Ahad, 5 April 2015

#KITALAWAN KITA LAWAN KITA LAWAN





HIMPUNAN 1 MEI 1 JUTA RAKYAT - ANAK MUDA TERUSKAN AKSI #KITALAWAN
Kekuatan gabungan #KitaLawan terletak pada sokongan kumpulan-kumpulan anak muda yang terdiri daripada masyarakat sivil, parti politik, NGO, profesional dan mahasiswa serta kebolehan dan keberanian anak muda ini merencanakan isu-isu rakyat dengan mengangkat permasalahan tersebut untuk dibincangkan secara terbuka.    
Kami faham hak berhimpun secara aman adalah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Walaupun anak muda berdepan dengan pelbagai tekanan dan tangkapan, anak muda telah buktikan kekuatan melawan kezaliman ini dengan berhimpun secara konsisten selama 7 minggu berturut-turut (sejak 14 Febuari 2015 sehingga 28 Mac 2015) dengan tumpuan khusus kepada #BebasAnwar serta #UndurNajib dan juga 7 hari 7 malam duduk bantah #PecatIGP di Dataran Merdeka.  

Kini, sekretariat #KitaLawan akan menumpukan segala kekuatan dan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan seramai 1 juta orang rakyat Malaysia akan turun ke Kuala Lumpur pada Himpunan 1 Mei 2015.

TUNTUTAN #KITALAWAN UNTUK HIMPUNAN 1 MEI 2015

Pandangan anak muda terhadap cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah cukai tersebut zalim. Bagi yang kaya, cukai ini hanya cukai ganti kepada cukai perkhidmatan yang kini kadarnya telah dikurangkan bagi mereka yang berpendapatan tinggi. Manakala bagi rakyat biasa, cukai ini membebankan mereka yang sebelum ini langsung tidak mampu membayar cukai pendapatan.
  
Kedua, Najib Razak telah menipu rakyat kononnya GST akan menurunkan harga barang. Tetapi, sejak pelaksanaan GST, setiap ketika rakyat berdepan dengan kenaikan harga barang. Ternyata Najib Razak tidak lagi relevan dan sekiranya beliau mempunyai maruah, beliau seharusnya meletakkan jawatan Perdana Menteri dengan segera.

Ketiga, terdapat banyak kekeliruan dan ketidak sediaan peniaga mahupun pengguna terhadap pelaksanaan GST ini. Lebih malang lagi, rakyat kebanyakan dijadikan mangsa dengan kenaikan harga barang yang melampau sedangkan Menteri nampak tercungap-cungap untuk memperbetulkan keadaan.

Maka, anak muda #KitaLawan akan turun ke Kuala Lumpur pada Himpunan 1 Mei 2015 dengan satu tuntutan yang mudah dan jelas – Batalkan pelaksanaan GST dengan serta-merta.

DEKLARASI TAPAK – DATARAN KITA LAWAN
Aksi duduk bantah #PecatIGP telah melenyapkan mitos bahawa Ketua Polis Negara tidak boleh dikritik dan dipersoalkan secara terbuka. Ini seharusnya mengingatkan peranan polis melindungi keselamatan rakyat dan rakyat bebas untuk berhimpun secara aman.

Maka, anak muda akan menggazetkan/mengumumkan tapak duduk bantah tersebut sebagai Dataran #KitaLawan. Malam deklarasi akan diadakan pada hari Rabu 8 April 2015 jam 9.00 malam. Malam tersebut juga akan dikenali sebagai malam Setia Kawan bagi memperingati OKZ13 dan tahanan politik yang lain-lain.  

HIMPUNAN KITA LAWAN #BATALGST DI SELURUH NEGARA

Anak muda menyeru kepada semua untuk mengambil inisiatif untuk mewarwarkan dan mengajak semua untuk turun ke Kuala Lumpur pada 1 Mei 2015. Bagi pihak sekretariat, kami mahu memupuk semangat melawan GST ke seluruh negara dan kami akan adakan Himpunan #KitaLawan #BatalGST pada setiap Sabtu di bandar-bandar seluruh negara menjelang 1 Mei 2015.

Maka, pada Sabtu hadapan, bandar Johor Bahru telah dipilih sebagai tuan rumah untuk anak muda dan rakyat di Selatan tanahair untuk berhimpun seperti berikut:

HIMPUNAN #KITALAWAN 
#BATALGST DI JOHOR
Tarikh: 11 April 2015
Masa: 4.00 petang
Lokasi : City Square, Johor Bahru

Lagi ditekan, lagi #KitaLawan !
4 APRIL 2015
SEKRETARIAT KITA LAWAN





----------------