Isnin, 3 November 2014

HARGA MINYAK JATUH









TURUNKAN HARGA MINYAK SEJAJAR DENGAN KEJATUHAN HARGA MINYAK MENTAH

Harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus jatuh mewajarkan semakan semula harga petrol dan diesel yang ditetapkan kerajaan. Di samping itu, fenomena harga minyak mentah dunia yang dijangka kekal pada paras yang lebih rendah memerlukan penilaian semula kepada beberapa dasar menaikkan harga petrol dan diesel yang selama ini dijalankan secara agresif oleh pentadbiran  Najib Razak.

Harga minyak mentah dunia yang berlegar sekitar USD$105 ke USD$108 setong di antara Mei hingga Ogos tahun ini (rujukan harga piawai Brent) tiba-tiba mula jatuh bermula Ogos. Ia jatuh dari paras USD$105 setong ke USD$85 setong pada awal Oktober dan kekal pada paras itu sehingga kini.

Penganalisa pasaran minyak mentah dunia turut meramalkan bahawa harga minyak mentah akan kekal sekitar paras itu bagi tempoh yang lebih lama sehingga ke tahun 2015.

Dalam sidang Parlimen minggu lepas, saya telah menanyakan Timbalan Menteri Kewangan,  Chua Tee Yong apakah kerajaan bersedia untuk menurunkan harga petrol dan diesel mengambil kira tekanan inflasi yang membebankan rakyat serta harga minyak mentah yang semakin susut di pasaran antarabangsa. Beliau tidak memberi komitmen sekadar menyebut kerajaan sedang memantau keadaan.

Saya telah membuat analisa jumlah subsidi petrol dan diesel yang akan ditanggung kerajaan sekiranya harga minyak mentah kekal pada harga sekitar USD$85 setong sehingga ke tahun 2015.

Bagi suku terakhir tahun ini, kerajaan akan menjimatkan RM1.45 bilion dalam bentuk subsidi yang tidak perlu dibayar kerana harga minyak mentah yang lebih rendah menyebabkan kos pengeluaran petrol dan diesel juga lebih rendah.

Jumlah subsidi petrol dan diesel bagi tahun 2015 pula dijangka berjumlah hanya RM9.5 bilion (jika harga minyak mentah kekal pada paras USD$85 setong) iaitu penjimatan sebanyak RM4.2 bilion dari jumlah subsidi bagi tahun 2014 yang dijangkakan berjumlah RM13.7 bilion.

Ini bermakna, alasan bahawa harga minyak perlu dinaikkan kerana bebanan subsidi yang tinggi tidak lagi benar akibat kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia. Jika kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel apabila jumlah subsidi meningkat, bukankan apabila jumlah subsidi turun dengan mendadak maka beban rakyat yang disebabkan oleh kenaikan harga petrol dan diesel itu boleh dikurangkan dengan menurunkan pula harga petrol dan diesel?
 
Penjimatan sebanyak RM1.45 bilion bagi suku terakhir tahun ini dan RM4.2 bilion yang dijangka bagi tahun 2015 itu perlulah dipulangkan kepada rakyat dan bukannya disimpan sebagai peruntukan untuk dibelanjakan oleh Perdana Menteri dan menteri-menterinya.

Keengganan Najib untuk memulangkan penjimatan ini kepada rakyat akan terus menjejaskan popularity beliau yang sudah pun merudum kerana keputusan-keputusan yang menaikkan harga barang dan membebankan rakyat.
  
RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan 

3 November 2014









----------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau mat mongol bahalol tu turun kan harga minyak , habis bankrap cepat lah malaysia

dah bahalol , tak guna jadi orang

petronas pun rugi besar bila harga minyak jatuh.

orang orang melayu jugak rugi sebab tak de duit suapan brim...

ha ha ha ha