Sabtu, 15 Mac 2014

GASAK SAMPAI TERBURAI




Jadikan PRK Kajang Sebagai Referendum Bantahan Kos Sara Hidup Naik Dan GST

Bagi pengundi-pengundi di Kajang, Pilihanraya Kecil (PRK) Kajang kali ini merupakan referendum untuk siri kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat di seluruh Malaysia. Semua pengundi di Kajang boleh mengambil peluang keemasan ini untuk mempertahankan hak mereka dengan membantah kerajaan UMNO/BN yang gagal dalam pengurusan ekonomi serta menyebabkan beban rakyat yang kian hari kian berat khasnya bagi golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Kawalan harga barangan merupakan sebahagian tanggungjawab kerajaan Persekutuan dalam aspek pengurusan ekonomi. Selepas Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu, UMNO/BN menjadi kerajaan pusat yang merupakan kerajaan minority kerana hanya memperolehi 47% jumlah undi. UMNO/BN bukan sahaja gagal menunaikan janji-janji yang ditaburi semasa PRU13, malahan melaksanakan kenaikan tarif elektrik sebanyak 15 peratus, membayar pampasan kepada syarikat konsesi lebuhraya agar tidak naik harga tol serta mengurangkan subsidi untuk barang-barang keperluan asas seperti gula, tepung, petrol dan lain-lain.

Perdana Menteri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan langsung tidak berupaya untuk mengawal harga barangan, malahan akan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada  1 April 2015 untuk membayar hutang negara yang melongjak tinggi sejak 1998 akibat daripada rasuah, ketirisan dan keborosan urustadbir kerajaan UMNO/BN.

Baru-baru ini, beliau menyeru agar orang ramai supaya jangan mengadu tentang harga barang naik kerana rakyat sepatutnya menjadi seorang pengguna yang bijak memilih. Dengan membeli seekor ayam dengan harga RM1, beliau begitu bangga sekali sehingga mengabaikan kepentingan kerajaan dalam menggubal dasar yang boleh mempengaruhi harga barangan.

Kenyataan beliau seolah-olah melepaskan tanggungjawab kenaikan harga barangan kepada pengguna yang tidak bijak. Beliau sekali lagi tidak prihatin terhadap keperitan rakyat dan langsung tidak faham kenapa pengguna tidak membuat pilihan yang bijak apabila mengalami tekanan hidup yang berat.

Sebenarnya kerajaan UMNO/BN harus mencari cara penyelesaian untuk menangani masalah kenaikan harga dengan membanteras rasuah, memperbaiki suasana perniagaan yang lebih mesra dan cekap. Pelbagai pendekatan perlu diambil untuk meningkatkan daya saing ekonomi serta kualiti hidup rakyat. Kerajaan pusat tidak boleh lari daripada tanggungjawabnya dengan hanya meminta agar rakyatnya bagaimana menjadi seorang pengguna yang bijak.

Kenaikan harga merupakan isu nasional, penduduk-penduduk Kajang tidak kira tinggal Bandar dan desa telah menjadi mangsa kenaikan harga barangan dan inflasi. 23 Mac ini merupakan satu peluang yang terbaik untuk pengundi-pengundi di Kajang bangkit dan membantah kenaikan harga dan perlaksanaan GST.


LEE KHAI LOON
ADUN Machang Bubuk
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK)
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Pinang



------

Tiada ulasan: