Korea Utara lancar peluru berpandu lagi
KOREA Utara melancarkan dua peluru berpandu jarak pendek hari ini, kata Seoul, dan ia adalah pelancaran kedua dalam tempoh 48 jam dengan adik perempuan Kim Jong Un memberi amaran untuk menjadikan Pasifik sebagai “lapang sasar”.
Tentera Korea Selatan berkata mereka mengesan pelancaran dua peluru berpandu jarak pendek dilepaskan dari kawasan Sukchon di wilayah Pyongan Selatan antara jam 7 hingga 7.11 pagi waktu tempatan.
Tokyo turut mengesahkan pelancaran itu dengan Pejabat Perdana Menteri berkata Korea Utara melancarkan peluru berpandu dan pengawal pantai mengeluarkan isyarat amaran berkenaan beberapa objek peluru berpandu.
Korea Utara yang mengeluarkan kenyataan tidak lama kemudian berkata ia melepaskan peluru berpandu 600mm menggunakan pelancar roket ke arah Laut Timur, merujuk kepada perairan yang turut dikenali sebagai Laut Jepun.
Pelancaran itu dilakukan kurang 48 jam selepas Pyongyang mengendalikan latihan melepaskan tembakan secara kejutan pada Sabtu, di mana ia dikatakan bertujuan untuk menunjukkan kapasiti Korea Utara untuk menjalankan serangan balas nuklear.
Japan berkata ICBM dilancarkan selama 66 minit dan ada yang mendarat di zon ekonomi ekslusif. Sebagai respons, Seoul dan Washington mengadakan latihan ketenteraan bersama semalam, mempamerkan pengebom strategik dan jet pejuang.
Dalam satu kenyataan hari ini, adik pemimpin Korea Utara, Kim Yo Jong berkata Pyongyang akan terus melakukan tindakan balas terhadap mana-mana ugutan. – AFP, 20 Februari, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan