MOF Akui Jualan Rahmah ‘Sakitkan’ Peniaga Runcit — Banyak Aduan Diterima
KUALA LUMPUR, 14 Okt 25 — Kementerian Kewangan (MOF) mengakui program jualan harga murah anjuran kerajaan seperti Jualan Rahmah dan bantuan tunai Sumbangan Asas Rahmah (Sara) telah menjejaskan pendapatan ramai peniaga runcit di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata kementerian menerima “banyak aduan” daripada peruncit yang mendakwa jualan mereka merosot akibat pelaksanaan inisiatif Rahmah yang dijalankan secara besar-besaran oleh kerajaan.
“Betul, ini adalah situasi yang kita hadapi sekarang. Kita terima banyak aduan daripada pekedai yang perniagaan mereka terjejas kerana adanya Jualan Rahmah,” kata Lim ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, kerajaan sedar akan kesan itu tetapi menjelaskan bahawa mana-mana peruncit tempatan juga boleh memohon untuk menyertai program berkenaan, agar manfaatnya tidak terhad kepada pihak tertentu sahaja.
“Kita rancang supaya sesiapa pun boleh mengambil bahagian. Kalau ada lokasi Jualan Rahmah terlalu hampir dengan peruncit, kita akan elak daripada adakan di kawasan itu,” tambahnya.
Lim yang juga ahli Parlimen PH-Tanjong berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang membangkitkan rungutan peruncit di Johor, termasuk yang terkesan dengan pelaksanaan Jualan Kasih di negeri itu.
Walaupun mengakui impak negatif terhadap perniagaan kecil, Lim menegaskan tujuan utama program berkenaan kekal — untuk membantu golongan miskin tegar dan meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan perkenalkan Jualan Rahmah dan Sara bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan harga barangan asas, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya. @politiko.my


Tiada ulasan:
Catat Ulasan