Jatuh cinta sejak di bangku sekolah, pemuda Jepun tekad kahwini ibu rakan sekelas
TOKYO: Kisah seorang lelaki Jepun tular di media sosial kerana jatuh cinta dan mengahwini ibu rakan sekelasnya dengan perbezaan usia mereka 21 tahun, lapor South China Morning Post.
Demi cinta, lelaki itu membeli sebuah rumah bernilai hampir 40 juta yen (lebih RM1.07 juta) dalam usaha memikat hati ibu bapa wanita itu.
Isamu Tomioka, 33, yang berasal dari Wilayah Shizuoka, pertama kali bertemu dengan Midori, 54, ketika berada di bangku sekolah.
Midori adalah ibu kepada seorang rakan sekelasnya ketika zaman sekolah menengah rendah.
Ketika Tomioka menginjak usia 30 tahun, dia mengunjungi salun kecantikan milik bekas rakan sekelasnya dan terkejut melihat Midori turut berada di situ.
Dia mengambil peluang mengenali wanita itu dan berasakan ada tarikan untuk membawa perhubungan itu lebih serius.
"Saya terus jatuh cinta dengan Midori. Dia anggun, lembut dan penuh pesona kewanitaan," katanya.
Selepas mengetahui Midori baru sahaja bercerai, dia berusaha menghubungi wanita itu.
Walaupun pada awalnya timbul keraguan berikutan perbezaan usia mereka, ketabahan Tomioka akhirnya menambat hati Midori.
Menurut Midori : "Dia mengingati setiap perkara yang pernah saya ucapkan."
Antara cara romantiknya termasuk mengajak ke Disneyland secara spontan, mengatur upacara peribadi di gereja dengan lagu kegemarannya, menghias bilik hotel dengan belon dan bunga serta mengirim mesej cinta setiap hari.
Namun, apabila pasangan itu membuat keputusan untuk berkahwin, keluarga Midori menentang habis-habisan kerana jurang usia yang ketara.
Mereka turut bimbang kerana Midori tidak boleh memberikan zuriat.
Untuk membuktikan komitmen dan keikhlasannya, Tomioka mengambil langkah berani.
Dia membeli dan mengubah suai sebuah rumah bernilai 38 juta yen untuk menunjukkan kepada ibu bapa Midori bahawa dia benar-benar serius.
Akhirnya, kedua-dua keluarga memberi restu dan pasangan itu secara rasmi mendaftarkan perkahwinan mereka pada Julai 2024.- AGENSI


1 ulasan:
Ramai orang tak tahu KY Jelly gunakan Anwar untuk jadi tukang promote product dia
Catat Ulasan