SELAT HORMUZ
KINI DIKAWAL
OLEH IRAN & OMAN
KHALAS
Iran, Oman tegaskan laluan pelayaran selamat, bebas di Selat Hormuz
ISTANBUL: Iran dan Oman mengesahkan sekali lagi pada Selasa komitmen mereka untuk memastikan laluan pelayaran maritim yang selamat dan bebas melalui Selat Hormuz.
Jaminan itu menyusuli memorandum persefahaman antara Tehran dan Washington, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita rasmi Oman, ONA.
Semasa perbualan telefon, Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi dan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi, meneliti hubungan dua hala serta menegaskan komitmen bersama.
Mereka berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang berdasarkan prinsip kejiranan yang baik serta ikatan sejarah dan budaya yang lama terjalin.
Mengenai persefahaman terbaharu antara AS dan Iran itu, kedua-dua menteri memperbaharui komitmen mereka terhadap undang-undang antarabangsa berhubung laluan trafik maritim yang selamat dan bebas melalui Selat Hormuz, menurut agensi berkenaan.
Mereka turut menzahirkan harapan semua pihak dapat melakukan usaha serius bagi memupuk persekitaran mampan yang menyokong proses politik dan diplomatik yang membina bagi memelihara keselamatan serta kestabilan serantau, tambahnya.
Panggilan telefon itu dibuat beberapa hari selepas Washington dan Tehran mengumumkan bahawa mereka telah mencapai satu memorandum persefahaman bagi membuka jalan ke arah menamatkan konflik, yang bermula dengan operasi ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Presiden AS Donald Trump, menyatakan bahawa persefahaman itu telah pun dicapai dan Selat Hormuz akan dibuka semula sepenuhnya menjelang Jumaat.
Bagaimanapun, pegawai Iran memaklumkan bahawa memorandum berkenaan dijangka ditandatangani oleh ketua kedua-dua delegasi rundingan semasa pertemuan di Switzerland pada 19 Jun.
Selat Hormuz yang terletak di antara Iran dan Oman merupakan antara laluan transit tenaga paling penting di dunia, yang menghubungkan rantau Teluk ke perairan antarabangsa melalui Teluk Oman dan Laut Arab.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan