Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata beliau sangat benci apabila mendengar tuduhan bahawa beliau merupakan orang Umno – seperti yang dikesannya dalam tulisan di blog tertentu.

Dalam satu wawancara disiarkan hari ini, Sultan Sharafuddin berkata tuduhan itu timbul akibat salah faham ke atas seruannya supaya golongan Melayu bersatu.

"Saya beritahu kepada kakitangan istana, apa saja dalam blog dan portal yang berkaitan dengan Selangor, cetak dan beri pada saya untuk dibaca.

"Tapi malangnya dalam blog dan portal ini, semua yang mereka katakan adalah saya orang Umno, sedangkan saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik," titahnya.

Sultan Sharafuddin berkata, isu berkenaan juga ditimbulkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Saya ada sebutkan kepada Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim), 'apa ni sikit-sikit saya dikatakan orang Umno di dalam blog'," katanya.

Katanya lagi, beliau juga menjangka akan dituduh sebagai "orang Utusan" kerana memberi wawancara kepada akhbar berkenaan.

"Padahal, Utusan yang minta jumpa," katanya lagi yang menambah beliau akan mengkritik secara terbuka apabila melibatkan isu perpecahan Melayu.

Bagaimanapun, beliau akan menegur menteri besar melalui surat atau perjumpaan apabila melibatkan isu pentadbiran.

"Malangnya terdapat mereka yang salah faham apabila saya menegur tentang Melayu bersatu, maka ada pihak yang kata saya orang Umno.

"Itu adalah sesuatu yang saya sangat benci mendengarnya. Pihak ini ikut sedap mulut bercakap tetapi tidak mahu memahami nasihat saya yang ikhlas," katanya.