Mahkamah putuskan permohonan Najib gugurkan hakim dengan kes 1MDB esok
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan esok bagi memutuskan permohonan Najib Razak untuk menggugurkan Hakim Collin Lawrence Sequerah daripada prosiding pendengaran kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar dan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri berkenaan.
Perkara itu dibangkitkan selepas Sequerah pada bulan lepas mendedahkan beliau pernah berkhidmat dengan bekas peguam 1MDB iaitu Jasmine Loo Ai Swan yang kini dalam tahanan polis.
Sebelum menetapkan tarikh itu Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan berkata sepanjang tempoh berkhidmat dengan Tetuan Zain & Co bersama Loo beliau tidak pernah menangani isu 1MDB, begitu juga dengan firma guaman tersebut pada masa yang berkenaan.
Terdahulu Muhammad Shafee berhujah memandangkan Sequerah pernah bertugas dengan Loo, perkara itu boleh menghalang hakim tersebut daripada bertindak sebagai pemerhati yang adil dan berfikiran bebas ketika mendengar keterangan wanita itu jika beliau dipanggil menjadi saksi.
Muhammad Shafee juga berkata Sequerah perlu memutuskan isu kebolehpercayaan Loo kerana beliau memainkan peranan yang penting (dalam 1MDB) dengan mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low iaitu “untuk menghalalkan perkara yang haram.”
Beliau berkata hakim itu akan berada dalam ‘kedudukan yang sukar” untuk memutuskan sama ada Loo perlu didakwa kerana memberikan keterangan bercanggah.
“Keputusan itu akan menimbulkan konflik dan memalukan Yang Amat Arif kerana hubungan Yang Amat Arif dengannya sebagai bekas rakan kongsi (di firma guaman itu),” katanya.
Pada peringkat ini Sequerah mencelah dan berkata “memandangkan saya sendiri yang mendedahkan perkara itu, adakah anda berpendapat saya tidak boleh membuat keputusan yang adil dalam kes ini?
“Muhammad Shafee menjawab “Yang Amat Arif masih perlu memutuskan fakta yang dikemukakan - melalui saksi lain - mengenai peranan Loo dalam 1MDB dan mendakwanya kerana memberi keterangan bercanggah, jika perlu.”
Hakim itu kemudian berkata beliau sedia mendakwa Loo jika perlu dan wanita itu tiada bezanya dengan saksi lain.
Sementara itu ketika membantah permohonan Najib, Kamal Baharin berhujah adalah jelas Loo meninggalkan firma guaman terbabit pada 31 Dis 2008 manakala Sequerah terus berkhidmat di situ sehingga beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 20 Jun 2014.
“Adalah jelas bahawa mereka bukan lagi rakan setugas selama kira-kira enam tahun sebelum Yang Amat Arif dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman. Peranan yang dimainkan oleh Loo dalam 1MDB bermula pada tahun 2011 manakala tempoh perkhidmatannya dengan Tetuan Zain & Co adalah antara 1998 dan 2008.
“Tiada perkaitan antara isu dalam perbicaraan ini dengan hubungan masa lalu Yang Amat Arif dan bekas rakan kongsinya di firma guaman dan kami berhujah Yang Amat Arif sebenarnya tidak perlu mendedahkan hubungan ini kerana ia boleh didapati daripada rekod awam,” katanya.
Pada 12 Julai lepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Loo ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.
Di kandang tertuduh ialah Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan