Ahad, 8 November 2026

ANAK MUDA MEMBAKAR EROPAH


ANAK MUDA 

MEMBAKAR EROPAH


Sebelum tahun 2026 berakhir , kita menyaksikan  dan membaca  kemarahan anak muda , anak sekolah dan kaum pelajar di Eropah. Kemarahan ini dimanifestasikan dengan demonstrasi jalan raya. Tunjuk perasaan ini semakin  membara dan merebak.

Dua bulan terakhir 2026 kita melihat tunjuk perasaan di  Peranchis, di Albania, di Belgium, di Serbia, di German, di Portugal dan di  Sepanyol.

Media   dan para sosiologis  memberi definisi majoriti yang turun ke jalan  sebagai Generasi Z atau Gen Z. Mereka  lahir antara 1997 dan 2012. Mereka ini adalah warga asli digital. Mereka dilahirkan di zaman Internet telah lama wujud. Mereka bergelumang dalam media sosial.

Paling memeranjat  Gen Z  ini  juga telah  keluar berdemo memecah kedai dan membakar kereta di kota Zurich dan kota Basel Switzerland. Kota ini dan Switzerland adalah negara terkaya di Eropah. Ini memeranjatkan dunia.

Di Zurich kain rentang bertulis : Kami Dah Cukup.  

We Had Enough - kami dah cukup – kami dah muak – kami dah bosan  - adalah  manifestasi kemarahan  anak muda Eropah. Kain rentang di Zurich ini adalah laungan kata-kata yang di tujukan kepada para politikus , elit politik dan elit ekonomi.

Di Peranchis tunjuk perasaan bermula dari sekolah menengah  kawasan miskin di pinggir kota Paris. 

Murid di sekolah ini merasa tidak puas  hati kerana kekurangan guru.  Murid makin ramai. Kelas makin sempit. Musim sejuk tanpa alat pemanas. Musim panas tanpa alat pendingin.  Sekolah makin daif. Bangunan sekolah  wajib di baiki.   

Murid sekolah memboikot kelas dan menuntut pihak berwajib memperbaiki dan menerima tuntutan mereka.

Satu tuntutan  yang rasional  dan masuk akal. Malah sentimen ini juga di lafazkan oleh Gen Z di Belgium, di  German dan di Switzerland. 

Jawapan dari pihak kuasa memeranjatkan. Anak sekolah di serang dengan gas pemedih mata. Di tembak dengan meriam air. Di tangkap dan di belasah.

Boikot kelas dan tunjuk perasaan aman menjadi ganas. Sebuah bangunan Pejabat Majlis Daerah berumur 143 tahun   di Limoges  Barat Peranchis telah di bakar. 

Di belakang kemarahan dan demonstrasi ini ada sebab musabab yang lebih besar.  Inilah penyebab  yang  melahirkan  manifestasi  yang sedang memangkin  politik jalan raya Gen Z. 

Apa yang jelas kemarahan Gen Z di Eropah ini ditujukan kepada pemimpin politik. Bantahan ini semuanya di tujuan kepada  kerajaan yang berkuasa.

Justeru kita menyaksikan emak bapak dan guru turun berdemo. Persatuan Guru ikut berdemo. Kemudian  kaum pekerja dan kesatuan sekerja ikut sama. Parti pembangkang datang mempertahankan  para penunjuk perasaan.

Bila ombak semakan membesar dan semakin mengampuh maka jelas ini bukan lagi isu bilik darjah atau isu kekurangan guru. 

Gen Z ini telah membuka pintu untuk menilai kembali garis arah negara. Persoalan ini bukan lagi hanya untuk Peranchis malah untuk masa depan Eropah. Dan masa depan dunia.

Ekonomi lah.. Bangang  !

Dari kaca mata kaum Marxist semua yang berlaku sekarang ini adalah hasil dari  sistem ekonomi kapitalis yang di guna pakai  sekarang.  

Satu ketika dulu parti Komunis yang terbesar di Eropah di luar Soviet Union adalah di Peranchis.  Di Itali Parti Komunis begitu kuat sekali  hingga terjalin kerjasama dengan Parti Kristian Demokrat untuk menjadi kerajaan.

Di era kaum kiri  dan kaum pekerja berpengaruh kuat dalam dan di luar kerajaan  kelihatan dasar ekonomi di lakar untuk membantu kaum buruh dan kelas bawah.

 Maknanya dasar kerajaan tidak menyebelahi kaum pemodal. Rakyat di dahulukan kaum kapitalis ikut kemudian. 

Pembelajaran percuma  untuk semua warga. Hospital kerajaan dibangunkan. Perumahan sosial di dirikan. Flet milik Majlis Bandaran  muncul di sana sini.  Sistem pengangkutan di miliki oleh daulah.  Penjana kuasa  leterik dan gas milik kerajaan. 

Jelas  Eropah menjadi contoh  negara dan kerajaan yang berperikemanusiaan. Keselamatan sosial  warga terjamin dari lahir hingga ke liang lahad.

Dari mana datangnya dana untuk bajet negara?

Dana datang dari  cukai syarikat korporat dan syarikat kapitalis di gunakan untuk  kesejahteraan rakyat.  Justeru di tahun-tahun  70-90an Perancis dan Eropah aman damai. 

Muncul Presiden  Ronald Regan di Amerika. Muncul Perdana  Menteri Margaret Thatcher di UK. Dasar ekonomi di ubah.  Dasar penswastaan  menjadi induk ekonomi dalam negara. Luar negara muncul konsep ‘ globalisasi’. 
Margaret Thatcher pernah mengeluarkan kenyataan terkenal—" there is no such thing as society  - tidak ada perkara yang dipanggil masyarakat".  Kata-kata pro kapitalis  ini di utarakan dalam satu  temu bual dengan majalah *Woman’s Own* pada bulan Oktober 1987. 

Penswastaan maknanya semua harta negara dijualkan kepada kaum kapitalis.   Kereta api di jual,  Pejabat Pos di jual,  syarikat air di jual, syarikat leterik di jual ,  flet milik Majlis Tempatan di jual – apa sahaja harta milik negara yang menguntungkan di swastakan.

Betul – bursa saham berkenduri melonjak  naik. Yang kaya bertambah kaya. Sama seperti yang berlaku di Malaysia – di  UK  pink form menjadi rebutan dan perbualan nasional.

Dasar Penswastaan ini merebak ke seluruh Eropah. Peranchis, Belgium, Belanda, Itali, Portugal , Sepanyol mula menerima pakai dasar ekonomi ini.

Parti politik garis kiri  makin lemah. Parti Komunis dan Sosialis tercabut dari tampuk kuasa. Garis kanan mendominasi politik Eropah.

Apabila Soviet Union runtuh 1989  – Rusia di bawah Presiden Yelstin  (1991-1999) juga  terikut sama menjualkan harta negara sehingga Presiden Putin mengambil alih tahun 2000. 

Dasar ekonomi ini di kenali sebagai  neoliberalisme. Ini merupakan satu falsafah ekonomi dan politik yang menumpukan kepada kapitalisme pasaran bebas, pengurangan campur tangan kerajaan, serta peralihan kawalan ekonomi daripada sektor awam kepada sektor swasta.

Cukai  korporat di kurangkan. Cukai untuk orang kaya di kurang dan ada yang di mansuhkan semua sekali.  Dana untuk perbelanjaan sosial untuk yang tak bekerja, bajet  sekolah, hospital dan perumahan  awam mula di kurangkan.

Kini pasaran disantuni -  rakyat  ramai di tolak tepi. 

Hasil  dari dasar ekonomi liberal inilah yang menjemput  anak muda Gen Z turun ke jalan raya. Mereka merasa tidak ada masa depan untuk mereka.

Siapa berduit tidak perlu menjerit. Siapa yang miskin tidur di pangkin.

Tidak cukup dengan dasar neo-liberal -  ekonomi bebas lahir pula dasar klasik Eropah : Dari Zaman Napoleon lagi telah di wujudkan dasar kebencian terhadap Rusia.  

Rusia wajib di pecahkan. Tanah besar Rusia dari Asia hingga ke Eropah terlalu luas  – ini mengancam Eropah.

Hasil dari  dasar anti Rusia ini telah menjemput Perang Ukraine. Kini  telah memasuki tahun ke empat dan belum di lihat jalan penyelesaian.

Secara bangang lagi bodoh German – penjana ekonomi utama Eropah memberhentikan  membeli  minyak dan gas  murah dari Rusia. Kini  ekonomi German makin meleset.  

Bayangkan kilang kereta Volkswagen  yang terkenal itu telah ditutup. Kini menjadi kilang membuat senjata.

Ekonomi German merundum. Ini membawa pengaruh  ke atas ekonomi negara Eropah yang lain.

Perang Ukraine ini telah memaksa semua negara Eropah menaikkan belanja  pertahanan.   Semua anggota NATO hari ini telah diarah untuk menambah dana persenjataan dari 3% ke 5% dari  bajet negara. Maka dana untuk sekolah, untuk hospital – untuk kebajikan awam – di potong. 

Perang Ukraine belum tamat. Satu lagi medan perang dibuka. Bila Iran di serang hasilnya Selat Hormuz ditutup. Harga minyak dan gas meledak naik. Dampaknya di rasakan di Eropah dan di seluruh dunia.

Justeru tidak menjadi hairan apabila ada bendera Palestin berkibar dalam demo Gen Z ini. Ini tanda sentimen anti genosid dan anti Zionis  sedang mengampuh dalam fikrah anak muda Eropah hari ini. 

Semua ikat berikat – kait berkait. Genosid di Gaza, Perang di Ukraine dan  di Iran  - semua memangkin perasaan anak muda di Eropah.

Gen Z melihat elit politik dan elit ekonomi ini sebagai musuh yang wajib di humbankan. Mereka merasa masa depan mereka tidak boleh diurus dengan baik oleh pemimpin politik hari ini.  

Fakta ekonomi inilah  yang sebenarnya telah memaksa Gen Z untuk keluar ke jalan raya.

Di Peranchis kita sedang melihat  anak muda bertempur dengan polis di jalan raya. Dalam masa yang sama dua garis politik  juga sedang bertempur. 

Pertempuran garis politik ini  sedang menganjurkan dasar  ekonomi. 

Parti kiri : Parti Komunis dan  Parti Sosialis mengajukan  rombakan ekonomi kapitalis dan menerima pakai sistem ekonomi sosialis.

Manakala  garis kanan Parti   National Rally menganjurkan penerusan ekonomi kapitalis. Malah membebaskan lagi pasaran dari kuasa daulah. 

Ketika ini Parti  Renaissance – garis tengah  dipimpin oleh  Presiden Macron sedang berkuasa.

Semua ini akan di tentukan pada 18 April  2027 bila Peranchis akan mengadakan pemilihan Presiden.   Keputusan  siapa menang bergantung dengan apa seterusnya akan berlaku di jalan raya.

Apakah Perang Ukraine akan tamat. Apakah Selat Hormuz akan   di buka. Atau kemungkinan satu  pentas  perang baru akan  terbuka.   Lima bulan satu jangka masa yang panjang dalam politik. Amin. (TT)


 
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/888693-kolum-anak-muda-membakar-eropah


Tiada ulasan: