Khamis, 5 September 2013

KEMPEN MEMBUKA SEJARAH





JALUR SEJARAH SANG SAKA


dari arkib tukar tiub 27 ogos 2012


BERAKHIRNYA JALUR TEMBERANG

Semenjak saya memiliki talian internet, setiap tahun saya menjadikan  bulan Ogos sebagai bulan melawan lupa dan melawan penipuan. Telah lebih dari satu dekad saya  menjalankan  kempen ini.  Saya menjadikan kempen  ini tugas suci dan rukun hidup.

Melawan lupa bukan satu kerja yang enteng. Melawan penipuan yang dirancang   memerlukan tekad. Ini bukan  tugas  mengasah batang keladi untuk dijadikan tombak.  Ianya juga bukan sesenang  menjual pelampong di Kapal Titanic.  Tetapi satelah lebih dari  satu dekad hasilnya telah mula kelihatan.

Kempen awal saya ialah mendedahkan  penipuan yang paling besar: iaitu  31 Ogos  sebagai tarikh Hari Kebangsaan Malaysia. Sebelum munculnya internet memang ramai warga sedar bahawa 31 Ogos ini satu tarikh penipuan. Warga di Sabah dan Sarawak amat sedar  tentang penipuan ini.  Di Semenanjung  ‘Pil Taikam’ yang bernama  31 Ogos  telah ditelan bulat-bulat oleh jenerasi muda. 

 Pada satu ketika dahulu  hegemoni dan kekuatan United Malays National Organisation  cukup angkuh.  Warga Sabah dan Serawak dipaksa menelan Pil Taikam dengan air liur basi. Warga Sabah dan Sarawak  dibuli dan dinjak-injak. Sejarah negara bangsa  Sabahan dan Sarawakian diketepikan.

Pembohongan 31 Ogos ini dibantu pula oleh kesah  dongeng tentang  Sabah dan Sarawak  ‘telah masuk Malaysia’. Hingga ke hari ini kesah  dongeng ini  masih lagi dijaja ke hulu ke hilir.   Penipuan fakta ini adalah kerja United Malays National  Organsiation. Mengatakan Sabah dan Sarawak ‘masuk Malaysia’ samalah saperti  menjual bangkai anjing yang dikatakan  daging kambing.

Sabah dan Sarawak TIDAK pernah masuk Malaysia.  Sabah dan Sarawak  bersama Tanah Melayu menubuhkan gagasan Malaysia. Tanpa Sabah dan Sarawak TIDAK ada Malaysia.   Malaysia bukan diwujudkan pada 31 Ogos 1957.  Malaysia diwujudkan pada 16 September 1963.

Dengan marak dan berkembangnya nasionalisma Kadazan, Murut, Iban dan  Dayak penipuan 31 Ogos telah mula dibongkar. Warga Sabah dan Sarawak tidak mahu lagi menelan Pil Taikam dan membeli dbangkai  anjing yang dikatakan daging kambing. Sabahan dan Sarawakian telah mula memiliki keyakinan diri untuk menentukan masa depan nasib mereka sendiri.

Nasionalisma  dan hak menentukan nasib   sebagai warga yang bebas merdeka telah dibantut dan ditekan oleh hegemoni Ketuanan Melayu. Kini semangat Sabah untuk Sabahan dan Sarawak untuk Sarawakian telah mula berkembang.   Justeru, tarikh 31 Ogos tidak lagi dirayakan di Sabah dan Serawak. Gila apa warga  Sabah dan Serawak  merayakan 31 Ogos?

Selama lebih dari 50 tahun United Malays National Organisation telah membebel menipu tentang perjuangan menuntut Merdeka.  Di katakan bahawa Merdeka telah diberikan oleh penjajah British melalui perundingan.  Ini adalah satu pembohongan. Ini satu penipuan.  Di zaman tanpa internet dahulu ada kemungkinan  bangkai anjing ini boleh dijual sebagai daging kambing. Tetapi hari ini mustahil  bangkai anjing ini  dapat terjual.

Jenerasi muda telah mula mengenal dan melihat imej Ahmad Boestaman, Pak Sako,  Rashid Maydin, Chin Peng, Ibrahim Yacob, Mukhtaruddin Lasso, Shamsiah Fakeh, Abdulah Sidi, Burhanuddin Helmi dan  Uztaz Abu Bakar Bakir. Kini kesedaran yang ampoh telah sampai untuk menobatkan  penjuang-pejuang  ini ke dalam tinta sejarah perjuangan melawan British.

Nama-nama pertubuhan nasionalis yang bangun berjuang melawan British kini sedang menjadi buah mulut anak-anak muda.  Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar,  Parti Komunis Malaya, Partai Kebangsaan Melayu Malaya – kini mula menjadi ingatan bersama. Selama lebih dari 50 tahun gerombolan  United Malays National Organsiation telah cuba melupuskan nama-nama ini dari papan sejarah. Kerja jahat ini telah meleset gagal.

Hari ini bukan sahaja nama pejuangan  ini diingati kembali malah  anak-anak muda telah mengarap lagu, sajak dan seloka  berasaskan perjuangan mereka. Sajak dan shaer telah digurindamkan untuk mengingati perjuaangan suci mereka. Wajah mereka bukan hanya dipapan lukis malah kini sedang menjadi ikon untuk baju T anak-anak muda.

Bulan Ogos tahun lalu saya merasakan satu kejayaan besar kerana timbulnya polemik tentang Mat Indera. Sosok pejuang dari Parti Komunis  Malaya ini tidak dapat tidak adalah ikon baru dalam pensejarahan  Tanah Melayu. Selama puluhan tahun warga telah didodoikan dengan kesah dongeng Bukit Kepong.   Tetapi tahun lalu ledakan Mat Indera telah menobatkan imej pejuang ini sebagai  ikon anak muda – setaraf dengan Che dan John Lennon.

Semenjak Ogos tahun lalu   anak semua bangsa telah mengetahui bahawa rumah pasong Bukit Kepong ialah rumah pasong British. Serangan yang dipimpin oleh Mat Indera ialah serangan untuk mengahalau penjajah British. Tok Sarjan kepala rumah pasong malam itu bernama Ray Dancey.  Bendera yang tercacak di atas rumah pasong bukan Sang Saka Tanah Melayu tetapi Union Jack. Tarikh  serangan ialah malam 23 Februari 1953. Pada tarikh itu  Tanah Melayu ialah tanah jajajan British.

Memang betul ramai mata-mata Melayu  yang tewas di tangan nasionalis  Mat Indera. Tetapi menjadi Melayu sahaja tidak menjamin apa-apa. Menjadi Melayu bukan bermakna menjadi malaikat.  Melayu ini mungkin kerana desakan ekonomi  telah menjadi  mata-mata dan soldadu upahan British.   Ini fakta sejarah  yang tidak mungkin dapat disorokan lagi.

Dari dongeng Bukit Kepong yang telah terbarai, mari kita berjoget dan berdendang  dengan lagu Memula Moon. Lebih dari sepuluh tahun dahulu setiap bulan Ogos saya telah menimbulkan kes ciplakan  Memula Moon. Pada mulanya agak susah juga untuk  anak semua  bangsa  menerima hakikat bahawa lagu kebangsaan Negara-ku ini rupa-rupanya lagu ciplakan. Ciplakkan ini adalah ciplakan  kelas kedua. Lagu ini diciplakan  bukan dari yang ori tetapi ciplakan atas ciplakan. Lagu Negara-ku ini diambil dari lagu Indonesia – Terang Bulan -  yang diciplak dari Memula Moon.

Tentang ciplakan lagu Negara-ku ini gerombolan dan kuncu-kuncu United Malays  National Organsiation tidak berani berkata apa-apa. Mereka senyap seperti mayat dalam keranda. Dalam kes Mat Indera mereka bangun  menyerang. Kuncu-kuncu Ngo United Malays National Organisation telah menyinsing lengan baju  untuk bergaduh. Malah ada yang mengutuk Mat Indera dengan meniru perangai  Shahrizat Jalil  mengangkat kain untuk menakutkan orang ramai dengan hutan buluhnya.

Tidak dapat tida rakyat Malaysia telah  sedar  bahawa lagu Negara-ku ini adalah hasil ciplakan. Dalam masa yang tidak lama  Memula Moon a.k.a Negara-ku ini akan dilupuskan.  Perjalanan  sejarah kearah ini tidak dapat dibendung. Yang diciplak telah diketahui ramai. Warga Malaysia  yang memiliki hormat diri  tidak akan menerima penghinaan lagu kebangsaan mereka sebenarnya adalah hasil ciplakan.

Budaya ciplak ini   bukan hanya untuk lagu. Kini anak semua bangsa telah menyedari bahawa bendera Jalur Temberang...opps.... Jalur Gemilang itu rupa-rupanya juga diciplak  dari motif bendera Amerika Syarikat.

Jalur Gemilang kini sudah mula dikenali sebagai Jalur Temberang. Bendera ini amat jelas dilihat tidak memiliki apa-apa motif budaya tempatan jauh sekali budaya Melayu Nusantara. Motif Nusantara ialah warna merah puteh  saperti bendera Parti Pas, bendera Singapura, bendera Indonesia – malah bendera resmi parti United Malays National Organisation sendiri  membawa  merah puteh warna motif Nusantara.

Selama 55 tahun di  Semenanjung dan 49 tahun di Sabah dan Sarawak -  anak semua bangsa telah ditipu dengan Jalur Temberang.   Bertahunn-tahun bendera ini telah dipelok erat oleh United Malays National Organisation. Hasilnya,  bendera ini telah dilihat sebagai simbol kazaliman . Bendera ini telah diasosiasikan dengan  segala bentuk kerenah dan kemungkaran yang di bawa oleh United Malays Natioanal Organisation. Justeru kebencian anak semua bangsa terhadap Jalur Temberang ini bukan satu yang dapat disorokan lagi.

Sebagai bukti – tulisan ini digarap  hanya 4 hari sebelum perayaan  31 Ogos. Tidak kelihatan kereta persendirian, taxi, van atau lori yang mengkibarkan Jalur Temberang ini. Rakyat – anak semua bangsa – telah melihat bahawa bendera ini adalah hak  milik United Malays National Organisatgion. Justeru anak semua bangsa tidak ambil pot untuk mengkibarkan bendera ini.

Hanya dibanguan kerajaan  sahaja Jalur Tembernag ini berkibar. Ini kerana ada arahan  memaksa ketua pejabat memasang bendera ini. Di  kawasan perumahan , tepi jalan, di tiang leterik – semua ini adalah projek. Mat Indon dan Mat Bangla telah diupah untuk memasang bendera sebagai projek ‘ masyuuuk’ untuk Ketua Bahagian.


Tidak dapat tidak sentimen anti Jalur Temberang  telah meluas. Pada bulan Ogos tahun lalu seoarang ahli parlimen telah mencadangkan agar bendera ini  diganti. Saranan ini adalah tepat. Saperti lagu Terang Bulan, Jalur Temberang ini juga akan dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah bersama tuan-tuannya.

Selama 55 tahun pembohongan dan penipuan ditabur. Kini pada tahun 2012 – semua telah terbarai. Kesedaran telah datang melonjak. Saya boleh menarik nafas panjang dan tersenyum kerana kempen bulan Ogos melawan lupa dan melawan penipuan telah mula menampakkan hasil.

Pada tahun 2012 ini bangkai anjing tidak mungkin dapat dijual sebagai daging kambing. Tidak  ada siapa yang bersedia menelan Pil Taikam. Opps...hampir telupa...Pil Taikam ialah  tahi kambing yang telah disira dengan gula dan dijual sebagai makjun oleh para bomoh. (TT)



SANG SAKA 
KEMBALI DINOBAT
SILA KLIK IKLAN YANG DILIHAT
dana dari iklan akan di wakaf
kepada dapor jalanan
projek memberi makanan kepada
warga kota tanpa tempat tinggal
------------

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

is very much different than others, simple to understand by a layman. good work.

matahati berkata...

Jalur gemilang dan. Negaraku- 2 perkara yg telah berpuluh tahun menghina malaya dn rakyatnya- kecuali utk pengikut parti paria melayu itu- yg tidak tau apa itu malu dn maruah serta jati diri

Tanpa Nama berkata...

....kecuali utk pengikut parti paria melayu itu- yg tidak tau apa itu malu dn maruah serta jati diri...
Lu tau sebab apa mereka tak malu dan takde maruah? simple je jawabannya..... mereka bodoh! HAHAHA