SKANDAL NFC:
IKLAN NOTIS BANKRAP SENGAJA DIUSAHAKAN SEBAGAI MODAL POLITIK
Saya merujuk kepada satu notis menuntut bayaran sebanyak RM306,999.17 setakat 13 Julai 2017 seperti yang diiklankan di dalam akhbar tempatan atas arahan yang diperolehi oleh Salleh Ismail (suami kepada Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno) dan NFC daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Saya tahu bahawa tindakan membuat permohonan terus di mahkamah tanpa berusaha sepenuhnya untuk menghantar notis secara tangan agar notis itu diterima sendiri oleh saya (seperti kehendak undang-undang yang biasa diamalkan) adalah satu helah murahan di pihak Salleh Ismail untuk memfitnah dan menyerang peribadi saya. Saya tidaklah terkejut, malah bersimpati dengan beliau kerana pada umur sedemikian beliau nampak terlalu terikut-ikut dengan perasaan marah dan dendam atas apa yang berlaku ke atas NFC yang mengheret keluarga beliau.
Dengan mendapatkan notis dari mahkamah itu, ia bertujuan untuk memberi gambaran bahawa saya berlaku tidak jujur kerana menerima sumbangan orang ramai untuk membayar jumlah yang dituntut oleh beliau tetapi menyimpan jumlah itu dan tidak membayarnya kepada beliau. Selain itu, ia digunakan sebagai modal politik murahan oleh cyber trooper Umno untuk menyerang saya sebagai seorang yang bankrap.
Rakyat secara umumnya tidak begitu arif tentang selok belok kaedah undang-undang dalam mengendalikan tuntutan bayaran selepas satu penghakiman kes saman dikeluarkan.
Oleh itu, mudah untuk menggunakan kaedah undang-undang untuk memberi gambaran saya enggan membayar walaupun sudah menerima sumbangan lebih RM1.5 juta dari rakyat Malaysia.
Kaedah-kaedah di sisi undang-undang untuk menghantar notis menuntut bayaran selepas satu penghakiman dibuat dalam kes saman seperti ini tertakluk kepada kaedah-kaedah yang terkandung di dalam Peraturan Mahkamah 2012 (Rules of Court 2012) yang diwartakan.
(Rujuk Peraturan Mahkamah 2012 http://www.malaysianbar.org.my/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=3766 )
Secara umumnya, kaedah-kaedah ditentukan oleh Perintah 10 (“ORDER 10: SERVICE OF ORIGINATING PROCESS: GENERAL PROVISIONS”) dan Perintah 62 (“ORDER 62
SERVICE OF DOCUMENTS”).
Perintah 10 Peranggan 1 menyebut bahawa tertakluk kepada akta-akta dan peraturan-peraturan di dalam Peraturan Mahkamah, sesuatu notis (dipanggil juga writ) perlulah disampaikan secara peribadi kepada pihak yang menerima atau dihantar melalui pos berdaftar. Dalam kes notis menuntut bayaran seperti kes ini, ia bermakna peguam yang dilantik oleh Salleh Ismail perlulah membuat temu janji dengan saya untuk datang berjumpa dan menyampaikan sendiri notis tuntutan itu yang perlu ditandatangani oleh saya dalam satu salinan sebagai persetujuan saya telah menerima notis tersebut.
Perintah 62 Perenggan 5 (mengenai “Substituted Service”) menyebut pula bahawa jika sesuatu notis perlu disampaikan secara peribadi tetapi Mahkamah merasakan adalah tidak praktikal (“impractical”) untuk menyampaikannya secara peribadi, satu permohonan boleh dibuat kepada Mahkamah oleh pemohon untuk mendapatkan arahan Mahkamah agar kaedah-kaedah lain digunakan untuk menyampaikan notis itu kepada pembayar.
Mahkamah kemudiannya berhak mengarahkan agar satu notis diiklankan mengikut apa-apa kaedah yang difikirkan sesuai, selalunya diiklankan di dalam sebuah akhbar edaran nasional.
Saya perlu menegaskan bahawa kaedah mendapatkan satu perintah mahkamah agar notis diiklankan bukanlah cara biasa yang digunakan untuk menuntut bayaran seperti dalam kes ini kerana tugas untuk menyampaikan notis secara tangan untuk diterima secara peribadi oleh saya bukan satu perkara yang susah.
Saya dimaklumkan oleh beberapa orang rakan peguam bahawa pemohon (dalam kes ini Salleh Ismail) perlu menunjukkan bahawa beliau tidak dapat menjejaki saya sama ada kerana alamat yang diberikan tidak lagi wujud atau tiada yang tahu di mana saya berada. Tambahan pula, kaedah mengiklankan di dalam akhbar akan melibatkan kos yang tinggi.
Sebab itu saya tidak terkejut apabila Salleh Ismail dan NFC mengambil jalan yang pelik dan menelan belanja sedangkan cara biasa hanyalah menghubungi saya atau datang ke pejabat saya. Bagi saya, mereka berniat untuk memalukan dan menunjukkan kononnya saya seorang yang pecah amanah kerana telah mendapat sumbangan tetapi tidak membayar tuntutan mereka.
Apa yang tidak dimaklumkan kepada rakyat adalah saya tidak dapat membayar sehingga mereka menyampaikan notis tuntutan itu secara tangan dan diterima peribadi kepada saya kerana saya tidak tahu jumlah sebenar yang perlu saya bayar. Hakim YA Azizul Azmi Adnan bukan sahaja menganugerahkan bayaran RM300,000 kepada NFC dan Salleh Ismail, jumlah itu perlu dibayar dengan bayaran faedah yang dikira pada setiap hari.
Oleh itu, saya memang perlu menunggu notis tuntutan itu diserahkan secara tangan untuk memenuhi kehendak undang-undang dan mengetahui jumlah yang perlu dibayar.
Malangnya, perkara yang mudah iaitu menghubungi saya untuk membuat temujanji untuk menyerahkan notis tuntutan yang menyatakan jumlah yang perlu dibayar itu tidak pernah diusahakan oleh Salleh Ismail.
Pihak beliau hanya meninggalkan surat di rumah saya kononnya mereka datang tetapi saya tiada di rumah. Seterusnya mereka meninggalkan pula surat untuk menyatakan mereka berkehendakkan saya berada di rumah pada tarikh dan masa yang mereka tetapkan untuk saya menerima notis yang hendak mereka serahkan.
Saya hanya satu arahan mahkamah yang sama seperti yang diiklankan di dalam akhbar buat kali pertama pada hari Selasa lepas iaitu 19 September 2017, semasa saya pulang ke rumah sekitar jam 1 pagi selepas program seharian,. Arahan mahkamah itu bertarikh 14 September 2017 dan memberi saya tempoh seminggu iaitu sehingga 21 September 2017, tetapi hanya ditampal di pintu rumah saya hanya pada 18 September 2017 dan hanya dilihat oleh saya pada pagi 19 September 2017.
Pada 20 September 2017, saya berada di Sitiawan pada sebelah malamnya dan pada 21 September 2017, saya ada kes di mahkamah. 22 September 2017 ialah cuti umum awal Muharram.
Maka saya tidak terkejut apabila saya menyemak telefon saya semalam sekitar 7 malam setelah seharian berkempen di Kedah dan Perlis, saya terlihat ada dua panggilan dari wartawan New Straits Times yang bernama Syed Umar Ariff. Sebelum ini, wartawan ini menulis beberapa rencana pojok politik yang memburuk-burukkan saya tanpa sekali pun merujuk kepada saya sebelum menulis rencana-rencana itu. Itu hak beliau untuk menulis tetapi apabila wartawan pertama yang menghubungi saya mengenai notis kebankrapan ini adalah Syed Umar Ariff dari NST (sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah pun menghubungi saya walaupun tulisan pojok beliau itu boleh sahaja disaman kerana serangan ke atas saya), saya fahamlah sebab musababnya.
Jika niat mereka ini untuk memalukan saya kerana notis bankrap yang disiarkan dan dijadikan modal serangan media milik Umno seperti TV3, NST dan Berita Harian – saya tidak rasa itu berkesan. Saya sudah pun ada berbelas kes mahkamah dan sudah dijatuhkan hukuman penjara. Apalah sangat satu notis menuntut bayaran yang disiarkan di dalam media milik Umno.
Jika niat mereka untuk menunjukkan saya seorang yang menipu kerana menerima sumbangan rakyat tetapi menyelewengkan wang itu untuk diri saya – tindakan yang diambil ini adalah bodoh kerana rakyat Malaysia boleh membaca permainan politik mereka. Cemuhan rakyat kepada keluarga Shahrizat Jalil dan Salleh Ismail akan berterusan kerana bukan sahaja mereka tidak mengembalikan sepenuhnya RM250 juta wang rakyat yang diambil, kini mereka cuba bermain politik pula dengan menggunakan skandal NFC.
Mulanya Salleh Ismail menuntut bayaran RM300,000 walaupun rayuan masih berjalan dan beliau boleh sahaja menunggu sehingga rayuan terakhir. Ketika itu nampak beliau terdesak untuk mendapatkan wang RM300,000.
Setelah saya berjaya mengumpul RM300,000 untuk membayar beliau dan NFC, kini lain pula helahnya. Saya nampak seperti mereka cuba pula mencari jalan untuk saya tidak membayar wang RM300,000 itu dan menggunakan kaedah permohonan mahkamah agar notis tidak disampaikan secara peribadi kepada saya agar saya dapat membayarnya. Sebaliknya satu tindakan mahkamah diambil dan ditampal di saat-saat akhir sebelum tarikh akhir yang diarahkan mahkamah.
Peguam saya akan mengira jumlah terkini yang perlu dibayar dengan mengambil kira bayaran faedah terbaru dan saya akan menyerahkan cek itu kepada beliau esok (Isnin, 25 September 2017) untuk dibayar kepada Salleh Ismail dan NFC. Selepas itu, soal kebankrapan sepatutnya tidak timbul dan saya akan menunggu tarikh rayuan untuk membatalkan keputusan Hakim YA Azizul Azmi Adnan tempoh hari.
Saya menasihati Salleh Ismail dan Shahrizat Jalil supaya menumpukan perhatian mereka kepada usaha untuk mengembalikan kesemua RM250 juta yang mereka telah ambil dan sebahagiannya dibelanjakan bagi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu seperti kondominium mewah.
Tindakan kebudak-budakan seperti tidak mengusahakan untuk menyerahkan notis tuntutan dengan jumlah yang perlu dibayar secara tangan yang menghalang saya membayar (seperti yang lazim berlaku) supaya satu notis kebankrapan dapat disiarkan di akhbar-akhbar akan terus mengundang cemuhan rakyat terhadap mereka.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
------------------
4 ulasan:
Aku yakin, duit orang ikhlas menderma, tak akan dapat dimakan oleh orang jahat...
Kalau pun dibayar, bayaran itu akan berubah bentuk menjadi api pada keluarga dan keturunan dia.. Harta curian segudang kalau dicampurkan dengan duit ikhlas walau seringgit, harta yang kotor akan hangus atau lari dari tuan punya, hilang dalam bentuk berbagai2...
Jangan risau rafizi,.. Cepat2 bayar.
Lagi cepat lagi bagus... Duit itu akan ko dapat balik...
Benar...mereka harus menumpukan usaha mereka untuk mengembalikan wang rakyat RM250juta.itu...
Selepas ini ..Jika pembangkang menang pilihanraya...
giliran mereka pula untuk merasai. ..ketidakadilan undang-undang..yang akan dibayar bersama-sama faedahnya sekali..
Saudara Rafizi... Pergilah bayar cepat.. Dah serah bayaran, buat siaran, bagi tau pda penderma2.. Hargailah penderma2 walaupun mereka tak sidikitpun inginkan penghargaan..
Wang yang diterima oleh Saleh itu adalah sebab akibat Kehancurannya sekiranya dia dibenar2 bersalah..
Hukum karma sedang berjalan, cuma masa yang menjadi penentu.
Kos rawatan untuk penyakit jantung dan kanser adalah sekitar jumlah yang diterima olehnya mungkin juga sejumlah derma yg telah disumbang..
Kalau dia sedar hanya setakat itu, tetapi kalau masih sombong, mungkin mereka sekeluarga akan diberi umur yang panjang tetapi menghidap penyakit sehingga seluruh haartanya terlepas..
Kerana kekayaan mereka sebab rembat duit buat projek Lembu, mungkin penyakit berkatian lembu akan mereka hadapi yang menjadikan harta yang mereka kumpul tidak dapat dinikmati.. Penyakit Lembu Gila...
Perasan atau tidak sekarang, para menteri, pegawai tinggi kerajaan dan penyokong kezaliman kebanyakan mereka menghidap penyakit yang tidak ada ubatnya... Iaitu bodoh..dan kurang siuman?
Tak payah penjarakan puak rasuah ni. Biar mrk tinggal bersama lembu dalam kandang lembu utk beberapa tahun kahkahkah
Catat Ulasan