BLACKROCK
DAN RABBI
DARI NEW YORK
Penjualan 39 lapangan terbang milik rakyat Malaysia ini kepada Blackrock terus jadi perbualan nasional.
Aku balik kampung – ke Jelebu - hujung minggu yang lalu. Balik kampung untuk melawat dua kakak – Kak Ngah yang tua dan Kak Lang yang muda. Mereka sudah melintasi 80 tahun.
Aku juga berniat hendak menerangkan kepada mereka kenapa polis , mata-mata dan pegawai SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia ) datang masuk menggeledah ke flet aku.
Berita mata-mata , polis dan pegawai SKMM menggeledah flet aku telah menular luas dalam media sosial.
Aku agak hairan - keluarga dan jiran semuanya tahu kes flet aku di geledah. Malah dua kakak aku yang masih menggunakan Nokia lama tergulung dalam generasi Gatek – gagap teknologi – turut sama tahu kes flet aku digeledah.
Kakak Lang bersurah - anak buah aku bergegas menalipon ke kampung bila berita dan gambar flet aku ini muncul dalam sosial media.
‘ Tok Cik kena tangkap ....’ Ini laporan anak buah aku kepada kakak aku yang tidak cekap dengan media sosial
Hebat peranan media sosial. Berita benar dan berita palsu muncul seiring dengan pantas. Berita bertokoh tambah dan ditaburi aji-no-moto untuk keenakan halwa telinga.
Yang sahih – rumah di geledah. Yang palsu aku ditangkap.
Untuk keluarga aku - Hishamuddin Rais di tangkap ini bukan lagi satu berita yang memeranjatkan. Semenjak tahun 1974 lagi Hishamuddin Rais telah berkali-kali ditangkap. Bukan hanya di Malaysia. Aku pernah di tangkap di Australia, di Moscow dan di India.
‘ Ini mesti Blackrock....’ Suara Rosli menantu Kakak Lang aku. Dia ini Pak Tani kampung. Belum pun sempat aku menerangkan kenapa flet aku di geledah sosok ini telah membuat kenyataan.
Satu kenyataan yang bijak dan benar.
Aku faham dan sedar dari mana nama Blackrock ini muncul. Nama Blackrock ini dikenali oleh keluarga aku kerana satu klip video Hishamuddin Rais telah menular luas di media sosial tidak berapa lama dulu.
Klip video ini adalah kenyataan yang aku buat di hadapan Pejabat Anthony Loke Menteri Pengangkutan di Putrajaya.
Dalam klip ini aku menerangkan bahawa keputusan menjualkan 39 lapangan terbang milik Malaysia kepada Blackrock telah di buat oleh ‘ tiga malaon yang sama’ – Menteri Kewangan Anwar Ibrahim, Pengerusi Khazanah Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Penggunaan perkataan malaon ini meledakkan penularan klip video itu.
Mengikut Kak Ngah , selepas klip ini viral menular seorang jiran - anak dara dari belakang rumah - telah datang ke rumah pusaka kami untuk menayangkan klip ini kepada Kakak Ngah aku.
‘ Blackrock ni apo....’ Ini pertanyaan dari Kakak Ngah aku minggu lalu. Nama Blackrock muncul ketika kami sekeluarga berkumpul di meja menikmati makan tengah hari gulai ikan baung sungai masak lomak podeh.
‘ Blackrock ini syarikat Yahudi Zionis... komponi bosa...dari Amerika.... komponi ini buek senjato... senapang, peluru, bom dan kapal terobang yang bunuh Arab Palestin... tu sumo datang dari Blackrock....’ Aku menerangkan dalam lorat Jelebu dan meninggalkan lorat Kuala Lumpur aku.
‘ Pasal apo pulak dio datang ke Klumpo...’ Kakak Ngah aku bertanya dengar jujur.
‘Anwar Ibrahim ni... nak jual lapangan terbang .....airport kito pada Yahudi ni.... 39 buah airport kito di rembat oleh Yahudi ni....’ Aku menerangkan sambil menghasut.
‘ Kito nak pogi naik aji ambil kapal terobang kek mano nanti...’ Satu soalan jujur dari Orang Kampung yang tidak melupakan amalan Islam. Mereka bertanya sesudah Yahudi Zionis memiliki lapangan terbang kita bagaimana kita nak terbang ke Mekah.
‘ Nak poie Mokah kito naik kek KLIA.... tak berubah.... tapi KLIA bukan laie kito punyo ...pintu masuk rumah kito Yahudi Zionis jago....’ Aku menambah pencerahan.
‘ Polis ambik apo kek bilek kau....’ Kakak Lang bertanya.
‘ Tak jadi ... mulo nak rampeh komputa... lopeh tu tak jadi...’ Aku menerangkan.
Kemudian aku menerangkan dengan lebih jelas kenapa flet aku di geledah. Tujuannya SKMM, polis dan mata-mata di belakang penggeledahan ini bertujuan untuk memberi tekanan dan ingatan agar aku jangan menimbulkan isu Blackrock.
‘ Ini nak takut-takutkan.... nak ancam sapo yang buek cerito Yahudi Zionis Blackrock masuk Malaysia...boli airport...’ Aku memperkukuh hujah.
‘ Apo kau tulis... cerito apo... ‘ Kak Lang bertanya.
Lalu aku menerangkan yang di soal siasat oleh Polis ialah tulisan Tamrin Ghaffar. Isi tulisan ini ialah bertanya apakah Anwar Ibrahim sakit dan di hinggapi oleh virus HIV. Tulisan Tamrin ini masuk dalam blog Tukar Tiub yang aku kendalikan.
‘ Tulisan Tamrin ni... hanya helah... tulisan ini dah keluar lama.....’ Aku menjelaskan.
‘ Blackrocklaaa..... Esey dah cakap ni sumo pasal Blackrock....tak nak orang kampung tau... cerito Yahudi... ‘ Rosli memperkuatkan hujah.
Ini kesah aku di kampung pada hari Ahad.
Pada pagi Senin aku meredah ke Putrajaya. Ada seminar tentang Palestin di Yayasan Perdana. Ini kali pertama aku masuk ke Dewan Yayasan Perdana.
Pagi Senin itu ada lebih 200 sosok yang prihatin terhadap Palestin telah duduk dalam dewan.
Aku tertarik untuk datang kerana ada seorang Rabbi dari New York yang akan menyampaikan kertas kerja. Dalam hidup aku inilah kali pertama aku akan mendengar khutbah dari seorang Rabbi.
Tetapi Yahudi ini bukan satu yang baru untuk aku. Kenalan baik aku - Susan dan Deidre - dua beradik kembar - dari Sydney Australia berketurunan Yahudi. Mister Diamond tukang masak di restoran aku bekerja di Soho London juga Yahudi.
Ketika ditahun akhir di sekolah filem di Univercity Westminster aku pernah membuat dokumentari pendek sebagai latihan tentang NGO Yahudi dari Utara London.
Malah aku pernah berpacar dengan seorang Minah Yahudi.
Rabbi yang menarik perhatian aku datang dari New York . Nama dia Yisroel Dovid Weiss. Sosok ini seorang Yahudi Amerika, aktivis, dan jurucakap kumpulan agama Yahudi dari mazhab Neturei Karta.
Aku pernah melihat wajah Rabbi ini dalam YouTube. Rabbi Weiss dari Neturei Karta ini selalu turun berdemo di New York. Mereka menyokong perjuangan rakyat Palestin. Mereka bersuara menentang pembunuhan di Gaza. Mereka menuntut gencatan senjata dan perdamaian.
Yahudi dari mazhab Neturei Karta jelas menentang Zionis dan menentang Israel. Kumpulan ini mahu negara Israel yang mereka anggap haram di mansuhkan.
Di pagi itu di Yayasan Perdana aku diberi pencerahan dari segi sudut pandangan Neturei Karta oleh Rabbi Weiss. Untuk mazhab ini Israel tidak perlu wujud.
Mereka menolak - two state solution.
‘ ... not until the arrival of Messiah..... Zionis is not Judaisam ....no two state ssolution...’ Ini kata-kata seorang Rabbi atau dalam budaya Melayu Rabbi Weiss ini ialah seorang ulama Yahudi.
Pagi itu Rabbi ini dengan panjang lebar telah menerangkan perbezaan antara Zionis dan Yahudi. Menurut Rabbi Weiss adalah salah untuk menganggap bahawa Zionis itu ada berkait dengan agama Yahudi.
‘ Zionism is a secular nationalist movement... Netanyahu is not religious....’ Rabbi Weiss menayangkan kepada khalayak satu gambar sejarah pengumuman Israel ditubuhkan pada tahun 1948 oleh David Ben-Gurion.
Dalam gambar ini tidak ada Jantan Yahudi yang memakai kippah atau kopiah. Mereka dalam gambar itu bukan mewakili agama Yahudi. Mereka nasionalis sekular.
Apa yang mencerahkan diri aku pada pagi itu ialah penolakan ulama Yahudi terhadap Zionis dan Israel. Rabbi Weiss meminta agar kita jangan kaitkan agama Yahudi dengan apa yang berlaku di Palestin dan Gaza.
Kemudian majlis mendengar penyampaian dari Profesor Nazari Ismail. Sosok ini memimpin gerakan BDS – (Boycott Divestment Sanction) di Malaysia. BDS ini sebuah NGO antarabangsa yang menganjurkan gerakan boikot pelaburan dan perniagaan dengan Israel.
Sosok ilmuwan ini menerangkan kenapa Malaysia wajib ikut sama dalam kempen boikot ini. Prof Nazari memberi pencerahan tentang beberapa jenis boikot.
Boikot McDonald itu boikot jenis organik. Orang Malaysia sendiri melakukan kerana mereka melihat soldadu Israel mendapat burger percuma dari McDonald.
Manakala syarikat Sime Darby Malaysia di minta memberhentikan membeli jentolak dari syarikat Caterpillar . Jentolak Caterpillar dilaporkan telah digunakan di Gaza pada permulaan perang terbaharu, selepas 7 Oktober.
Pada Disember 2023, tentera Israel dituduh menggunakan jentolak Caterpillar untuk menanam orang awam yang masih hidup di luar Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya di Gaza.
‘ Blackrock.... Blackrock...’
Profesor Nazari memandang ke arah aku. Dia tidak ada pilihan. Dia terus menerangkan kepada khalayak niat Anwar Ibrahim mahu menjualkan syarikat MAHB kepada Blackrock.
Aku yang tidak berpuas hati masih mahu memanjangkan wacana pagi itu dengan agenda Blackrock.
Ketika masa soal jawab dimulakan akulah yang pertama bangun dan bersuara.
‘ Apa niat kerajaan Malaysia mahu menjualkan 39 lapangan terbang kita kepada Blackrock .. syarikat pembekal senjata dalam Perang Gaza....dan diberi monopoli selam 46 tahun.... apa akan jadi dengan keselamatan negara kita.... sesiapa saja boleh menjawab soalan saya ini...’
Rais Yatim bekas Menteri Luar yang juga penyampai kertas kerja menjawab. Rais Yatim yang fasih dalam bahas Inggeris dan Melayu berkata dia juga sangsi akan niat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rais Yatim mahu Blackrock ini terus dibincangkan oleh orang ramai.
Profesor Nazari menjawab sekali lagi. Kali ini sosok ini mempertikaikan fikrah dan niat kerajaan Madani.
Soalan aku pada pagi Senin itu tentang Blackrock bukan untuk pencerahan diri aku. Aku tahu akan implikasi dan geopolitik Blackrock. Aku tahu ada udang di sebalik batu Blackrock.
Tujuan aku menjerit dan bertanya untuk pencerahan orang ramai kerana ketika aku bertanya dan menjerit Astro dan Al-Jazeera sedang merakam dan membuat siaran terus menerus.
Hari ini aku akan terus menjerit dan melaungkan akan bahaya menjual 39 lapangan terbang kita kepada Blackrock.
Seperti kata Rabbi Weiss ‘... jangan sokong Israel.... jangan meniaga dengan Israel.... sokong perjuangan Palestin...’
Mustahil masih ada yang tidak faham duduk perkara Blackrock ini. Rabbi Yahudi pun tidak sokong Blackrock mengapa Anwar Ibrahim yang klim baik dengan Ismail Haniyeh pemimpin Hamas sanggup menjual pintu negara kita kepada Zionis. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DSIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW. COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2024/07/30/blackrock-dan-rabbi-yahudi-dari-new-york
Tiada ulasan:
Catat Ulasan