Khamis, 1 Disember 2011

KENYATAAN RESMI MB SELANGOR




RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN AMAN TIDAK PERJUANG HAK RAKYAT


Kerajaan Selangor kesal apabila Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011diluluskan secara terburu-buru tanpa rundingan dengan pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk pembangkang serta kumpulan-kumpulan masyarakat sivil.

Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman sepatutnya dikaji dengan lebih teliti kerana deraf yang dibentangkan meletakkan sekatan yang tidak munasabah dan tidak seimbang terhadap atas kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Malaysia sepatutnya lebih terbuka kepada perhimpunan aman kerana ianya adalah salah satu cara rakyat menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang dibentang oleh Perdana Menteri hanya akan membawa Malaysia beberapa langkah ke belakang dari segi demokrasi.

Bagi memastikan agar rakyat peka terhadap hak demokrasi mereka, Kerajaan Negeri merancang untuk menganjurkan forum bagi menerangkan hak-hak rakyat di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi mengikut Perlembagaan.

Forum ni akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Pendemokrasian Rakyat yang telah menerima peruntukan RM15 juta di bawah Geran Selangorku seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan Negeri 2012.

Kita menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar cadangan bagaimana forum ini boleh dianjurkan dengan baik dan berkesan.

Sebagai kerajaan negeri yang mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, kami tidak akan berdiam diri apabila berdepan dengan cubaan untuk menindas hak rakyat. Kami menyokong semua usaha sihat untuk memelihara dan menyuburkan prinsip demokrasi serta menentang sebarang agenda yang menyekat kebebasan rakyat bersuara.


TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR


3 ulasan:

mat karung guni berkata...

Mengempang air sungai mengalir...pastinya gagal

Tanpa Nama berkata...

aku berminat nk attend! bila & d mana?

Tanpa Nama berkata...

tabik spring utk embi slangor...