PERJUANGAN
DI TERUSKAN
SELASA 3 DISEMBER 1974
BAHAGIAN AKHIR
Abu Zer Ali – anggota Kelab Sosialis – telah berada dalam Padang Baling bersama ribuan Warga Miskin Desa. Mereka sedang berdemo menuntut harga getah dinaikkan. Menuntut kemiskinan dibentras dan kehidupan mereka dibaiki.
Abu Zer telah menceritakan bagaimana ribuan Warga Miskin Desa telah berhimpun dari awal pagi. Mereka telah dijanjikan 'ada orang besar' akan datang untuk memberi jawapan keatas malapetaka kemiskinan yang menimpa mereka. Kemarahan dan keberanian Warga Miskin Desa semakin jelas. Mereka secara terbuka telah bangun berdemo menentang United Malays National Organisation.
Ribuan penduduk dari kampong ke kampong telah 'digegar dan dikocak' untuk keluar berdemo. Aktivis kampong telah ke hulu ke hilir berbasikal dan bermotorsikal menggerakan orang-orang kampong. Siapa aktivis ini? Sejarah membuktikan bahawa mereka adalah jaringan dari PAPERI – Parti Pesaudaran Islam – yang bergerak aktif dibawah tanah di Kedah dan Kelantan. Dari memoir Abdullah CD sejarah telah merakamkan bahawa PAPERI telah ditubuhkan pada 20 April 1965. untuk penyambung perjuangan Hisbul Muslimin. PAPERI meneruskan garis politik angkat senjata bersama Parti Komunis Malaya.
Di Padang ribuan orang kampong menunggu ' orang besar'. Keadaan menjadi tegang. Hampir tengah hari tetiba sebuah helikopter datang mengarah ke Padang. Mengikut surah Abu Zer yang turun dari pintu helikopter ialah Musa Hitam. Ketika itu Musa ialah Orang Number dua dalam gerakan gerombolan Pemuda United Malays National Organisation. Musa berhelikopter ke Baling kerana Musa juga adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri.
Musa Hitam – sama saperti menteri kabinet yang lain menjadi takut apabila melihat ribuan rakyat berani bangun melawan. Musa Hitam dari pentas mula berauta dan berlebong untuk meredakan keadaan. Rakyat makin marah. Dalam masa yang sama Mukhabarat dan Spesial Branch, Polis Hutan telah mula siap sedia jika orang kampong datang menyerang.
Di Kuala Lumpur pada Ahad 1 Disember 1974 pelajar Universiti Malaya telah pulang dari bercuti. Senin 2 Disember kuliah akan bemula. Tanpa pengetahuan komuniti kampus satu demo besar telah dirancang pada Selasa 3 Disember. Melalui hubungan pribadi, melalui hubungan tidak resmi mahasiswa dari Institut Teknoloji Kebangsaan, Institut Teknoloji Mara, Universiti Kebangsaan dan Universiti Malaya telah merancang akan keluar ke Dataran Merdeka untuk bersetia kawan dengan penduduk miskin desa di Baling Kedah.
Pada hari Senin 2 Disember Heboh Baling makin merebak dari mulut ke mulut. Pada malamnya - kami dari Kelab Sosialis telah menconteng semua Papan Tanda di Dataran Sastera – DEMO 3 Disember Dataran Merdeka Jam 10:00 Pagi. Biasanya kami akan mengadakan Sudut Pidato untuk membakar dan menghasut pelajar agar keluar berdemo. Tetapi kali ini TIDAK perlu lagi. Api kemarahan anak-anak muda terhadap United Malays National Organisation telah memuncak. Berita adanya mati kebuluran di Baling telah tersebar luas dari kampong ke kampong – dari kampong ke pekan. Gunung berapi sedang membara hanya menunggu masa untuk meledak.
Malam Senin itu juga kami dari Kelab Sosialis telah mengadakan satu perjumpaan untuk membuat persediaan. Kain rentang telah dibuat. Megapone telah sedia. Dari pengalaman kami TIDAK akan mengeluarkan megapone atau kain rentang. Semua disimpan dalam beg selendang. Kami yakin kami akan diserang. Justeru kain rentang dan megapone ini hanya akan muncul dan digunakan untuk mengumpulkan kembali para pelajar yang bertempiran lari apabila diserang oleh FRU.
Pagi Selasa 3 Disember 1974 – saya memboceng motosikal untuk sampai ke Padang Selangor nama asal untuk Dataran Merdeka. Bersama saya ialah Halim Latif anggota Kelab Sosialis. Bila saya sampai di tepi Air Pancut depan Muzium Tektil saya melihat ada hampir 500-1000 pelajar telah sedia berhimpun.
Dizaman ini Padang Selangor ialah tempat main kriket. Justeru ada papan tanda dan tempat duduk permainan kriket ini terpasang digigi padang. Disinilah kain rentang yang paling bersejarah terpampang – MENTERI BUKA BANYAK GEDONG – RAKYAT MAKAN UBI GADONG. Secara bijak gambar ini telah muncul esoknya dalam Berita Harian yang dipimpin oleh Samad Ismail atau nama bawah tanahnya Zainal atau Lainaz.
Belum pun saya sempat sampai ke tengah padang tetiba FRU telah menyerang ganas dari arah jambatan Sungai Klang. Tembakan gas pemedih mata berdentam dentum meletup. Pelajar bertempiaran lari. Saya bersama Halim mengundur ke arah Masjid Negara.
Saya masih ingat lagi dipintu masuk ke Masjid Negara - dari arah terowong saya terserampak dengan Anwar Ibrahim. Anwar ketika itu dia adalah Presiden Majlis Belia Malaysia. Dia kelihatan muda kurus memakai baju batik lengan panjang berwarna coklat. Inilah kali akhir saya melihat Anwar Ibrahim. Ketika itu Anwar bersama puluhan pelajar sedang mengundur ke Masjid Negara. FRU terus menyerang dengan ganas - menembak dan memukul sesiapa sahaja di Padang Slangor.
Abu Zer, Kamarazaman Yacob dan Adi Satria terus memimpin pelajar. Sepanduk, kain rentang dan megapone muncul kembali. Demo diteruskan di dalam kawasan Masjid Negara. FRU terus menyerang dengan tembakan gas pemedih mata. Dalam masa yang sama Spesial Branch tanpa uniform mula menangkap pelajar. Beberapa buah Black Maria telah sedia datang untuk mengangkut pelajar yang ditahan.
Disinilah muculnya babak dimana Anwar Ibrahim telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam Black Maria. Apabila Black Maria ini bergerak dan melintasi bulatan di hadapan Masjid Negara – ratusan pelajar telah menahan Black Maria ini. Kamarazaman Yacob dan Abu Zer telah masuk ke dalam kereta polis ini. Polis telah lari. Kamarazamn Yacob mengambil kunci pintu dan mengeluarkan Anwar Ibrahim.
Pembaca hari ini juga jangan terperanjat. Ada berbelas-belas pelajar yang dibebaskan oleh Kamrazaman dan Abu Zer dari Black Maria pada 3 Disember 1974 itu – ini termasuk Presiden KSITM Saudara Ibrahim Ali. Ini sejarah. Ini fakta. Jangan buat-buat lupa.
Satu lagi babak sejarah yang wajib saya rakamkan disini ialah tentang Dolah Kok Lanas yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Abdullah Ahmad ini adalah 'blue eye boy' kepada PM Razak Hussein ketika itu. Dolah Kok Lanas dalam perjalanan ke pejabat telah terperangkap di hadapan Masjid Negara. Pelajar telah menahan kereta Dolah Kok Lanas. Anak-anak muda menjerit kegumbiraan kerana saekor 'orang jahat' telah ditawan.
Kamarazaman Yacob telah datang menghampiri kereta. Dolah keluar dan mengacu-acukan pitolnya kepada Kamarazaman dan para pelajar yang berdemo. Kamarazaman mengarahkan mahasiswa mengundur dan kereta Menteri ini berlalu. Kepada yang tidak yakin dengan fakta sejarah ini sila tanyakan babak ini dari Tan Seri Abdullah Ahmad.
Hampir satu jam Masjid Negara diserang dengan tembakan gas pemedih mata. Bila FRU mengundur pelajar maju ke hadapan. Bila pelajar diserang mereka mengundur. Akhirnya FRU masuk ke dalam kawasan Masjid. Para pelajar telah menyerang FRU dengan balingan pasu bunga dan apa sahaja yang ada dimata. Tembakan dan tangkapan diteruskan. Akhirnya FRU telah masuk ke dalam Masjid untuk menangkap pelajar.
Saya mengundurkan diri naik ketas bukit di belakang Masjid Negara. Tok Siak yang rumahnya di belakang Masjid Negara menjemput saya masuk dan ' duduk diam-diam' ketika FRU sedang menangkap pelajar. Hampir satu jam saya dalam rumah Tok Siak. Apabila anak Tok Siak memberitahu bahawa semuanya telah reda barulah saya keluar dan menapak pulang ke kampus.
Pada malam 3 Disember Kelab Sosialis telah berkumpul. Kali ini ramai muka-muka yang bukan ahli Kelab tetapi bersimpati atau rapat dengan Kelab telah dibawa sama berbincang. Adi Satria Penolong Setiausaha Agung PMUM, Lim Hwee Seng ahli Majlis ke 16 adalah diantara yang turut bersama. Kami mengambil keputusan untuk meneruskan tunjuk perasaan.
EPILOK
Tunjuk perasaan diiteruskan hingga ke 7 Disember 1974. Pada Subuh 8 Disember 1974 Polis Hutan dan Soldadu masuk ke dalam Universioti Malayya menangkap pemimpin pelajar.
PASCA EPILOK
Kamarazaman Yacob ahli Kelab ditangkap ISA
Teo Siow Choo ahli Kelab ditangkap ISA
Yong Ah Chit ahli Kelab ditangkap ISA
Adi Satria kawan rapat Kelab ditangkap ISA
Hasan Karim ahli Kelab berhijrah ke Serdang Kolej
Arwah Halim Latif meninggal dunia ketika saya di Kamunting
Arwah Abu Zer berjuang angkat senjata gugur di sempadan
Arwah Yunus Ali ahli Kelab mengundur diri
Hishamuddin Rais ahli Kelab mengundur diri
Sejarah Baling adalah sejarah gilang germilang perjuangan mahasiswa dan pelajar. Sejarah Baling adalah juga sejarah perjuangan kaum kiri yang terbuka dan yang bekerja dibawah tanah. Tunggu dan nanti Memoir Hishamuddin Rais yang sedang diusahakan. ( TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
siapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
-----------------
15 ulasan:
Sauda TT, saya tertarik dengan sosok Abu Zer... Mungkin boleh di paparkan kpdkhalayak generasi muda. tak ada dlm buku sejarah ni
Pada bahagian Polis FRU telah masuk ke rumah Allah, Masjid Negara ala tentera bukan untuk beribadah, itu menunjukkan bahawa rejim UMNO memang tiada hormat kepada institusi agama seperti Masjid Negara malahan adalah jelas sekali yang konsep rumah Allah itu hanya untuk menunaikan ritual agama saja jika disangka ada orang yang nak guna tempat itu sebagai perlindungan seperti mahasiswa yang menentang kezaliman rejim UMNO terhadap warga Baling maka UMNO akan arahkan polis untuk serang dan jangan fikir lagi masjid itu sebagai rumah Allah.Rumah Allah dikira belakang kira dan polis atau FRU walaupun yang beragama akan tunduk mengikut arahan UMNO. Kini raumah Allah di banyak negara ISlam pun dah tak dihormati, banyak kena bom dan pemilik rumah Allah atau Allah pun tidak datang membantu.
MEMOIR HISHAMUDDIN RAIS ku tunggu tunggu tak datang datang KAH! KAH! KAH!
Tuan TT,
Aduh indahnya pengalaman Baling yg tuan alami.
Kongsikan bersama kami melalui buku tuan.
Saya dgn rendah diri, meminta senaskah free. Kahkahkah!
Fuhhhhhhhhhhhhhhhh...,.
celaka....aku menangis baca episod akhir ni. sejarah yang tiada dalam buku teks sekolah...
salute komrad!!
United Malay National Organisation dulu kini dan selamanya puk*#%k!!!
Dengan generasi baru yang tak tahu apa-apa kau boleh le ngelebong...Kami generasi dulu yang sama-sama turun demonstrasi kenal siapa Hishamuddin Rais sebenarnya pengecut dan kaki kelentong..
Anak Tok Siak belakang Masjid Negara tu laki ko anak daro..??
Tanpa Nama 7 Mei 2014 11:34 PTG,
Boleh Tuan ceritakan serba sikit pasal Hishamuddin Rais yang Pengecut dan Kaki Kelentong, seperti yang Tuan nyatakan. Tolong ceritakan..Tahap Pengecutnya Hishamuddin Rais dan Tahap Kelentongnya Hisamuddin Rais ini...Tolong berikan Pencerahan...
"FRU terus menyerang dengan ganas - menembak dan memukul sesiapa sahaja di Padang Selangor."
FRU yang menyerang ini harus dikurung dalam rumah pasung dan diberi makan ubi gadong !!!
apakah FRU ini manusia atau syaitan ???
sham..memua tu cepat sikik yer.. gua tak saba nak baca.. atau gua buat memua, lu baca memua gue..
Tukartiup mcm takde fungsi jer dalam memoir ni, kamon. kasi gilang gemilang sikit!
Best, wat Layan stim
abu zer ali ni perlu diceritakan lagi pasal arwah. sedih bila tau arwah meninggal dalam medan perang
Catat Ulasan