173 lori bantuan masuk ke Gaza
ISTANBUL: Sebanyak 173 lori bantuan memasuki Semenanjung Gaza pada Ahad di bawah perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel, menurut Pejabat Media Kerajaan Palestin.
"Kami mengesahkan sebanyak 173 lori bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza pada 12 Oktober melalui lintasan sempadan, menandakan hari pertama selepas perjanjian gencatan senjata," menurut kenyataan pada Isnin yang dilaporkan oleh Anadolu Ajansi.
Kenyataan itu turut memaklumkan yang tiga lori gas memasak dan enam lori bahan api diesel turut dibenarkan masuk untuk membantu operasi kedai roti, penjana elektrik dan hospital di tengah-tengah kekurangan bekalan asas yang teruk.
Pejabat media itu menjelaskan yang jumlah bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza masih jauh daripada mencukupi bagi memenuhi keperluan asas penduduk.
"Malah keperluan asas kemanusiaan dan kehidupan bagi lebih 2.4 juta penduduk belum dapat dipenuhi sepenuhnya," katanya.
Pihak berkuasa itu juga mengulangi keperluan mendesak untuk bantuan yang besar, berterusan dan teratur, termasuk bahan api, gas memasak serta bekalan perubatan dan bantuan kecemasan.
Israel mengenakan sekatan terhadap Gaza yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk selama hampir 18 tahun dan mengetatkan lagi kepungan itu sejak Mac lepas apabila ia menutup lintasan sempadan serta menyekat penghantaran makanan dan ubat-ubatan, menjadikan Gaza hampir dilanda kebuluran.
Kemasukan lori-lori bantuan ini berlaku selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza dikuatkuasakan pada Jumaat, di bawah pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bagi menamatkan serangan dua tahun Israel ke atas wilayah itu.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel meragut lebih 67,800 nyawa rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sekali gus menjadikan wilayah itu hampir tidak boleh didiami.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan