Jumaat, 7 Jun 2013

TIPU PILIHAN RAYA -TURUN JALAN RAYA



SAMM Sahut Himpunan 15 Jun Dengan Gerakan Mobilisasi Besar

Sehingga kenyataan ini ditulis, jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum melepaskan jawatan masing-masing. Perkembangan ini pastinya mengundang perasaan tidak senang majoriti rakyat Malaysia yang mahukan SPR letak jawatan atau dipecat. Ia mencabar kesabaran rakyat.

Sebelum PRU-13, amaran demi amaran telah diajukan kepada SPR supaya pilihanraya dapat berlangsung dengan bersih dan adil. Rakyat telah menunjukkan menifestasi dalam bentuk aksi beberapa himpunan seperti Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan aksi KL112, menghimpun ratusan ribu rakyat menuntut supaya demokrasi ditegakkan.

Namun SPR telah mengkhianati peluang yang diberikan setelah rakyat masih memilih pilihanraya sebagai jalan untuk benar-benar meraikan demokrasi sebaliknya demokrasi itu dinafikan. 

Oleh demikian, tiada lagi amaran wajar diperuntukkan kepada SPR yang dibuktikan menjadi alat untuk mengekalkan pemerintah yang ditolak rakyat. Tanggal 5 Mei menjadi hari hitam buat tanahair apabila demokrasi digelapkan dalam pilihanraya yang penuh penipuan, seterusnya merampas kemenangan rakyat. 

Maka lahirlah gerakan #Blackout505, gerakan NGO #SuaraRakyat505 dan beberapa lagi gerakan anak muda serta gerakan aktivis menuntut SPR dihumban dan pilihanraya yang baru mengambil tempat. Gerakan rakyat bertemakan hitam ini juga telah berjaya menghimpun hampir satu juta rakyat dalam belasan himpunan di seluruh negara. Himpunan hitam ini juga bakal memasuki fasa seterusnya apabila Kuala Lumpur menjadi destinasi yang ditunggu-tunggu oleh seluruh tanahair untuk bersatu menghumban SPR dan sekutunya.

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyambut baik pengumuman beberapa pihak termasuklah dari Pakatan Rakyat, dari Dato' Ambiga yang mewakili BERSIH dan dari Gabungan lebih 50 NGO #SuaraRakyat505 yang telah memilih 15 Jun 2013 sebagai tarikh kemuncak satu lagi perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur. SAMM akan menggerakkan seluruh kekuatan mobilisasi ke arah perhimpunan kemuncak #Blackout505 15 Jun.

Padang Merbok yang dipilih sebagai venue terletak di antara Dataran Merdeka dan Parlimen Malaysia, harus menjadi lokasi yang sangat ideal untuk rakyat berhimpun kali ini. Kedudukan Padang Merbok juga memberi signifikasi yang tepat dalam soal rakyat merebut kembali demokrasi yang dicuri oleh penyangak kuasa.

Sepertimana Dataran Merdeka, Padang Merbok merupakan premis yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jika Bersih 3.0 Dataran Merdeka tidak dibenarkan masuk, maka tidak mustahil Padang Merbok juga mendapat tentangan yang sama dari DBKL. Namun yakinlah, rakyat tetap akan hadir berhimpun memenuhi Kuala Lumpur dan percayalah bahawa tiada entiti yang mampu menghalang kuasa rakyat walaupun pemerintah itu sendiri.

Bagi SAMM, jika perhimpunan sebelum PRU-13 sebagai amaran untuk pilihanraya bersih dan adil menyaksikan peserta demo datang dan pulang mengikut waktu yang ditetapkan, maka himpunan pasca PRU-13 seharusnya lebih dari itu. Peserta demonstrasi harus sedia bukan sahaja untuk turun ke jalanraya, malah untuk datang dan tidak pulang selagi SPR tidak letak jawatan atau dipecat, ini harus menjadi tuntutan paling minima pada aksi tersebut. 

Kita berhimpun masih secara aman, bezanya kita terus berhimpun hingga tuntutan rakyat dicapai secara langsung. Biarlah ia mengambil masa samada 24jam atau 48jam, atau sehingga hari parlimen angkat sumpah, kali ini wajar untuk rakyat terus duduk dan bantah.

Akhir sekali, SAMM menyeru kepada semua pihak khususnya media supaya membantu promosi dan kepada semua penggerak agar memperhebatkan mobilisasi bagi memastikan 15 Jun menjadi sejarah baru simbol kekuatan sebenar rakyat. 15 Jun adalah hari di mana rakyat berjuang menuntut hak demokrasi dikembalikan.

Tipu pilihanraya, rakyat turun jalanraya dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata!

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


BERJUMPA
SABTU 15 JUN 2013
---------

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

woohoo!

untuk rally 1506 ni gua kena angkut sekali camping gear : khemah, mess tin, dapur mini + gas, sleeping bag n stok makan. bukan setakat street carnival, kita camping 3 hari 2 mlm kat padang merbuk! ramai2 kita menjayakannya...

Tanpa Nama berkata...

cunnn..kita camping..lancau spr

Tanpa Nama berkata...

Punca kpd semua ini adalah spr yg nak perbodohkan rakyat...

Jgn ada suara2 sumbang yg suka2 nak salahkan org ramai berhimpun...kalau bangang main jauh2...