.

Isnin, 28 Mac 2016

ADA LEMBAGA DALAM TABUNG HAJI



LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA KE ATAS 1MDB MENGESAHKAN KESAN MASALAH KEWANGAN 1MDB KE ATAS LTAT

Saya telah menimbulkan isu kelewatan pembayaran caruman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada pesara-pesara tentera yang baru tamat tempoh perkhidmatan sejak seminggu lalu. Ada pesara yang terpaksa menunggu sehingga berbulan-bulan lamanya.

Semasa saya mula-mula menimbulkan perkara ini, 1MDB dan LTAT dalam kenyataan pertama mereka menafikan sekeras-kerasnya bahawa ada perkaitan di antara masalah kewangan 1MDB dengan kelewatan pembayaran caruman LTAT kepada pesara tentera. Malah, Pengerusi LTAT dengan terburu-buru mengugut untuk menyaman saya. 1MDB dan LTAT juga menafikan bahawa ada sebarang kelewatan pembayaran oleh 1MDB kepada LTAT dan semua bayaran adalah mengikut jadual.

Saya sertakan satu mukasurat dari Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1MDB yang kini masih beum dibentangkan kepada rakyat. Mukasurat ini secara khusus menunjukkan bahawa pengurusan 1MDB dan LTAT telah cuba menyembunyikan maklumat sebenar apabila saya mula-mula menimbulkan perkara ini.

Secara khusus, Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB dan keterlibatan LTAT di dalam 1MDB mengesahkan perkara-perkara berikut:

1.    1MDB RE (anak syarikat 1MDB yang membangunkan Bandar Malaysia) mempunyai masalah untuk membayar kontraktor penempatan semula (iaitu anak syarikat LTAT)

2.    1MDB RE telah menggunakan sejumlah RM288 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk dibayar kepada anak syarikat LTAT bagi tujuannya sendiri iaitu membayar faedah pinjaman

3.    Keputusan pengurusan 1MDB menggunakan peruntukan kerajaan sebanyak RM288 juta untuk membayar faedah pinjamannya tidak dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah 1MDB

4.    Pembayaran tuntutan oleh PPHM kepada 1MDB bagi kos pembangunan lima lokasi penempatan semula iaitu Pengkalan Udara Subang, Pengkalan Udara Sendayan, Pengkalan Udara Polis Subang, Rejimen Artileri Diraja Kem Kajang dan Pengkalan Udara Kuantan telah tertunggak sejak bulan Disember 2014 hingga September 2015. Nilai bayaran tertunggak dari 1MDB kepada PPHM sehingga September 2015 adalah berjumlah RM396.41 juta

Laporan Ketua Audit Negara yang saya tunjukkan pada hari ini jelas membuktikan bahawa keterlibatan LTAT di dalam projek 1MDB dan masalah kewangan 1MDB telah membawa kesan kepada kedudukan LTAT.

Saya mengulangi desakan saya sebelum ini supaya LTAT menyelesaikan tunggakan bayaran caruman kepada pesara-pesara tentera secepat mungkin.

Saya juga mendesak supaya tindakan diambil ke atas Arulkanda Kandasamy, CEO 1MDB yang mengeluarkan kenyataan yang cuba menyembunyikan perkara sebenarnya dari pesara-pesara tentera dan rakyat apabila saya menimbulkan isu ini minggu lalu.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN


---------------

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lembaga yg sama dalam tabong uji dan 1mdb

Ali berkata...

Lembaga hitam tu pengerusi TH la pulak...habis la duit tabung..