Kota Bharu: PAS menyifatkan agenda penyatuan ummah dibentuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak wajar terhenti setakat itu, sebaliknya terus diangkat bagi memastikan umat Islam kembali bersatu, sekali gus memperkukuhkan kuasa politik di negara ini.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya, berkata PRN Negeri Sembilan yang meletakkan agenda penyatuan ummah berjaya memastikan bukan sahaja sebuah kerajaan Melayu-Islam kembali bertapak di negeri Persekutuan tertua, bahkan turut memastikan sokongan terhadap DAP dan Pakatan Harapan (PH) semakin lemah.
"Walaupun kerjasama yang ada pada PRN Negeri Sembilan bersifat ta'awun siyasi yang longgar dan tidak mengikat mana-mana pihak, sekurang-kurangnya ia memberikan kesan ketara kepada corak pengundian dalam pilihan raya berkenaan.
"Negara sudah melalui dua PRN, di Johor dan Negeri Sembilan. Pendirian Presiden PAS untuk menguatkan semula kuasa politik Melayu-Islam bagi kedua-dua negeri ini berjaya dicapai.
"Insya-Allah, kalau inilah formulanya, maka kita sentiasa bersiap sedia menjunjung arahan dan perintah daripada kepemimpinan utama bagi memastikan PH dan DAP tumbang dalam PRU16 kelak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat dirasmikan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Katanya, cabaran penyatuan ummah bukan sahaja menyedarkan masyarakat Muslim tetapi yang lebih getir adalah membentuk kepercayaan kepada bukan Islam yang terperangkap dengan permainan politik perkauman DAP.
"Mesej penyatuan ummah adalah mesej yang besar, malangnya sesetengah pihak hanya menganggap penyatuan ummah dalam kalangan orang Melayu sekali gus mengetepikan bukan Islam.
"Hakikatnya penyatuan ummah adalah perpaduan untuk semua. Di mana tunjangnya bertapak, di situ rimbunnya berpadu," katanya.
Pada masa sama, Ahmad turut mengingatkan jentera parti tidak leka dengan kemenangan diraih kerana masih banyak PRN pada masa akan datang.
"Kita masih mempunyai beberapa siri pilihan raya lagi iaitu di Melaka, Sarawak termasuklah ujian yang lebih mencabar iaitu PRU16 yang bakal menguji keutuhan serta kekuatan sebenar kuasa politik Melayu-Islam.
"Kita tidak seharusnya terus leka dibuai kemenangan yang ada, bahkan perlu terus bekerja dengan lebih kuat bagi memastikan politik Melayu-Islam terus berada di persada politik tanah air," katanya.