Ahad, 14 September 2014

WAJIB DIKETAHUI






10 perkara yang anda perlu tahu tentang 
Akta Hasutan 1948

1. Akta Hasutan 1948 diperkenalkan oleh ke Malaya oleh British sewaktu mereka menjajah Tanah Melayu. Maknanya, ia tidak digubal oleh Parlimen kita, tetapi oleh British. Selepas kemerdekaan Tanah Melayu, ia menjadi sebahagian daripada undang-undang kita sehinggalah hari ini. 

2. Walaupun Akta itu diperkenalkan oleh British, kesalahan mengasut telahpun dimansuhkan di United Kingdom. Pendakwaan terakhir untuk kesalahan menghasut di UK adalah pada tahun 1972. 

3. Mengikut Akta ini, adalah menjadi satu kesalahan untuk melakukan apa-apa yang menghasut ataupun menyebut kata-kata menghasut. Menghasut adalah perbuatan atau kata-kata yang mempunyai ‘kecenderungan menghasut’.

4. Apa itu ‘kecenderungan menghasut’? Ia adalah, antara lain, kecenderungan membangkitkan perasaan benci atau tidak suka terhadap mana-mana Raja atau kerajaan, mengembangkan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak suka di kalangan rakyat dan juga menyoal peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.

5. Takrifan ‘kecenderungan menghasut’ adalah terlalu luas. Contohnya, apa-apa jenis kritikan terhadap kerajaan boleh didakwa sebagai menghasut. Begitu juga dengan mengatakan apa-apa yang orang lain tidak suka. Luasnya kecenderungan menghasut ini telah membolehkan ia disalahguna oleh pihak berkuasa:

i. Lim Guan Eng telah disabitkan kesalahan menghasut kerana mengkritik Peguam Negara di suatu kes rogol gadis bawah umur.

ii. Melan Abdullah, seorang wartawan, disabitkan kesalahan menghasut kerana menulis laporan tentang ucapan yang diberikan oleh seorang ahli Parlimen Barisan Nasional. Ahli Parlimen tersebut tidak didakawa. 

iii. Karpal Singh telah disabitkan kesalahan menghasut kerana pendapatnya bahawa Sultan Perak pada ketika itu telah terkhilaf semasa krisis politik Perak pada tahun 2009. 

iv. RSN Rayer telah didakwa kerana mengeluarkan kata-kata ‘UMNO celaka’. 

v. Prof Azmi Sharom telah didakwa kerana mengkritik keputusan Mahkamah di dalam krisis politik di Perak. 

6. Akta Hasutan bukan hanya digunakan ke atas ahli politik pembangkang dan aktivis. Ia juga digunakan ke atas peguam, pensyarah, wartawan, ustaz dan orang biasa yang lain. Contohnya seorang pelatih anjing telah ditahan di bawah Akta Hasutan dan beberapa orang biasa turut disiasat di bawah Akta Hasutan kerana status mereka di Facebook, termasuklah seorang budak sekolah. 

7. Di dalam kes hasutan, pendakwaan tidak perlu membuktikan bahawa tertuduh mempunyai niat menghasut. Pendakwaan juga tidak perlu membuktikan bahawa orang lain telah terhasut/terpengaruh dengan apa yang dikatakan. 

8. Sama ada apa yang dikatakan itu benar atau tidak juga tidak penting, bandingkan dengan kes fitnah di mana kebenaran apa yang dikatakan itu boleh dijadikan sebagai pembelaan.

9. Apa yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan hanyalah bahawa kata-kata yang dikatakan mempunyai kecenderungan menghasut itu telah dibuat atau dikatakan oleh tertuduh. Oleh sebab ini, pendakwaan di bawah Akta Hasutan selalunya akan berjaya dan tertuduh akan disabitkan dengan kesalahan tersebut.

10. Jika seseorang itu didapati bersalah atas kesalahan menghasut, orang itu boleh dikenakan hukuman maksima denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan, bagi kesalahan yang kemudian, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun. 

Apa itu Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)?

Gerakan HAH adalah pergerakan yang disokong oleh 128 diterajui oleh SUARAM, Lawyers for Liberty, Amnesty International Malaysia dan IKRAM, antara lain. Matlamat GHAH adalah untuk menganjurkan kempen kebangsaan untuk menamatkan ancaman ke atas kebebasan bersuara, kebebasan akademik dan kebebasan akhbar melalui Akta Hasutan. 

Tuntutan GHAH adalah:

1. Mansuhkan Akta Hasutan 1948.

2. Gugurkan semua pendakwaan yang sedia ada dan bebaskan semua yang dihukum di bawah Akta tersebut.

3. Tidak ada Akta gantian dengan peruntukan yang sama zalim. 

4. Bebaskan semua tahanan.

GHAH juga akan disokong oleh Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan Majlis Peguam melalui kempen mereka, #MansuhkanAktaHasutan yang mempunyai matlamat yang sama.

Hubungi kami
Untuk matlumat lanjut tentang GHAH anda boleh hubungi kami dengan:
Facebook : https://www.facebook.com/HapusHasutan
Twitter : @HapusHasutan
E-mail : GHAH@gmail.com
Alamat : 433A, Jalan 5/46, Gasing Indah, Petaling Jaya, 46000 Selangor

Telefon : +03 -77-84-35-25



--------

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tuan tt
sekadar bertanya, ketika malaya diistihar merdeka 31 ogos berapa ramai pejuang kemerdekaan yang masih dipenjara,jarang pencerahan dibuat dlm perkara ini sedang ia perkara pokok gerakan merdeka 1948-1960-zaman darurat,malaya merdeka dlm darurat,apa makna merdeka kalu darurat tengah berjalan,kenapa british tiba2 merdekaka malaya dan darurat berkuatkuasa,!!

sekian
zmm

Tanpa Nama berkata...

Gerakan Hapuskan Bangsawan UMNO. Yg ni gw setuju. Bangsawan Brahmin Bumiputera dan cukong jumlahnya x sampai pun 1%, yg lain2 adalah masyarakat malaysia level Paria.

Rakyat tak sedar2 yg mereka adalah dianggap Paria oleh sng penguasa brahmin UMNO. Segala pendapatan cukai adalah untuk kelangsungan hidup Brahmin2 Bumiputera ni la.

Cukup hairan. 99% rakyat paria ni tak berani berbuat apa2 untuk hapuskan 1% golongan brahmin ni.