Rabu, 17 Jun 2026

BENCANA ALAM


BUMI BERKOCAK

BANGUNAN

RUNTUH

AMIN

BENCANA ALAM

SEMULA JADI

AMIN


Filipina rekod lebih 6,600 gegaran susulan selepas gempa bumi di Mindanao

MANILA: Jumlah korban gempa bumi kuat berukuran magnitud 7.8 yang melanda luar pantai Maasim di Sarangani, Mindanao, meningkat kepada 68 orang hari ini selain 33 lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa Filipina.

Majlis Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Nasional (NDRRMC) dalam laporan terbaharu berkata kebanyakan kematian direkodkan di Wilayah XII, dengan Sarangani mencatatkan 33 korban dan Cotabato Selatan dengan 24 korban.

Kerugian prasarana pula dianggarkan mencecah 1.07 bilion peso (RM72.2 juta), sementara sektor pertanian mengalami kerosakan sekitar 29.8 juta peso (RM2 juta).

Pada masa sama, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) memaklumkan lebih 6,600 gegaran susulan direkodkan sejak gempa besar itu berlaku lebih seminggu lalu.

Sehingga 9 pagi 16 Jun, sebanyak 6,652 gegaran susulan direkodkan, dengan 1,575 daripadanya telah dianalisis.


Daripada jumlah itu, 80 gegaran dirasakan penduduk di beberapa kawasan di Mindanao dan wilayah berhampiran.

Kekuatan gegaran susulan itu direkodkan antara magnitud 1.2 hingga 6.4.

Gempa luar pantai Sarangani itu disifatkan antara kejadian seismik paling kuat melanda rantau itu dalam tempoh beberapa dekad.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan suasana panik ketika bangunan kecil runtuh dan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri ketika bumi bergegar.

Di beberapa sekolah, pelajar dilihat menjerit ketakutan ketika majlis sekolah bertukar kecoh akibat gegaran kuat yang berlaku pada hari pertama sesi persekolahan selepas cuti panjang.

Namun pihak berkuasa berkata latihan kesiapsiagaan bencana yang dijalankan selama bertahun-tahun membantu mengurangkan jumlah korban.

Pengarah Phivolcs, Teresito Bacolcol, berkata pendidikan dan latihan berkaitan gempa bumi banyak membantu penduduk bertindak lebih pantas ketika bencana berlaku.

Menurut beliau, waktu kejadian pada 7.37 pagi juga membantu mengurangkan jumlah korban kerana kebanyakan orang belum memasuki bangunan pejabat atau bilik darjah.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap beberapa bangunan yang runtuh walaupun sepatutnya mampu bertahan jika piawaian pembinaan dipatuhi sepenuhnya.

"Saya bimbang kerana terdapat bangunan yang runtuh walaupun ia sepatutnya tahan gempa jika kod bangunan dipatuhi," katanya.

Pengarah Pejabat Pertahanan Awam di wilayah terjejas, Ednar Dayanghirang, berkata latihan berkala di sekolah dan komuniti membantu mengelakkan keadaan lebih buruk termasuk rempuhan yang boleh mengorbankan lebih ramai orang.

"Kami mewajibkan semua pengetua sekolah mengikuti kursus pengurusan bencana sebelum mereka membentuk pasukan tindak balas bencana dalam kalangan guru," katanya.

Ramai penduduk yang dipindahkan pula masih enggan pulang ke rumah kerana trauma akibat gegaran susulan yang berterusan.

Lebih 45,000 penduduk dilaporkan kehilangan tempat tinggal, dengan sebahagian besar masih berlindung di pusat pemindahan sementara selepas lebih 12,600 rumah rosak.

Filipina adalah antara negara paling terdedah kepada bencana alam di dunia kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi. – AGENSI

Tiada ulasan: