Jumaat, 23 Oktober 2026

PRU16 MILIK BN-PN



JIKA KERJASAMA

DI TERUSKAN

PRU16 MILIK

BN - PN 

AMIN

TAPI AWAS!!!

PROJEK SALAH

BENDERA PASTI

DI RANCANG

KHALAS


PRN Melaka: Agihan Kerusi BN dan PAS bawa kelebihan strategik

KUALA LUMPUR: Langkah Barisan Nasional (BN) mengesahkan bertanding 21 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, manakala PAS bersama rakan gabungannya di tujuh kerusi memberikan kelebihan strategik dari segi mengurangkan pertembungan sesama sendiri dan perpecahan undi.

Penganalisis Politik, Mujibu Abd Muis, berkata penyelarasan pertandingan itu membolehkan kedua-dua pihak menumpukan jentera serta sumber di kawasan masing-masing, namun ia bukannya jaminan kemenangan mutlak memandangkan sokongan pengundi tidak boleh dipindahkan secara automatik.

"Kelebihan formula ini ialah BN dan PAS dapat mengekalkan identiti serta kekuatan masing-masing dengan BN memanfaatkan pengalaman pentadbiran, manakala PAS menggerakkan sokongan tradisionalnya.

"Penggunaan logo BN sendiri menunjukkan kerjasama ini tidak memerlukan kedua-dua parti meleburkan identiti politik, bagaimanapun keberkesanannya bergantung kepada kesesuaian calon dan realiti sokongan setempat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mujibu berkata, agihan kerusi yang baik perlu mengambil kira rekod keputusan pilihan raya terdahulu, komposisi pengundi, jaringan tempatan dan kemampuan jentera, bukannya sekadar persetujuan di peringkat kepimpinan semata-mata.

"Situasi berkenaan menuntut Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi persaingan yang lebih tersusun, walaupun gabungan itu masih berpeluang mencabar menerusi kekuatan calon, isu ekonomi rakyat serta tawaran alternatif yang meyakinkan.

"Kekuatan utama kerjasama itu terletak pada gabungan sumber organisasi dan jaringan akar umbi, tetapi berdepan risiko utama jika menganggap sokongan pemimpin akan diterima bulat-bulat oleh penyokong bawahan.

"Terdapat sekurang-kurangnya tiga risiko utama, iaitu pemindahan undi yang tidak sempurna antara penyokong kedua-dua parti, potensi ketidakpuasan hati jentera serta risiko percanggahan identiti dan mesej politik.

"Jika timbul rasa tidak puas hati kerana terpaksa menyerahkan kawasan kubu, ia boleh mencetuskan sabotaj senyap, kempen tidak bersungguh-sungguh atau kelemahan mobilisasi pengundi," katanya.

Mengenai sentimen pengundi di Melaka, Mujibu berkata, penerimaan masyarakat tidak boleh dibaca melalui pembahagian kaum semata-mata kerana faktor prestasi kerajaan, kredibiliti calon dan ekonomi keluarga turut menjadi pertimbangan utama.

"Bagi pengundi Melayu, kerjasama itu berpotensi membawa mesej penyelarasan kekuatan politik, namun naratif penyatuan Melayu hanya berkesan sekiranya disertai dengan tawaran dasar yang jelas dan bukannya sekadar slogan semata-mata.

"Pengundi bukan Melayu, mereka akan menilai kedudukan BN dalam kerjasama itu serta jaminan bahawa kepentingan semua komuniti kekal dipelihara tanpa terhakis oleh pendekatan politik tertentu," katanya.

Pengundi muda tak terikat dengan parti

Mengulas mengenai pengundi muda, Mujibu berkata, kelompok berkenaan adalah lebih terbuka dan tidak terikat dengan kesetiaan parti tradisional, sebaliknya lebih berorientasikan isu seperti peluang pekerjaan, gaji dan kos perumahan.

"Kelebihan BN-PAS ialah keupayaan menawarkan penyelarasan sokongan dalam kelompok pengundi tertentu, manakala kelebihan PH pula bergantung pada kemampuannya membina keyakinan menerusi mesej yang konsisten dan inklusif.

"Penerimaan pengundi tidak akan ditentukan oleh identiti gabungan semata-mata, sebaliknya sejauh mana kerjasama itu dianggap mampu membawa manfaat nyata kepada kehidupan mereka," katanya.

Tiada ulasan: