PENJAJAH
DAN
PENDATANG
Saya pernah melihat dalam YouTube satu lawak berdiri dimana Sang Pelawak - yang berkulit hitam – berkata : Dulu kamu datang ke India kerana itu bila kamu balik ke negara kamu kami semua ikut kamu pulang bersama.
Komidi ini memperlihat tentang keadaan kenapa di UK terlalu ramai orang India, Pakistan dan Bangla telah bermastautin.
Mengikut bancian tahun 2021 terdapat 5.6 juta - warga berasal dari benua India atau dikenali sebagai warga Asia. Ini mencakupi orang dari India, Pakistan dan Bangladesh.
Contohnya di Birmingham ada 340,000, di Bradford ada 140,000 di Manchester ada 115,000 warga berasal dari India.
Dari Jabatan Statistik tahun 2025 warga kota London berjumlah 9.1 juta. Dari jumlah ini 1.8 juta berasal dari India, Pakistan dan Bangladesh.
Lawak lucu tentang Mat Salleh balik kampung dan Mat India ikut sama ada kebenaran. Inggeris negara penjajah. Maka yang mengikuti mereka pulang ke UK adalah anak-anak tanah jajahan.
Di Kota Paris kita temu pendatang dari Algeria, di kota Amsterdam kita temui pendatang dari Surinam, di Brussels kita temui pendatang dari Zaire atau dari Belgium Congo.
Negara-negara Orang Putih ini semuanya pernah menjadi penjajah. Belgium pernah menjajah Congo. Belanda pernah menjajah Surinam dan Indonesia. Peranchis pernah menjajah bumi Arab seperti Algeria, Tunisia dan Moroko. Juga Mali, Senegal, Benin dan Ivory Coast,
UK satu ketika dulu adalah kuasa kolonialis hegemon imperialis yang terbesar dan menguasai antara 65 ke 178 tanah jajahan di serata pelusuk dunia – termasuk Tanah Melayu. Legasi yang wujud hingga ke hari ini ialah Kesatuan Negara Commonwealth – 56 buah negara bekas tanah jajahan Inggeris.
Hakikatnya pendatang yang kini berada di France, di Belgium atau di UK ini pada awalnya adalah hasil dari penjajahan. Ada pertalian antara Penjajah dan Anak Tanah Jajahan. Pertalian yang intim.
Anak-anak tanah jajahan dihantar belajar ke negara Ibunda. Dari Tanah Melayu anak tanah jajahan dihantar ke Kirby untuk jadi Guru dan Cikgu. Dilatih jadi peguam, jurutera, doktor dan pelbagai profesion di universiti dan kolej di UK.
Peranchis dan Belanda juga membuat dan mengambil jalan yang sama ketika menjajah.
Paling menonjol ialah anak-anak dari tanah jajahan yang direkrut untuk menjadi soldadu dan tentera Inggeris atau tentera Peranchis.
Saya masih ingat lagi tahun 50’an ketika saya membesar. Ketika ini Parti Komunis Malaya sedang memimpin Gerakan Pembebasan Tanah Melayu. Parti Komunis berjuang melawan Inggeris untuk Tanah Melayu Merdeka.
Dalam pekan Kuala Klawang Jelebu ada soldadu dari Fiji, ada soldadu dari Nigeria , Nepal, Kenya, New Zealand , Australia yang menjadi askar Inggeris. Mereka semua anak dari tanah jajahan.
Hari ini di Kuala Klawang satu jalan di namakan Jalan Ghurkha. Jalan ini satu ketika dulu adalah penempatan soldadu Ghurkha berkhemah.
Di zaman penjajahan rujukan anak tanah jajahan pastilah kepada London atau Paris atau Amsterdam atau Brussels.
Maka tidak hairan selepas kuasa penjajah berundur anak tanah jajahan ikut pulang ke London, Paris atau Brussels.
Saya ada pengalaman peribadi tentang pendatang dari Tanah Melayu yang terus bermastautin di UK. Mereka ini adalah pelaut yang bekerja di kapal dagang Inggeris.
Pada tahun 1987 saya berpeluang berjumpa Pak Abu yang berasal dari Melaka. Mengikut surah - pada awalnya bila dia berhenti ke laut dia menetap di Liverpool – kota pelabuhan.
Dia menikah dengan Minah Salleh. Ketika kami bertemu Pak Abu yang sudah beranak dan bercucu tinggal di Whitechapel Timur London.
“ Malaya apa cerita..... ‘ Bayangkan Pak Abu masih memanggil Malaysia Malaya.
Mengikut Pak Abu ramai pelaut dari Tanah Melayu yang masih menetap di Liverpool. Mereka datang ke UK ketika Tanah Melayu masih tanah jajahan. Tidak perlu pasport. Tidak perli visa.
Bayangkan ada 56 buah Negara Commonwealth – berapa ramai agaknya pendatang seperti Pak Abu yang kini menjadi warga negara UK.
Sesudah Perang Dunia Ke Dua – Eropah dengan bantuan dana Marshall Plan dari Amerika membangun kembali. Buruh dan tenaga kerja di perlukan. Bangunan yang runtuh perlu di baiki. Perumahan baru wajib dibina untuk bekas soldadu. Jalan kereta api wajib dibaiki dan yang baru perlu di buat.
Buruh. Buruh. Tenaga kerja di perlukan. Maka di jemput datang anak dari bekas tanah jajahan.
Justeru kerajaan UK mengambil langkah radikal. Undang-undang baru untuk pendatang di buat.
Akta Kewarganegaraan British 1948: Undang-undang ini memberikan hak undang-undang kepada semua rakyat Empayar British – bekas tanah jajahan dan Komanwel untuk tinggal, bekerja, dan menetap di UK.
Contoh klasik yang hari ini masih disebut-sebut ialah kes kapal Empire Windrush: Kapal ini tiba di Essex pada bulan Jun 1948 dengan membawa ratusan penumpang dari Caribbean yang datang untuk mengisi kekosongan jawatan penting dan memburuh.
Keperluan ekonomi: Penghijrahan ini didorong oleh keperluan mendesak. Britain memerlukan tenaga kerja pasca-perang, ditambah pula dengan kadar pengangguran yang tinggi serta peluang yang terhad di Caribbean.
Perkara yang sama juga berlaku di Belgium. Jika di UK warga dari Jamaica datang memburuh. Di Belgium warga dari Moroko masuk menjadi pekerja.
Di German konsep Pekerja Tamu di perkenalkan. Pekerja tetamu – Gastarbeiter - di Jerman Barat ini program kerajaan pada pertengahan abad ke-20. Kerajaan secara aktif merekrut tenaga kerja asing untuk melakukan kerja fizikal sementara, dengan jangkaan bahawa mereka akhirnya akan pulang ke negara asal.
Hakikatnya ada pertalian yang jelas antara Negara Penjajah dengan warga Tanah Jajahan.
Malah satu ketika dulu di Tanah Melayu ada menggunakan frasa : Old Mother England. Ini bukan konsep lucah atau lawak tapi inilah hakikat hubungan kita yang pernah di jajah oleh Inggeris.
Tetapi semua ini berubah. Akhir-akhir ini saya terbaca dalam portal akhbar The Guardian bagaimana ada warga Jamaica yang datang dengan kapal Windrush mahu dihantar pulang kembali ke Jamaica.
Krisis pengusiran warga Windrush tercetus pada tahun 2018 apabila penduduk jangka panjang UK dari negara-negara Komanwel. Mereka tiba sebelum tahun 1973, kebanyakannya dari Caribbean.
Sentimen anti pendatang semakin melonjak. Pendatang dari negara bekas tanah jajahan menjadi sasaran. Keadaan ini lahir akibat dasar imigresen "agak keras” - hostile environment. Ini dasar Kementerian Dalam Negeri yang mahu di lihat popular di kalangan pengundi.
Beratus-ratus orang berdepan dengan penahanan, kehilangan pekerjaan, penafian akses penjagaan kesihatan, dan pengusiran yang tidak wajar walaupun mereka merupakan penduduk sah Britain.
Skandal Windrush ini masih belum selesai. Cuaca dan ambiance terhadap pendatang tidak mereda. Malah suhu benci dan mahu menghalau pendatang ini pulang ke negara asal makin merebak.
Keadaan yang sama sedang berlaku di Belgium, di German, di Peranchis, di Sepanyol , di Itali atau di Belanda. Malah saya tidak akan dianggap salah jika saya katakan sikap anti pendatang ini sedang mengampuh di Eropah.
Di Eropah Barat dan di Eropah Timur sentimen tak suka dan benci kepada pendatang ini sedang membara.
Justeru di German ada Parti AFD – Parti Alternatif untuk German. Di UK ada Reform Party – parti garis kanan yang menjadikan pendatang agenda utama. Di Italy Giorgia Meloni yang menjadi Presiden semenjak 2022 datang dari Party Brothers of Italy yang jelas berfahaman kanan.
Yang saya rakamkan disini adalah pendatang hasil dari babak penjajahan. Mereka di jemput datang dan di rayakan. Tetapi semua ini sedang berubah.
Sejarah penjajahan dah lama tamat. Kini dunia memasuki era pasca Globalisasi. United Kingdom bukan lagi hegemon kolonial utama. Amerika telah mengambil alih peranan UK.
Era Globalisasi ini membuka semua sempadan. Apa yang kita saksikan ini adalah hasil pasca Globalisasi.
Krisis pendatang yang kita lihat sekarang ini ialah krisis modal dan buruh. Buruh dari awal dulu datang mengikut modal. Di mana ada modal buruh akan sampai. Kalau dulu di jemput hari ini buruh sampai dengan pelbagai cara.
Apa terjadi dengan pendatang lama dan pendatang baru ini? Tunggu minggu hadapan. Amin . (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM POERTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/783176










Tiada ulasan:
Catat Ulasan