DASAR GARIS
POLITIK TEPAT
DARI HIZBULLAH
AMIN
LETAK SENJATA
AKAN JADI MACAM
AL-FATAH & PLO
KHALAS
Ketua Hizbullah sekali lagi tolak perjanjian Lubnan-Israel, enggan menyerah
BEIRUT: Ketua Hizbullah, Naim Qassem, sekali lagi menolak perjanjian antara Israel dan Lubnan, sambil menegaskan kumpulan disokong Iran itu tidak akan menyerah, hampir enam bulan selepas tercetusnya perang dengan Israel.
"Kami menentang perjanjian rangka kerja itu dan menyeru supaya ia dibatalkan," katanya dalam ucapan yang disiarkan menerusi saluran televisyen milik kumpulan berkenaan, Al-Manar pada Jumaat.
Israel dan Lubnan memulakan rundingan secara langsung yang ditaja Amerika Syarikat (AS), selepas Hizbullah mengheret Lubnan ke dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac dengan melancarkan serangan terhadap Israel.
Israel kemudian bertindak balas dengan serangan besar-besaran dan melancarkan pencerobohan darat, yang menurut pihak berkuasa Lubnan, mengorbankan lebih 4,300 nyawa.
Dalam rundingan pada akhir Jun lalu, Lubnan dan Israel menandatangani perjanjian yang menggariskan pelucutan senjata Hizbullah, pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari selatan Lubnan serta penempatan tentera Lubnan di kawasan berkenaan, bermula dengan zon perintis.
"Perjanjian rangka kerja itu tidak sah, menyalahi undang-undang, memalukan dan memusnahkan kedaulatan Lubnan.
"Kami tidak bersetuju dengan zon perintis atau apa yang akan berlaku susulan pelaksanaannya," kata Qassem sambil menolak sebarang cadangan sistem pengesahan.
Selepas rundingan di Rom awal bulan ini, sumber Lubnan memberitahu AFP bahawa persetujuan dicapai mengenai 'senarai pendek' negara yang berkemungkinan mengawasi pelaksanaan proses zon perintis itu.
Antaranya termasuk usaha tentera Lubnan meleraikan sebarang infrastruktur Hizbullah di kawasan berkenaan.
Pusingan baharu rundingan dijadualkan berlangsung pada awal September, namun tarikhnya masih belum diumumkan.
Keganasan berkurangan sejak memorandum persefahaman AS-Iran mengenai konflik lebih meluas di Asia Barat pada Jun lalu dan perjanjian rangka kerja Israel-Lubnan pada bulan sama.
Namun, Lubnan masih melaporkan serangan Israel, bedilan artileri dan kemusnahan besar-besaran bangunan awam di kampung serta pekan di selatan negara itu.
Tentera Israel kini beroperasi di dalam apa yang diisytiharkan sebagai zon keselamatan, yang meliputi kawasan kira-kira 10 kilometer (km) ke dalam wilayah Lubnan di sepanjang sempadan.
Agensi Berita Nasional Lubnan yang dikendalikan kerajaan pada Jumaat melaporkan beberapa serangan udara Israel di selatan negara itu, termasuk di kawasan Nabatieh, yang menyaksikan peningkatan serangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Qassem berkata, kumpulannya menyokong pelaksanaan gencatan senjata pada November 2024 yang bertujuan menamatkan perang terdahulu dengan Israel.
"Kami akan terus berdiri teguh dan tidak akan menyerah," tegasnya. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan