kami menapak ke bawah bukit menuju ke sungai. Belum pun sampai ke tebing sungai telah aku dengari deraman air.

Aku ingin menyejukkan badan dengan air dari gunung. Jadi aku datang ke sungai berbatu batu ini untuk merasakan sejuk yang mengecutkan bandan. Aku ingat lagi ketika aku di London , satu malam aku terdengar dari radio ceramah seorang doktor yang mengatakan bahawa adalah amat baik untuk dijadikan amalan : jika kita semua mandi air sejuk dan menenggelamkan badan kita satu atau dua minit dalam tab mandi yang dipenuhi air sejuk.

Aku terus terpengaruh. Esoknya paginya aku mencuba. Kali pertama ianya betul satu perjuangan. Aku memasukkan kaki perlahan lahan ke dalam tab dan mencelupkan badan aku secepat mungkin ke dalam air sejuk. Dan bingkas keluar dari tab. Aduh ! Air kota London cukup sejuk sehinggakan telor aku hilang entah kemana. Setelah berminggu aku mengamalkan maka aku mula berjaya merendamkan badan seminit dua di dalam tab mandi. Amalan ini cukup baik untuk kesehatan – warga Nordic, Russia dan Tiongkok – di musim sejuk mengamalkannya dengan berenang dalam cairan air salju.

Bila aku mencecahkan kaki aku ke dalam air Sungai Pertak – rasanya memang sejuk – sesejuk air digunung. Tetapi aku yang telah biasa mandi ayer yang lebih sejuk merasakan air di lereng gunung ini biasa sahaja. Telor aku tidak hilang pada petang itu.

Ketika terlentang merendam badan dalam air aku ternampak dua orang anak muda Orang Asal. Mereka bermoto ke tepi sungai – kemudian mereka mandi tidak jauh dari lubuk aku sedang berendam. Kemudian mereka mandi tergesa-gesa dan terus beredar. Mungkin aku telah datang menggangu ketenangan wilayah mereka. Selalunya – kita lah – orang luar yang menghuru harakan kehidupan Orang Asal.

Kita datang ke kampong mereka dengan teori halal haram kita. Kita datang dengan konsep syurga dan neraka. Kita bawa dan tekanan nilai budaya kita kepada mereka. Dan dengan angkuh kita chap mereka sebagai ‘orang lain’. Dan kita merasa selamat bila berhadapan dengan ‘orang lain’ ini kerana kita merasa nilai yang kita pengang lebih molek dari nilai hidup mereka yang chumpang champing.

Aku amat sedar Orang Asal di Hulu Selangor telah menjadi bagitu stratejik. Undi mereka adalah dilihat sebagai undi penentu. Aku di beritahu ada seribu lebih Orang Asal yang layak mengundi di Hulu Selangor. Kemana arah undi Orang Asal Hulu Selangor akan menentukan siapa yang akan menjadi ahli Parlimen.

Walau pun di tempat aku berendam tidak ada air terjun tapi deraman ait cukup kuat. Air deras yang melanggar batu batu ini melahirkan bunyi menderam yang tidak putus-putus. Berapa juta tahun agaknya sungai ini telah mengalir tanpa ganguan empangan dan tembok. Berapa ribu tahun agaknya Orang Asal ini telah merayau di Hulu Selangor sebelum mereka bertemu dengan Harimau, Anjing dan Sauh. TT

(Bersambung)


10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sauh ke atau dacing?
Dacing lebih berirama.
KAH KAH KAH

jab sp berkata...

Semalam sewaktu baca teks yang disediakan olih orang politik ,dalam satu majlis seorang yang mengaku ketua agama pada sebuah negeri meratus,membebel,meracau apabila ada manusia yang tidak mahu mendengar katanya yang pernah dilafazkan terdahulu.dengan mimpi seolah Malaysia masih dizaman kesultanan Melaka dimana kuasa mutlak terletak dibawah satu manusia,dia meminta sesiapa yang tak suka dengar cakapnya,jangan datang kenegerinya.
adalah amat malang kerana dalam zaman sekarang dimana had dan kuasa mereka sebenarnya terhad,masih ada yang gagal mendapat penasihat yang dapat mengingatkan bahawa zaman feudal telah lama berlalu.penghakisan kuasa ini bukan dilakukan olih rakyat marhaen tetapi ianya datang daripada haluba dan tingkah laku tidak enak mereka sendiri berdasarkan catatan sejarah.mereka yang sewajarnya sebagai tunggak dan simbol satu intitusi dan tidak perlu melibatkan diri dalam apa jua kancah,samada kancah politik atau perniagaan telah gagal berbuat demikian hingga menghilangkan sebahagian kepercayaan bahawa mereka adalah pelindong kepada agama yang dianuti.tak caya tanya P.Ramlie dan lihatlah Musang Berjanggut.

Tanpa Nama berkata...

org asal nie mudah dibeli, sogok sikit pasti sokong. tapi mungkin ada yg berpendirian tetap.
harap2 ada pihak yg memberi maklumat dan penerangan kepada mereka semua.

2121studio berkata...

terima kasih kerana menggunakan foto saya tersebut... lebih banyak foto ada di http://www.flickr.com/photos/2121studio/

2121studio berkata...

terima kasih kerana menggunakan foto saya tu... lebih banyak foto ada di http://www.flickr.com/photos/2121studio/

Sepukal berkata...

alkohol memang jadi masalah besar di mana2 orang asli dalam dunia ni

housaeiff berkata...

Kah Kah Kah, kenapa mesti ada cerita TELOR dalam kosentrasi membaca Kah Kah Kah Lucu oooooooo.

housaeiff berkata...

ada cerita telor dalam kosentrasi membaca. Lawa la bro hisham Kah Kah Kah.

Tanpa Nama berkata...

Kalau ayaq dari bukit, mandi 60 kali sehari pun takpa.Eeee..Bestnya duduk di pedalaman.

Tanpa Nama berkata...

adakah hamzah zainuddin yang dimaksudkan hamzah yang kata isteri keduanya diganggu anwar ibrahim?