SEPERTI YANG
DI JANJIKAN
JIKA DI SERANG
IRAN AKAN SERANG
SEMUA BARUA
AMERIKA DI TELOK
KHALAS
KUWAIT: Negara Teluk bertungkus-lumus memintas serangan dari Iran dan sekutunya, selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang sebuah pulau milik Iran.
Perkembangan itu sekali gus meningkatkan keganasan yang mengancam usaha menyelesaikan perang di Asia Barat.
Kuwait mengaktifkan sistem pertahanan udaranya bagi memintas serangan dron yang pertama sejak awal September.
Bahrain pula memaklumkan berjaya menangkis serangan Iran selepas AS menyerang Pulau Qeshm di Iran di Selat Hormuz, yang menjadi tompok panas konflik.
Letupan turut kedengaran di Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar dunia yang memaklumkan berjaya memintas peluru berpandu dan dron dilancarkan kumpulan Houthi disokong Iran, yang kini merampas kawasan baharu di negara jiran, Yaman.
Bahrain kini berdepan empat serangan Iran dalam tempoh enam hari, sekali gus menamatkan tempoh reda selama beberapa minggu dalam perang yang bermula dengan serangan AS-Israel ke atas Republik Islam itu pada 28 Februari.
Iran bertindak balas dengan menyerang sekutu kaya AS di Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS selain menyekat Selat Hormuz yang sebelum perang menjadi laluan bagi 25 peratus daripada aliran minyak global.
Tentera Iran berkata, 'dron tempur dan dron kamikaze' miliknya menyasarkan sistem pertahanan udara serta pelancar peluru berpandu AS di pangkalan udara Ali Al-Salem di Kuwait semalam.
Sehari sebelumnya, jet pejuang AS menyerang tapak pelancaran peluru berpandu di Pulau Qeshm menggunakan 'senjata berketepatan tinggi' menurut seorang pegawai tentera AS yang menyifatkannya sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif Iran.
Ketua Tentera Iran, Amir Hatami memberi amaran bahawa tindak balas terhadap AS dan sekutunya akan menjadi 'lebih dahsyat'.
"Jika musuh melakukan kesilapan dan mengulangi tindakan yang sebelum ini menyebabkan mereka berputus asa, tindak balas kami yang ditujukan kepada musuh dan pihak yang menyokongnya.
"Serangan kali ini pastinya akan lebih dahsyat serta tidak mengenal sempadan geografi," katanya, yang dipetik agensi berita Fars Iran.
Qatar yang bertindak sebagai orang tengah dan mengadakan rundingan dengan pegawai Iran pada Selasa, menyifatkan serangan terbaharu itu sebagai 'peningkatan berbahaya' serta memberi amaran ia menjejaskan usaha mencari penyelesaian damai bagi perang berkenaan.
Jabatan Negara AS mengeluarkan semula amaran keselamatan kepada rakyatnya di Bahrain dan Arab Saudi supaya meningkatkan kewaspadaan di kedua-dua negara Teluk itu susulan serangan Iran dan kumpulan Houthi.
Sementara itu, seorang pelaut dilaporkan hilang selepas sebuah kapal milik ADNOC, syarikat minyak milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), diserang lewat Selasa di Selat Hormuz, menurut syarikat itu. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan