Warga asing kini jadi ‘bos sayur’, kata persatuan
WARGA asing yang juga bekas pekerja di ladang sayur kini menjadi ancaman kepada bekas majikan mereka, kata Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur.
Presidennya, Lim Ser Kwee memberitahu The Malaysian Insight warga asing terbabit kini berubah menjadi “bos sayur”.
Beliau berkata warga asing terbabit menyewa kebun sayur terbiar, menanam sendiri dan menjual hasil tuaian pada harga rendah.
“Mereka menyebabkan harga sayuran di pasaran jatuh dan ini menjejaskan pendapatan pekebun sayur tempatan,” katanya.
Lim berkata sebelum pandemik, keadaan itu hanya berlaku di beberapa kawasan di semenanjung, tetapi kini ia mulai meluas.
“Daripada maklumat yang diterima, masalah itu kini berlaku di semua negeri.”
Lim berkata warga asing ini akan mencari pemilik kebun yang terlalu tua untuk mengusahakan tanah dan tiada ahli keluarga yang berminat untuk meneruskan bercucuk tanam.
“Jadi mereka sewakan kebun kepada warga asing ini.”
Beliau berkata warga asing terbabit kemudian akan menggaji pekerja yang sudah lama bekerja dengan mereka.
Lim berkata jumlah kebun diusahakan warga asing semakin banyak menyebabkan berlakukan persaingan sengit dan wujud amalam tidak etika yang menjejaskan pekebun tempatan.
“Mereka usahakan tanah kebun sendiri, jadi kos buruh mereka rendah atau tiada langsung. Kos yang rendah itu menyebabkan mereka boleh jual pada harga rendah tidak masuk akal.
“Namun, apa yang paling membimbangkan bukan hanya persaingan harga. Warga asing ini kurang pengetahuan tentang penggunaan racun serangga mereka itu mungkin jenis tidak diluluskan kerajaan,” katanya.
Keadaan itu, katanya akan membahayakan pengguna.
“Saya bimbang dalam jangka panjang, pekebun sayur tempatan tidak akan dapat bersaing dengan warga asing dan menyebabkan mereka gulung tikar,” katanya.
Persatuan itu katanya, pernah membangkitkan isu warga asing menyewa tanah untuk berkebun.
“Tetapi, setakat ini tiada tindakan diambil,” katanya.
Penasihat Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Tan So Tiok berkata kegagalan Kementerian pertanian untuk bertindak menyebabkan semakin ramai warga asing menyewa kebun terbiar.
“Kerajaan perlu bertindak sekarang untuk mengekang isu ini. Daripada pemerhatian kami, masalah ini makin teruk, ia menular ke seluruh negara.”
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Pekebun Cina Cameron Highlands Cheng Nam Hong berkata setakat ini kebanyakan pekebun di situ masih pekebun tempatan.
Cheng berkata harga sayur menurun sedikit sejak enam bulan lalu dan ini menghalang warga asing yang berhasrat untuk jadi bos sayur.
“Mereka tidak mampu untuk menanggung sewa. Ramai yang berputus asa dan memilih untuk bekerja sebagai buruh.”
Cheng berkata pemilik kebun sendiri melanggar undang-undang kerana mereka tidak boleh menyewakan tanah kepada warga asing.
Selain menyewa tanah, Cheng berkata warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan memanipulasi undang-undang dengan menggunakan nama pasangan bagi menubuhkan syarikat untuk menjadi pemborong. – 28 Oktober, 2023.
1 ulasan:
tokey banglanya sorang je... dia punya kecoh, macam semua bukit tu yg bangla2 tu amik... owh la cina merah
Catat Ulasan