RM1.1 juta hangus selepas ahli perniagaan terpedaya komisen 25 peratus
JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan rugi RM1.1 juta selepas tertipu dengan tawaran pekerjaan dalam talian tidak wujud yang menawarkan komisen sehingga 25 peratus.
Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, semuanya bermula apabila mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 40-an mendapat tawaran pekerjaan berkenaan menerusi platform media sosial pada 26 Mac lalu.
Jelas Kumar, mangsa dimaklumkan akan memperoleh komisen sebanyak 25 peratus untuk setiap produk yang berjaya dijual.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu membuat transaksi kewangan ke 22 akaun bank berbeza antara 28 Mac sehingga 13 Jun berjumlah keseluruhan RM1.1 juta.
“Mangsa hanya menyedari menjadi sasaran scammer apabila wang komisen dijanjikan masih tidak diperoleh sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis kelmarin dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana tawaran yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.-


Tiada ulasan:
Catat Ulasan