Jumaat, 25 Mac 2016

SATU JEMPUTAN






 


MALAM SENIN

JEMPUT DATANG 
 
 
DI AMPANG










MUAFAKAT SELAMATKAN MALAYSIA DI PADANG MPAJ, PANDAN INDAH PADA HARI ISNIN, 28 MAC 2016 8 MALAM

Pakatan Harapan akan memulakan siri perhimpunan “Muafakat Selamatkan Malaysia” di setiap negeri bermula dengan Lembah Klang pada hari Isnin, 28 Mac 2016 bermula jam 8 malam di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah.

Muafakat Selamatkan Malaysia pada 28 Mac 2016 ini adalah penting kerana ia adalah perhimpunan umum di luar dewan yang pertama sejak peristiwa Deklarasi Rakyat ditandatangani. Berbeza dengan acara Kongres Rakyat pada 27 Mac 2016 yang berbentuk tertutup dan hanya 1,500 orang jemputan dibenarkan hadir, Muafakat Selamatkan Malaysia mengumpulkan semua pimpinan dan aktivis pelbagai latar belakang dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk turun menzahirkan desakan agar Dato’ Seri Najib Tun Razak berundur.

Sekretariat Penganjur mengesahkan bahawa pihak polis (melalui Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya) telah dimaklumkan mengikut kehendak Akta Perhimpunan Aman. Sebanyak 400 kain rentang telah dipasang di seluruh Lembah Klang dan 50,000 risalah dicetak untuk diedarkan.

Berikut ialah maklumat-maklumat penting yang perlu diketahui orang ramai yang ingin menyertai Muafakat Selamatkan Malaysia pada 28 Mac 2016 kelak:

      i.        Lokasi
Muafakat Selamatkan Malaysia akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jalan Pandan Utama, Pandan Indah 55100 Kuala Lumpur.

Orang ramai digalakkan menggunakan LRT. Stesen LRT terdekat ialah STAR LRT Pandan Indah. Petugas Sekretariat akan berada di sepanjang jalan di antara STAR LRT ke Padang MPAJ untuk memberikan panduan arah kepada orang ramai yang hadir.

Bagi orang ramai yang memandu, lebuhraya terdekat ialah Jalan Lingkaran Tengah II (Middle Ring Road II). Jika anda memandu dari arah utara (Gombak) ke selatan (Sungai Besi), ambil MRRII dan keluar di persimpangan Jalan Pandan Utama (papan tanda Mahkamah Ampang, Hospital Ampang dan Menara MPAJ). Jika anda memandu dari arah selatan (Sungai Besi) ke arah utara (Gombak), ambil MRRII dan buat satu pusingan-U selepas Tesco Ampang, kemudian keluar di persimpangan Jalan Pandan Utama.

Kawasan-kawasan yang disediakan untuk parkir akan diumumkan pada hari Sabtu, 26 Mac 2016. Sekretariat Penganjur menyediakan 50 orang pembantu trafik untuk membantu parkir.

Orang ramai digalakkan hadir seawal mungkin memandangkan kemungkinan trafik yang sesak.

    ii.        Masa dan Acara
Program akan dimulakan tepat jam 8 malam dan dihentikan selewat-lewatnya 1130 malam. Sekretariat Penganjur telah menghantar surat kepada Prasarana Malaysia untuk melanjutkan tempoh masa operasi keseluruhan LRT sehingga 1230 malam pada hari itu.

Acara akan diselang selikan dengan ucapan pendek pimpinan/tokoh/aktivis, nyanyian, sajak dan video ke arah kemuncak ucapan-ucapan pimpinan utama menjelang jam 1045 malam.

   iii.        Lagu Tema
Saudari Wan Aishah Wan Ariffin (Aishah) akan mendendangkan satu lagu patriotik yang disusun semula khas untuk Muafakat Selamatkan Malaysia. Satu lagu baru akan dilancarkan kemudian sebagai “single” bersama-sama dengan lagu patriotik ini dan dijual kepada orang ramai.

   iv.        Kehadiran pimpinan
Jemputan telah dihantar kepada pimpinan politik dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan PAS. Jemputan juga dihantar kepada aktivis reformasi, penggiat media, sasterawan, pimpinan NGO dan lain-lain. Senarai penuh kehadiran akan diedarkan kepada media dan orang ramai pada hari Ahad, 27 Mac 2016.

     v.        Keselamatan dan Petugas
Selain dari 50 pembantu trafik, kelancaran dan keselamatan program akan dibantu oleh 100 orang petugas dari Skuad AMK, ARIF dan sukarelawan dari Pandan.

Saya menyeru seberapa ramai rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan bersetuju dengan misi Selamatkan Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai Muafakat Selamatkan Malaysia di Padang MPAJ, Pandan Indah pada 28 Mac 2016 ini. Moga ia menjadi pencetus kepada gelombang kebangkitan rakyat yang boleh menyedarkan Najib bahawa masa untuk beliau berundur sudah sampai.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN-------

Tiada ulasan: