Pilihan Raya Presiden AS: Harris, Biden dijangka akan mengaku kalah
MOSCOW: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) dan calon parti Demokrat, Kamala Harris, bersama Presiden Joe Biden, dijangka akan menghubungi Donald Trump pada Rabu untuk mengakui kekalahan dalam Pilihan Raya Presiden AS, lapor Sputnik.
Menurut NBC News, dua pembantu rapat Harris memaklumkan bahawa Trump sudah memenangi pilihan raya Presiden AS dan ucapan rasmi kekalahan oleh Harris dijangka akan disampaikan sekitar jam 4 petang waktu tempatan (23:00GMT), lapor Reuters yang memetik sumber.
Pilihan Raya Presiden AS sudah berlangsung pada Selasa (5 November).
Walaupun terdapat jangkaan bahawa pertandingan ini akan berlarutan, rangkaian utama sudah mengumumkan Trump sebagai pemenang awal selepas beliau berjaya memperoleh kemenangan di semua negeri penting yang menjadi penentu.
Trump menyambut kemenangan bersama penyokong di Florida, di mana beliau mengumumkan kemenangannya secara terbuka.
Sebagai satu tanda perpaduan, Biden dilaporkan merancang untuk menjemput Trump ke Rumah Putih dan menghadiri majlis pelantikannya, menurut laporan itu. – BERNAMA-SPUTNIK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan