Rabu, 4 Februari 2015

PENIPUAN PERSEMPADANAN







 


 MAKNA PERSEMPADANAN SEMULA

Saya tidak pernah percaya kepada kepada lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya tidak akan percaya kepada lembaga ini. Tariklah kuku jari saya. Paksa saya minum air sabun. Kemudian himpit perut saya saperti yang pernah dilakukan oleh Fasis Jepun ketika menjajah Tanah Melayu – saya TIDAK akan berganjak dari menyatakan bahawa SPR ini ialah lembaga penipuan. Tangkap dan penjarakan saya. Buangkan kunci penjara ke laut. Saya tidak akan berubah pandangan.

Lembaga yang bernama SPR ini adalah satu lembaga yang ditubuhkan khusus untuk menipu rakyat Malaysia. Lembaga ini ditubuhkan khusus untuk memapastikan United Malays National Organisation akan menang pilihan raya. Khalas. Period.

Saya telah menulis berkali-kali untuk menerangkan kepada orang ramai tentang peranan SPR ini. Tulisan ini telah saya lakukan berbulan-bulan sebelum PRU13. Saya paparkan tentang nama pengundi yang tidak wujud. Alamat rumah yang tidak wujud. Kad pengenalan tipu. Pendatang haram yang menjadi pengundi. Nama pengundi yang tidak diketahui jantan betina. Nama pengundi muncul berkali-kali. Nama pengundi dialih-alih. Malah ada nama yang tak masuk akal saperti Abdul Proton Saga bin Superman.

Penipuan SPR ini telah dibuktikan secara ilmiah melalui Tribunal Rakyat. Tribunal anjuran Bersih ini telah dijalan pada 18-21 September 2013 di Kuala Lumpur. Tribunal Rakyat ini – saperti mahkamah – telah memanggil pelbagai saksi untuk memberi keterangan tentang apa yang telah berlaku dalam PRU13.

Yang menjadi hakim mendengar dan menyoal saksi adalah sosok-sosok wakil dunia. Mereka wakil dari Bangsa Bangsa Bersatu, Peguam Kanan Commonwealth dan Asean. Termasuk juga Profesor dan ilmuan dari universiti tempatan. Satelah mendengar keterangan saksi - Tribunal Rakyat ini membuat keputusan. Rumusan dan penemuan Tribunal ini telah diterbitkan pada 20 Mac 2014.

Laporan Tribunal Rakyat ini telah membuktikan bahawa pandangan saya terhadap SPR amat tepat. Laporan ini juga telah membuktikan bahawa penipuan telah berlaku dalam dalam PRU13. Peranan penipuan ini telah dirancang dan dijalankan oleh SPR. Ada penipuan yang dijalan secara sulit dan ada yang dijalan secara ganas dan terbuka.

Hakikatnya , dalam PRU13 Pakatan Rakyat telah mendapat 52% undi popular seluruh rakyat Malaysia. Manakala gerombolan Ketuanan Melayu hanya mendapat 47%. Ini bermakna Pakatan Rakyat adalah pilihan pengundi. Ini bermakna rakyat telah menolak United Malaya National Organisation dan kuncu-kuncunya. Ini fakta soheh bukan propaganda.

Tanpa penipuan, tanpa pengundi hantu, tanpa undi gelap pendatang haram – parti Ketuanan Melayu ini telah lungkup. Malah sebelum PRU13 lagi saya telah menerangkan bahawa DAP , PAS dan PKR bukan berhadapan dengan United Malays National Organisation. Parti Ketuanan Melayu ini telah lama lungkup.

Jadi siapa yang dilawan oleh Pakatan Rakyat? Siapa yang menentang Pakatan Rakyat?

Yang menentang Pakatan ialah lembaga SPR. Pakatan Raktyat berhadapan dengan jentera kerajaan. Yang mempertahan Parti Ketuanan Melayu ialah jentera daulah – polis, mahkamah, pegawai kerajaan termasuk sistem kehakiman. Yang menentang Pakatan Rakyat ialah sistem pilihan raya yang telah diwujudkan untuk memastikan United Malaya National Organisation akan terus menang.

Selagi sistem pilihan raya yang wujud sekarang digunakan maka mustahil akan berjalan satu pilihan raya yang bersih dan adil. Selagi pilihan raya dikendalikan oleh SPR yang wujud hari ini maka mustahil United Malays National Organisation dapat dikalahkan. Dalam PRU14, PRU15, PRU16, PRU17.... hingga ke PRU75 – parti United Malaya National Organisation akan terus menang dan berkuasa.

Kalau lembaga SPR tidak diubah, dirombak atau dibakul sampahkan – sampai dunia ini kiamat – Parti Ketuanan Melayu akan terus berkuasa. Ini fakta.

Ketika saya menulis ini SPR telah dan sedang merancang projek apa yang mereka panggil PERSEMPADANAN SEMULA. Apa dia persempadanan semula ini? Apa maknanya? Apa tujuannya?

Para pembaca wajib sedar apa saja yang dilakukan oleh SPR adalah penipuan. Malah terbuka sahaja mulut Pengerusi atau ahli lembaga SPR bermakna satu rancangan jahat telah dipasang. Kenyatan yang diumumkan kepada media hanya untuk mengkaburi penipuan yang telah dirancang.

Para pembaca jangan sesekali lupa tentang tugas utama SPR. Lembaga ini ditubuhkan untuk memastikan United Malays National Organisation menang dalam PRU. Inilah akidah SPR. Ini rukun iman SPR. Inilah tuhan yang disembah SPR.

Para pembaca jangan ada ilusi, jangan ada angan-angan, jangan ada mimipi atau mengharapkan SPR ini akan berlaku adil. Menjalankan pilihan raya bersih, telus dan adil bukan tugas SPR. Ini bukan rumusan saya. Ini rumusan dari Tribunal Rakyat.

Rakyat Malaysia TIDAK akan melupakan bagaimana dalam PRU13 – para pengundi telah ditipu dengan pengunaan dakwat kekal yang TIDAK kekal. Ini bukan satu kesilapan teknikal. Ini bukan kesilapan bahan kimia. Ini adalah satu rancangan jahat untuk memastikan pengundi hantu yang telah dipasang boleh mengundi berkali-kali.

Bagaimaana dengan persempadanan semula? Persempadanan telah dibuat pada tahun 1974, 1984, 1994 dan 2003. Semua projek persempadanan ini dilakukan untuk memastikan gerombolan Ketuanan Melayu menang. 

Persempadanan tahun 1974 bertujuan untuk mengumpulkan dan membesar pengundi Melayu dan mengecilkan pengundi bukan Melayu. Latar belakangnya ialah kemenangan besar parti pembangkang pada tahun 1969. Dari 144 kerusi Parlimen dijadikan 154. Kerusi selamat: maknanya kawasan majoriti Melayu boleh menang dibanyakkan. Pengundi Melayu dihimpunkan manakala pengundi bukan Melayu dipencar-pencarkan.

Hasil persempadan semula ini ialah Perikatan menang besar dalam tahun 1974. Kemudian projek jahat persempadanan ini telah dijalankan pada tahun 1983 , 1992 dan 2003.

Pada PRU11 tahun 1999 – pengundi Melayu yang telah terkumpul dalam persempadan tahun 1974 telah lari berbondong-bondong mengundi Pembangkang. Pengundi Melayu lari kerana bersimpati kepada Anwar Ibrahim. Orang Melayu telah meninggalkan United Malays National Organisation. Parti Ketuanan Melayu ini hanya diselamatkan oleh pengundi Cina dalam PRU11. Tanpa undi Cina parti ini lungkup.

SPR sedar akan fakta ini. Maka pada tahun 2003 satu lagi persempadan semula telah dilakukan. Kali ini penambahan 24 kerusi. Pengundi Melayu kini dipecahkan kembali. Kawasan majoriti Melayu ditambah dengan pengundi Cina. Banyak kawasan menjadi 60% Melayu 40% bukan Melayu. Hasilnya kemenangan besar United Malays National Organisation dalam tahun 2004.

Politik berubah. Tidak semuanya kekal. Perubahan besar sampai apabila BERSIH - badan gabungan pilihan raya bersih dan adil ditubuhkan pada 23 November 2006. Bersih mengadakan demo anti penipuan pilihan raya pertama pada 10 NOvember tahun 2007.

Kemarahan rakyat memuncak. Orang ramai semakin sedar tentang peranan penipuan yang dijalan oleh SPR. Anak-anak muda mula bangun menyusun kumpulan anti-kerajaan. Suasana panas ini bertambah panas apabila Anwar Ibrahim yang telah bebas dari penjara mula mengambil peranan aktif dalam Parti Keadilan Rakyat. Hasilnya kemenangan besar untuk parti DAP, PAS dan PAR dalam PRU12.

Sesudah PRU12 iklim dan suasana politik Malaysia berubah. Untuk pertama kalinya 5 Negeri hilang dari cengkaman kuasa kuku besi United Malays National Organisation. Manakala monopoli kuasa di Parlimen retak terbarai. Untuk pertama kalinya dalam sejarah - gerombolan Ketuanan Melayu TIDAK lagi memiliki kuasa undi dua par tiga dalam Parlimen.

Hilangnya kuasa undi dua par tiga ini bermakna gerombolan Ketuanan Melayu tidak boleh sawenang-wenang mengubah, meminda, menambah atau menginjak-injak Perlembagaan Persekutuan.

Persempadana semula kawasan undi boleh dilakukan kerana ianya hanya memerlukan kelebihan undi – majoriti biasa. Tetapi untuk menambah kerusi DUN atau Parlimen memerlukan majoriti dua par tiga. Ini kerana penambahan kerusi DUN atau Parlimen memerlukan pindaan Perlembagaan Negeri atau Perlembagaan Kerajaan Persekutujan.

Sebelum 2008 – telah beratus-ratus kali gerombolan Ketuanan Meayu mengubah dan meminda Perlembagaan. Ini kerana memiliki majoriti ampoh. Sesudah 2008 – kekuasan ini telah lupus. Hari ini United Malays National Organisation TIDAK lagi memiliki kuasa untuk menambah kerusi Parlimen sawenang-wenang.

Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan dibawah kerajaan Pakatan Rakyat. Mustahil SPR boleh menipu kerusi DUN dari kerajaan ini. Manakala Negeri Sembilan, Perak dan Melaka – gerombolan Ketuanan Melayu TIDAK memiliki undi dua par tiga untuk menambah kerusi DUN. Penambahan kerusi Parlimen jauh sekali.

Tapi awas dan waspada. Jangan lupa tugas dan akidah SPR. Ketika tulisan ini digarap SPR sedang membuat satu perancangan besar untuk menambah kerusi Parlimen. Ini persedian untuk PRU14.

Langkah pertama telah dilakukan di Sarawak. SPR telah menambah 11 kerusi DUN di Sarawak - dari 71 menjadi 82. Jawabnya sampai hari kiamat Pakatan Rakyat tidak akan berjaya menawan Sarawak. Penambahan di Sarawak ini amat senang dilakukan kerana disini parti kuncu-kuncu United Malaya National Organisation memiliki majoriti yang besar.

Sarawak ini adalah percubaan awal. Jangan silap baca. Jangan silap tafsir. Ada ahli politik berpendapat di Sarawak hanya ada penambahan kerusi DUN maka ini bermakna tidak akan ada penambahan kerusi Parlimen untuk PRU14.

Untuk sesiapa yang memiliki pandangan korok ini maka saya cadangan mereka kembali membaca ABC politik. Kembali memahami apakah peranan SPR. Minggu hadapan saya akan bongkar rundingan-rundingan sulit persempadan semula yang telah dijalankan untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus berkuasa. SPR sebagai alat dan barua gerombolan Ketunanan Melayu tidak berhenti dari menipu. (TT)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan dalam
SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin merlanggan 
akhbar minggun ini
sila pukul talipon:
03-92-21-3045


----------------------

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sbnrnya mrk adalah org2 yg bodoh sbb suka menanggung dosa2 org lain. dah tua mcm tu pun masih lg tak tau tentang hukum. basically dosa akan ditanggung oleh mrk yg buat maksiat tsb, yg berkuasa mencegahnya dan yg mendokongnya.

bila mrk2 ini menipu utk memenangkan pelaku2 maksiat, mrk secara rela menanggung dosa2 tsb.

thp bangang mrk ialah pelaku maksiat dpt sedap, enjoi menjoi, dia dpt apa?

Amuraria berkata...

demi kuasa dari terlepas ! ABU !

Tanpa Nama berkata...

Pak TT...

barua tu gantinama bagi agen ka?

Tanpa Nama berkata...

Bebudak Bahalol apa ada kesah dengan mati neraka sebab sudah lahanat kawanan setan pun.

Orang orang Melayu saja pun.