PARTI PAS
MAKIN
BIJAK MATANG
TUNJUK UPAYA
KE PUTRAJAYA
AMIN
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghargai keputusan PAS untuk tidak meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, bulan depan.
Ketua Penerangan GPS, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata keputusan PAS itu mencerminkan semangat setiakawan, khususnya dalam menjaga hubungan antara parti politik dan masyarakat yang tinggal bersama di Sarawak.
Beliau berkata, PAS sebelum ini dilaporkan berhasrat bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Semariang, Sebuyau dan Beting Maro.
"Alhamdulillah, ini satu semangat setiakawan dan kita tahu apabila mereka (PAS) mahu datang pun bukan bertanding di kawasan bandar, sebaliknya di kawasan majoriti orang Melayu.
"Kenapa hendak dipecahkan ummah?" katanya kepada pemberita pada Program Pengagihan Bakul Makanan di Kampung Moyan Laut, Asajaya, hari ini.
Abdul Karim yang juga penyandang kerusi DUN Asajaya berkata, sekiranya keputusan PAS itu adalah didorong usaha menyatukan umat Islam, GPS amat berbesar hati serta berterima kasih kepada parti berkenaan.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut menghargai pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tidak berhasrat untuk meletakkan calon pada PRN Sarawak.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat selaras persefahaman politik antara UMNO dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, hubungan politik tidak seharusnya berubah-ubah mengikut kepentingan, terutama apabila sesebuah parti mahu menjalinkan kerjasama selepas pilihan raya, sedangkan mereka saling menentang ketika kempen.
Beliau berkata, kesan daripada kempen selama dua minggu boleh berpanjangan walaupun pilihan raya sudah berakhir nanti, terutama apabila masyarakat setempat terpaksa terus hidup bersama selepas pemimpin parti dari Semenanjung kembali ke tempat masing-masing.
"Yang akan tinggal bersama kita ialah saudara kita.
"Kalau sudah berkelahi ekoran kempen dua minggu itu, ia akan menjurus panjang dan lebih lama bermasam muka di kampung.
"Orang yang membuat fitnah dan melaga-lagakan kita pula sudah tiada. Ini yang kita tidak mahu," katanya.
Terdahulu di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mengesahkan parti itu memutuskan untuk tidak meletak calon pada PRN Sarawak 2026 selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta pelbagai pertimbangan lain.
Takiyuddin dipetik berkata, PAS akan terus memberi komitmen kepada usaha memperkukuhkan perpaduan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, selaras dasar serta prinsip perjuangan parti.
PRN Sarawak Ke-13 membabitkan 82 kerusi DUN dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 28 November ini, pengundian awal 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember depan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan