Isnin, 4 November 2013

APA CIA TAHU TENTANG NAJIB





KENYATAAN MEDIA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menggesa Kedutaan Amerika dan Australia supaya tampil memberikan penjelasan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, berikutan kegiatan tidak bermoral mereka mengintip pergerakan pemimpin-pemimpin politik di Malaysia.


AMK senada dengan ketegasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap kedua-dua negara yang tidak langsung menghormati persahabatan yang sudah terjalin di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat dan Australia.

Bagi AMK kejadian pengintipan ini bukan merupakan suatu yang remeh, malah ia mencetus kebimbangan, banyak rahsia negara sudah berada di dalam gengaman pihak perisikan AS dan Australia.

Kami menggesa kegiatan pengintipan ini dihentikan serta merta, malah Kerajaan Pusat seharusnya memanggil segera Duta AS dan Australia dan meminta penjelasan daripada mereka.

Putrajaya perlu bertindak segera menghantar nota bantahan kepada Kedutaan AS dan Australia, kerana AMK bimbang mereka akan memanipulasi keterlibatan Malaysia di dalam perbincangan berkaitan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA).

Kes ini harus dipandang serius kerana, baru-baru ini dunia dikejutkan berikutan pendedahan 'whistleblower' Edward Snowden melalui Der Spiegel dan Sydney Morning Herald yang mendakwa risikan Amerika Syarikat menggunakan kedutaan-kedutaannya serta suruhanjaya-suruhanjaya tinggi milik Australia, termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi kedua-dua negara di Kuala Lumpur.

Operasi risikan ini didakwa dijalankan di bawah operasi "STATEROOM" dan turut melibatkan Britain dan Kanada. STATEROOM didakwa memintas maklumat radio, telekomunikasi, dan Internet, dan rata-rata aktiviti pintasan dilakukan tanpa pengetahuan duta-duta di kedutaan dan suruhanjaya tinggi tersebut.

AMK turut menggesa rakyat Malaysia, supaya mencontohi rakyat Jerman, yang bangkit membuat bantahan kepada AS, berikutan pengakuan mereka membuat intipan dan merakam perbualan telefon Canselor Jerman, Angela Merkel.

Perkara ini tidak boleh kita diamkan sama sekali, sehubungan itu AMK akan berbincang dengan Dewan Pemuda PAS Malaysia dan DAPSY untuk tindakan selanjutnya.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Ahli Parlimen Bukit Katil

----------

Tiada ulasan: