.

Rabu, 6 Jun 2018

MERAKAM SEJARAH - MAT SABU






MERAKAM SEJARAH 

ABANG MAT SABU 


Sebut sahaja nama Mat Sabu satu Malaysia tahu dan kenal dengan sosok ini.  Pada hari ini - satelah Pakatan Harapan menjadi kerajaan -  mustahil masih ada warga Malaysia yang tidak pernah mendengar nama ini. Nama ini saya  tambah pula dengan perkataan Abang untuk menjadi Abang Mat Sabu. Sebenarnya ada kesah dibelakang kesah. Ada cerita dibelakang cerita.

Pada Ahad 8/12/1974 - secara resmi saya menghilangkan diri lesap dari Universiti Malaya. Saya nyeludup ke bawah tanah. Beberapa tahun kemudian saya muncul dibeberapa kota besar dalam dunia. 

Satelah berkelana selama 20 tahun pada November 1994 saya kembali pulang ke Lapangan Terbang Subang. Tapi bukan riwayat ini  yang ingin saya bongkar. 

Saya mahu menyelongkar kesah Abang Mat Sabu.

Saya pulang  kembali ke kampong   Chenor Jelebu Negeri Sembilan. Saya disambut kaum keluarga, kawan-kawan dan sahabat  handai. Bukit Aman  juga telah menghantar dua orang pegawai Cawangan Khas (SB) untuk  menjaga diluar pagar depan rumah agar  saya tidak lari lagi. Kerana 3 hari kemudian saya wajib menyerah diri untuk di ISA-kan.

Kepulangan saya disambut dengan  kenduri doa selamat. Selesai semua - lewat malam para tamu, kawan-kawan dan keluarga yang datang minta diri untuk pulang. Salah seorang yang minta diri pulang ialah Pak Cik Jalal. Sebelum  pulang  Pak Cik Jalal memasukkan satu kaset ke  dalam poket baju saya. 

‘ Ada masa dengar… ‘ pesan Pak Cik Jalal. Saya tak ambil pot. Hanya berterima kaseh. 

Pak Cik Jalal  ini adalah  adik kepada ayah saya. Di Kota Kuala Lumpur dan untuk para aktivis Pakatan Harapan Pak Cik Jalal  dikenali  sebagai Pak Amjal  - nama pemilik restoran di hadapaan pintu masuk Universiti Malaya. Dulu Pak Amjal ini ‘orang kuat parti Islam Pas’. Kini Pak Amjal telah menjadi orang kuat Amanah.

Malam ketiga di kampong saya menerima hakikat saya bukan lagi warga Brixton London. Saya bukan lagi di Eropah. Saya wajib melupakan hidup lama. Lalu sya memasang kaset yang diberi oleh Pak Cik Jalal.

Dari kaset saya mendengar suara Jantan yang tidak saya kenali. Awalnya saya tak ambil peduli sangat tetapi masuk ke minit ke tujuh saya mula memasang telinga untuk mendengar lebih teliti  apa yang disuarakan oleh Jantan ini.

Si Jantan ini jelas bercakap tentang politik Malaysia. Jantan ini bercakap teratur, tuntas dan jelas. Ini menjadikan saya tertarik. Saya bertanya - siapa Jantan ini? Hakikatnya Jantan ini telah memberi saya  kuliah politik pertama sepulang dari 20 tahun berkelana. 

PRU9 sampai. Ketika ini saya masih lagi bau bau bacang dengan politik Malaysia. Saya belum kenal ramai orang yang terlibat dalam politik.

Kempen PRU9 1995 makin rancak. Pada satu malam - saya   diberitahu bahawa akan ada ceramah kempen politik di Pantai Dalam.

Malam itu dari Bangsar saya meredah ke Pantai Dalam. Ceramah malam itu  dalam kawasan binaan  flet-flet  yang masih belum siap. Antara tiang-tiang tercacak dan tembok bangunan saya mendengar ceramah.

Ketika saya sampai ceramah telah bermula. Saya terdengar suara Jantan  yang agak serak tapi jelas dan kuat. Ucapan jelas, terang dan  teratur. Macam saya pernah dengar suara ini. 
Paling menarik ucapan jantan ini diselang seli dengan kata-kata yang amat melucukan. Saya terpegun. Saya terfikir - Jantan ini - seorang propagandis yang hebat.

Jantan ini memiliki keupayaan mengkahwinkan babak politik yang  disira dengan  humor Melayu. Dari ilmu komunikasi inilah teknik terbaik. Memecahkan babak politik melalui humor. Dengan sandaran humor  babak  politik akan menyerap masuk untuk diingati dengan lebih pantas. Humor melalaikan pendengar dan ketika ini propaganda  menerbus masuk. Ini satu keilmuan yang ungul. Tidak semua  penceramah memiliki keupayaan ini.

Ceramah tamat dan saya terdengar suara laungan ,’ Mat.. Mat… pantun Mat….’ Baru saya sedar Jantan berceramah ialah Mat Sabu. Saya  membuka mata - inilah suara dari kaset Pak Cik Jalal. Saya tersenyum puas pada malam itu. Misteri kaset telah selesai.

Pada 20 September 1998 Anwar dibuang dari kabinet kerajaan. Anwar dituduh meliwat. Gerakan REFORMASI lahir.

Pada 24 Oktober 1998 saya ditahan dihadapan Sogo. Esoknya pada hari  Ahad terpampang berita dimuka depan  akhbar - Mahathir menuduh saya menjadi  dalang reformasi jalan raya. Maka dari sini bermula penglibatan  saya dalam gerakan reformasi yang manifestasikan ialah politik jalan raya.

Pada 10 April 2001 sepuluh aktivis Reformis ditahan dibawah ISA. Enam Reformis  - Ezam, Tian, Dr Badrul, Lokman, Shaari dan saya dihantar ke Kamunting untuk ditahan selama dua tahun. Gerakan jalan raya menjadi reda untuk sementara.

Satelah keluar dari Kamunting saya terus mengajukan politik jalan raya sebagai pedoman - taktik dan stratiji unggul  untuk merampas kuasa.

Pada 2007 NGO Bersih lahir. Kini politik jalan raya beralih dari Gerakan Reformasi  ke Bersih yang menuntut  pilihanraya adil. Abang Mat Sabu dari Bersih1 telah memainkan peranan yang amat penting. 

Dalam Bersih2.0 saya telah menjadi anggota Pemandu. Secara gelap-gelap saya dan Mat Sabu  telah mengadakan  kerjasama politik.  Banyak kali mesyuarat sulit  dan tidak resmi diadakan tanpa pengetahuan Pengerusi Bersih. Kami merancang teknik dan taktik ke jalan raya.  Kami mengadakan perbincangan ‘gelap’  kerana Ngo Bersih mengakui dirinya Non Partisan - tidak menyebelahi sesiapa. 

Non- partisan adalah  ‘garis mimpi’ yang dipercayai oleh banyak NGO hingga ke hari ini.  Para aktivis NGO  tidak sedar dalam gelap-gelap parti politik telah  memberi sokongan yang amat kuat untuk kejayaan Bersih.

Sesudah kejayaan Bersih1 Mat Sabu telah dinobatkan  sebagai komander politik jalan raya. Dari - Bersih 2/3/4 hingga 5 - kejayaan bergantung kuat dengan kerjasama saya   secara ‘gelap’ dengan Mat Sabu.

Tanpa Mat Sabu ikut serta atau terlibat mustahil gerakan jalan raya akan berjaya. Mat Sabu memainkan peranan penting dalam himpunan anti GST. Mat Sabu memimpin Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112)  pada 12 Januari 2013. Lebih dari 400,000 rakyat berhimpun di Stadium Merdeka. 

Hakikatnya segala gerakan jalan raya dan himpunan jalan raya  Cap Jari dan Tanda Tangan Mat Sabu diperlukan.  Abang Mat Sabu wajib ada bersama. Dari pengalaman saya jika Abang Mat Sabu tidak turun maka rakyat tidak akan yakin untuk  turun bersama.

Sekarang saya berani merakamkan bagaimana Himpunan Kebangkitan Rakyat , demo Bersih 2/3/4 dan 5 dirancang. Dari rakaman sejarah  semuanya bertelor, dieramkan dan menentas  di Old Town Cafe  Brickfeild. 

Di tepi cafe ini saya  selalu melontarkan idea politik  jalan raya. Biasanya idea ini akan disambut oleh Mat Sabu. Pada tahap ini kerjasama saya dengan Mat Sabu telah menjadi lumrah dan wajib.

PRU14 sampai. Kempen Jelajah Pakatan Harapan akan bermula pada 25 Febuari di Melaka. Satu hari sebelum Jelajah bermula satu mesyuarat ‘ gelap’ telah diadakan dalam sebuah bilik di  Hotel Grand Dosett Subang Jaya.

Para pemikir dan para aktivis yang diyakini telah dijemput untuk berbincang dan merancang stratiji kemenangan PRU14. Mat Sabu menjadi jurumudi - juragan dalam ‘mesyuarat  gelap’ ini.

Dari ‘mesyuarat gelap’  ini diputuskan garis politik dan tema kempen. Maka lahir - PRU14 Pakatan Menang Kecuali Ditipu.  Saya ditugas mempropaganda melalui blog TukarTiub dan alam siber. 

Justeru ini garis  politik yang saya jaja, yang saya hebohkan untuk menghasut orang ramai disemua ceramah Jelajah. Melalui Mat Sabu saya berjaya mencelah untuk menjadi penceramah Jelajah - walau pun saya bukan ahli parti jauh sekali pemimpin parti. Saya memakai baju Bersih untuk menghasut.

Jelajah Pakatan Harapan bermula di Melaka, Taiping, Seremban, Bacok, Guar Cempedak, Utan Aji, Pasir Gudang, Dungun, Kuantan dan kembali ke Melaka untuk ‘grand finale’ pada 4 Mei di Melaka.

Dua sosok yang menjadi Tembok Berlin dan kereta kebal T-14 Armata  ialah Mat Sabu dan Mahathir Muhamad.  Dua sosok ini telah berjaya menjadikan Jelajah satu senjata yang bagitu ampoh untuk memenangi hati rakyat. 

Mat Sabu dan Mahathir telah berjaya meyakinkan  anak semua bangsa - bangsa semua agama dan terutama Bani Malayu untuk menolak United Malays National Organisation dan menghumbankan Najib dan Rosmah.

Mahathir berceramah dengan bahasa pengucapan yang senang dan jelas telah dibantu dan disadur  oleh Mat Sabu  dengan kesah lawak politik yang meyakinkan.
‘ Najib Pengerusi 1MDB nak pinjam duit dari Najib Menteri Keewangan yang wajib meminta diluluskan oleh Najib Perdana Menteri yang kena  bertanya dengan Isteri Najib Rosmah….’ sebut sahaja nama Rosmah satu padang bola akan ketawa terbahak-bahak. 

‘Najib minta duit dari Najib untuk Najib bayar hutang 1MDB…’  Sekali lagi pendengar ceramah ketawa. Ini adalah contoh terbaik propaganda politik yang menyerap masuk melalui humour.

Pembodek Najib mempertikaikan bioloji Mahathir. Umur telah lanjut. Tohmahan ini telah dijawab dengan tuntas dan penuh humor oleh Mat Sabu.

Mat Sabu dipentas ceramah. Mahathir duduk ditepi pentas. Mat Sabu tanpa dirancang telah meminta Mahathir mengambil pen dari poket bajunya.
‘ Tun boleh angkat pen atau tidak?’ Mat Sabu bertanya. Mahathir dengan senyum mengangkat pen dan menunjukkan pada orang ramai. 

‘ Iniah kerja Perdana Menteri. Boleh angkat pen .. bukan berat…boleh tanda tangan untuk tangkap Najib… kerja Perdana Menteri bukan membajak atau turun tangkap ikan…’ Pendengar ceramah terbarai ketawa. Mahathir tersenyum puas.

Selepas Mat Sabu penceramah akhir pastilah Mahathir. Satelah beberapa kali berceramah bersama kini Mahathir dan Mat Sabu teah menjadi satu suara - satu item - yang bantu membantu.Kini giliran Mahathir pula menjawab Mat Sabu dalam lorat Kedah. 

‘ Dia ni dulu  musuh saya .. sekarang tak lagi… saya panggil dia Abang Mat walau pun dia ni lebih muda dari saya….” Satu padang bola  ketawa.

Dalam sejarah tanah air  kita bertemu pasangan  Ramlee dan Saloma,  Nordin Ahmad dan Latifah Omar. Dari Holywood ada pasangan Humphrey Bogart dengan Lauren Bacall. 

Dalam politik revolusi Tiongkok kita bertemu dengan Mao Zedong dan Zhou Enlai. Dalam Revolusi Bolshevik Rusia kita bertemu dengan Lenin dan Trotsky. 

Justeru, dalam gerakan meruntuhkan United Malays National Organisation dan menghumbankan Najib dan Rosmah negara kita telah dihadiahkan dengan pasangan Mahathir dan Abang Mat.

Semua berpasangan. Semua bantu membantu. Tanpa satu tak hadir maka susana tempang. Ini hakikat dari apa yang saya perhatikan. Ceramah Mat Sabu tanpa Mahathir tak cun. Ceramah Mahathir tanpa Mat Sabu  tak mantap. Dua dua wajib bersama.

Apakah ini sahaja gandingan Tembok Berlin dengan Tank Rusia? Sabar dulu tunggu minggu hadapan. (TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45




---------------------

5 ulasan:

DIDI KOTA BELUD berkata...

Duduk tepi old town.. Order air kek restoran hussien... Puik....kakakakkakakaka... Nampakkkk... Kakakakakakaa

Nazrio Dond DoLLa berkata...

Oooooooooo o Oooooooooo sudah paham macam Mana tt kenaL kLuk kLak tghh Eddy Wang

Aidil berkata...

Mat Sabu memang lejen sejati. Walau sering ditibai, tetap stedi.

khairi berkata...

pukol talipon bahasa orang petani pantai besar batu kurau

GerilaSiber berkata...

Order air hussein xper lagi... Buang air kena naik tangga kedai Ah Chai kah kah kah!