Sabtu, 29 Ogos 2026

KITA SEMUA BERSIMPATI


SATU MALYSIA

SAMA SEDIH

SIMPATI UNTUK

KELUARGA

AMIN

SATU DUNIA

SEDANG MENCARI

AMIN

'Kesunyian tanpa khabar amat menyakitkan' - 49 keluarga rayu Wisma Putra salur maklumat rasmi setiap hari


KUALA LUMPUR: Keluarga kepada 49 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan tragedi banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet merayu Wisma Putra menyalurkan maklumat rasmi secara berkala setiap hari walaupun tiada perkembangan baharu mengenai insan tersayang mereka.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH), Dr R Manivannan, berkata keluarga memerlukan satu saluran komunikasi rasmi yang boleh dipercayai bagi mendapatkan perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, maklumat itu perlu merangkumi status terkini rakyat Malaysia yang masih hilang, kawasan pencarian, perkembangan daripada pihak berkuasa Nepal dan China serta bilangan individu yang sudah ditemukan atau diselamatkan.

"Kami amat memahami bahawa maklumat kadangkala mungkin terhad atau masih tertakluk kepada pengesahan.

"Walaupun kemas kini yang diberikan hanya menyatakan bahawa tiada maklumat baharu yang disahkan, perkara itu tetap dapat memberikan ketenangan kepada keluarga bahawa perkara ini sedang dipantau dan diusahakan secara aktif," katanya pada sidang media di Gombak hari ini.

Lebih 70 ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang turut hadir pada sidang media berkenaan.

Manivannan berkata, MASFIH turut meminta Wisma Putra serta Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Beijing melantik pegawai perhubungan khas bagi berkomunikasi secara langsung dengan tiga wakil pertubuhan itu.

Katanya, kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang diwakili MASFIH dan saluran komunikasi berpusat membolehkan maklumat rasmi disampaikan dengan cepat serta konsisten kepada keluarga.

"Ia juga dapat mengurangkan beban anggota keluarga yang terpaksa berulang kali menghubungi agensi berbeza untuk mendapatkan maklumat.

"Kami menerima maklum balas daripada beberapa anggota keluarga yang mengalami kesukaran untuk menghubungi atau mendapatkan maklum balas daripada Kedutaan Malaysia di Kathmandu sejak dua hari lalu," katanya.

Bagaimanapun, Manivannan berkata, rayuan itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak kerana mereka memahami misi diplomatik sedang berdepan situasi bencana yang amat mencabar dan sentiasa berubah.

"Bagi keluarga yang dalam keresahan dan menunggu berita mengenai insan tersayang, kesunyian tanpa khabar amat menyakitkan.

"Ketidakpastian menimbulkan ketakutan, kekecewaan dan ada ketika putus asa," katanya.

Beliau berkata, lebih 72 jam sudah berlalu sejak banjir kilat melanda kawasan sempadan Rasuwagadhi, Nepal-Tibet, namun keberadaan rakyat Malaysia berkenaan masih belum diketahui.

Katanya, setiap jam tanpa maklumat yang boleh dipercayai meningkatkan kebimbangan, penderitaan dan tekanan emosi ditanggung keluarga.

Manivannan berkata, keluarga ketika ini menerima maklumat terutama mengenai perkembangan di sebelah Nepal, tetapi hanya sedikit atau tiada maklumat secara langsung berkaitan operasi SAR serta keadaan di sebelah Tibet, China.

Katanya, berdasarkan maklumat dan pergerakan terakhir kumpulan berkenaan, ada kemungkinan sebahagian atau ramai rakyat Malaysia yang hilang berada di atau berhampiran kawasan imigresen atau kastam China.

"Mereka juga mungkin terperangkap dalam banjir ketika melintasi sempadan atau sudah melepasi pemeriksaan imigresen dan dalam perjalanan menuju Gyirong atau Kerung.

"Keluarga tidak sepatutnya terpaksa bergantung pada maklumat yang tidak lengkap daripada sumber tidak rasmi untuk menentukan sama ada insan tersayang mereka sudah ditemui," katanya.

Dalam pada itu, Manivannan berkata, MASFIH turut menggesa kerajaan menggunakan semua saluran diplomatik dengan Nepal dan China bagi mendapatkan kelulusan segera untuk menggerakkan pasukan SAR Malaysia serta kepakaran berkaitan.

"Pada peringkat ini, keluarga memohon agar setiap sumber yang mungkin, setiap saluran yang mungkin dan setiap kawasan pencarian yang mungkin digunakan.

"Kita tidak mampu kehilangan lebih banyak masa," katanya.



Tiada ulasan: