Selasa, 7 April 2015

DARI YB ADUN SEMAMBU







Laporan Ketua Audit Negara 2014: Elaun Lembaga Pengarah Pahang Technology Resources Sdn Bhd Penyumbang Utama Kerugian Syarikat

Saya merasa kecewa dengan hasil pengauditan Laporan Ketua Audit Negara 2014 siri 1 yang dijalankan terhadap Pahang Technology Resources Sdn Bhd (PTR) yang merupakan syarikat milikan penuh Kerajaan Negeri Pahang dengan modal berbayar berjumlah RM5 juta. PTR diterajui oleh 5 orang Ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang Dato Seri diRaja Adnan Yaakob dan Exco Pahang Dato Mohd Sharkar sebagai timbalan pengerusi.

Hasil pengauditan yang dijalankan oleh Ketua Audit Negara terhadap Pahang Technology Resources Sdn Bhd pada bulan September – November 2014 mendapati bahawa prestasi kewangan PTR adalah kurang memuaskan. Selain mencatat kerugian setiap tahun bagi 5 tahun berturut-turut, jumlah kerugian terkumpul telah meningkat kepada RM2.12 juta (42.2% daripada modal berbayar).

Dalam keadaan syarikat milik kerajaan negeri Pahang ini tidak membawa sebarang keuntungan, Laporan Ketua Audit Negara telah mendedahkan bahawa lembaga pengarah syarikat PTR hanya mengadakan mesyuarat untuk dua kali setahun sahaja. Padahal, mesyuarat Lembaga Pengarah pertama pada 5 Julai 2007 telah menetapkan bahawa mesyuarat Lembaga Pengarah hendaklah diadakan untuk 2 bulan sekali.

Lembaga Pengarah syarikat seharusnya bertanggungjawab dan berkuasa penuh dalam membuat dan melaksanakan dasar, perancangan korporat dan pengurusan kewangan yang diluluskan selaras dengan objektif penubuhannya. Mengapakah Lembaga Pengarah PTR mengamalkan sikap yang tidak bertanggungjawab sehingga tidak mengadakan mesyuarat secara berkala sedangkan syarikat tersebut mengalami kerugian dan membazir duit rakyat?

Apa yang lebih mengecewakan adalah pendedahan laporan audit di mana setiap Lembaga Pengarah PTR akan dibayar Elaun Pengarah Eksekutif sejumlah RM36,000 setahun mulai tahun 2009 dan Elaun Mesyuarat sejumlah RM14,000 setahun mulai tahun 2008 walaupun tidak memenuhi penetapan untuk mengadakan mesyuarat dua bulan sekali. Pengiraan saya menganggarkan jumlah elaun yang dibayar sepanjang tahun 2009-2014 berjumlah RM1.49 juta (RM1.08juta bagi Elaun Pengarah Eksekutif dan RM414,000 bagi Elaun Mesyuarat).

Adakah ini bermaksud bahawa daripada jumlah kerugian sejumlah RM2.12 juta, sebanyak 70% (RM1.49 juta) daripada kerugian merupakan kos pembayaran Elaun Lembaga Pengarah?

Memandangkan PTR tidak menubuhkan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan serta Unit Audit Dalam seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, saya mendesak Kerajaan Pahang memberi penjelasan mengapakah keadaan ini dibiarkan berlaku.

Lee Chean Chung
ADUN Kawasan Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN


----------------

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan TT. Tolong rokmen aku jadi lembaga pengarah Punggah duiT Rakyat. Modal 5juta cukup bayar elaun aku 5 tahun. Lepas tu nak benkgrap lantak pi...Kita buat kompeny baru.

Tanpa Nama berkata...

Lembaga Pengarah mesti kaya ber gaya jugak macam kawanan 1 Mat Dah Bahalol

Rakyat rugi tak apa

Tanpa Nama berkata...

kah..kah..kah..
Bila lagi nak tipu melayu, pakcik dan makcik felda?Inilah masanya buat syarikat banyak-banyak bukan nak niaga,hanya untuk pau duit elaun.Hebat-hebat,ketuanan melayu.Hidup untuk tipu melayu.kah..kah...kah...