Rabu, 9 November 2016

SUASANA LUARAN & DALAMAN



SUASANA LUARAN & DALAMAN

Dalam tulisan-tulisan yang lalu saya telah menerangkan beberapa teori dan pratik politik jalan raya. Pola dan ciri-ciri politik jalan raya  tidak samestinya muncul sedondon. Ada perbezaan  dari negara  ke negara - dari kota ke kota - dari wilayah ke wilayah. Pengaruh dan suasana tempatan memainkan peranan yang penting. 

Suasana politik yang wujud pada ketika itu akan membantu kejayaan politik jalan raya. Suasana ini bukan hanya ‘ambiance’ - ianya lebih dari itu. Suasana yang saya maksudkan ialah real politik ketika itu. Real politik yang sedang berjalan ketika politik jalan raya disusun. Malah politik inilah juga yang boleh memangkin dan membantu kejayaan politik jalan raya.

Politik juga macam kita memasak.  Kita memerlukan semua ramuan yang tepat dan betul. Saperti kita membuat rendang itik - semua rempah rampai, semua lada dan asam,  serai da santan telah tersedia sebelum itik direndang.

Jika ada rempah ratus tercicir, jika santan dan serai tidak bersama maka rendang itik kita  tempang.  Rendang itik yang kita idam-idamkan meleset gagal.

Justeru, wajib disedari bahawa Revolusi Iran  memiliki  ciri-ciri dan pola tersendiri. Politik jalan raya yang menjatuhkan Marcos  atau Suharto  atau Mubarak atau Zainal Abidin ada rupa bentuk dan pensejarahan tersendiri. Ketersendirian ini wujud dari suasana  dan suhu politik satempat.

Dalam masa yang sama ada pola ciri dan hukum-hukum yang sama antara setiap negara ini. Hukum dan syarat inilah yang boleh kita pelajari untuk kita memahami bagaimana politik jalan raya berjaya di negara-negara ini. Kejayaaan inilah yang kita cuba rayakan.

Tulisan-tulisan saya yang lalu cuba mencari apakah hukum dan pola-pola itu hingga boleh mewujudkan  teori dan pratik politik jalan raya. Saya telah merakamkan asas teori politik jalan raya:

1 - penggalangan barisan bersatu yang luas
2 - satu tuntutan kompak untuk semua
3 - garis politik tepat yang memimpin
4 - membaca politik dengan tepat
5 - suasana luaran /antarabangsa

Suasana luaran antarabangsa  ini bukan hanya  laporan CNN, The New York Times atau The Wall Street Journal. Laporan media luar negara ini amat penting terutama di Malaysia di mana media tidak bebas. Laporan media dunia ini akan membantu memberi semangat kepada para penyokong politik jalan raya. 

Jika demo kita mendapat laporan CNN, jika mendapat laporan BBC atau ABC atau News Chanel Asia - ini bererti aksi politik yang kita lakukan memberi makna politik. Bukan omong kosong. Ini membarakan lagi semangat.

Media luar negara juga membantu kita kerana media yang wujud di Malaysia hampir ke semuanya begenre bodek. Media Malaysia   dimiliki oleh Cukong MCA atau oleh jaringan syarikat kerabat gerombolan United Malaya National Organisation.

Media bergenre bodek tidak memberi maklumat yang tepat. Mereka kaki putar alam. Tapi ianya ada  memberi satu yang positif untuk kita. Mereka terus menerus menyerang politik jalan raya.

Serangan terhadap kita ini adalah serampang dua mata. Pertama ianya membuktikan kita  sedang melakukan kerja politik yang betul. Musuh menyerang kita kerana kita berjaya mendobrak nadi jantung musuh. Justeru mereka mempertahankan diri dengan menyerang kita. 

Jika kita tidak diserang ertinya kita kini hanyalah satu kumpulan manai. Ertinya kita telah jadi hampeh. Ertinya musuh tidak takut dengan kita. Ertinya kita tidak efektif. Ertinya kita telah sama selari dengan musuh justeru musuh tidak lagi menyerang. 

Bilamana media musuh - Utusan atau TV3 - memberi liputan - maka jelas kita dengan musuh telah bersama. Atau kita telah menawarkan diri untuk menjadi talibarut musuh. Atau peha kita telah terkangkang untuk bersedia menjadi penasehat  atau penyedap musuh.

Sayugia disedari bahawa serangan dari media musuh ini juga memberika kita publisiti. Jangan risau dalam alam propaganda - dalam alam perang - apa saja yang tercetak untuk dibaca umum akan membantu.  Berita kutukan dari media musuh akan memaksa  penyokong kita mencari maklumat yang tepat untuk mengetahui apa yang kita buat. Penyokong pasti akan mencari maklumat yang lebih tepat tentang kesahehan berita. 

Jangan lupa serangan musuh akan meninggikan lagi tahap juang penyokong politik jalan raya. Ini hukum sosial. Sebanyak mana kita di serang sebanyak itulah akan lahir perlawanan.

Bayangkan jika Mat  Ikan Tongkol tidak menyerang maka pasti BERSIH5 tidak sagempaq ini. Serangan musuh ini memperkuatkan akidah dan gaya kerja kaum kerabat Bersih.  Kini satu Malaysia - malah media dunia akan berbondong-ondong turun pada 19 haribulan Npovember ini nanti. Semua ingin melihat apa akan terjadi di Dataran Merdeka. Apakah kita perlu berterima kaseh Mat Ikan Tongkol?

Secara jujur saya katakan - saya akan kecut hati. Saya gusar gundah gulana tak dapat tidur nyenyak  jika Ketua Twitter Negara opps.. Ketua Polis Negara, jika OCPD Dang Wangi, jika Zahid Hamidi, jika Nur Jazlan, jika Khairy Jamaludin, jika Muhamad Azalina - tidak berkata apa apa  tentang Bersih. Dan tidak menyerang Bersih5.

Kalau malaon-maloan ini tidak ambil pot tentang Bersih5 ertinya Bersih5 ini adalah hampeh sama setaraf dengan  Parti Bowtie atau Parti Cinta Malaysia atau Parti Umat Islam SeMalaya, atau kumpulan PKPIM atau GAMIS. Jika Bersih tidak diserang maknanya telah sampai masanya Bersih gulung tikar tutup kedai.

Yakinlah, musuh  yang menyerang telah menimbulkan suasana yang sehat lagi rancak untuk memajukan politik jalan raya.

Jelas apa yang telah saya tulis kelihatan tuntas.  Apa yang saya tulis memperlihatkan pada Sabtu 19 November nanti kita akan ada kerajaan baru. Sabar dulu. Bertenang dahulu. Ini anggapan salah.

Ada satu lagi pekara yang amat penting sebelum politik jalan raya berjaya untuk dirayakan. Apakah pekara itu?

Apa yang saya tulis disini penting. Tapi para pembaca wajib melakukan penyelidikan sendiri untuk memahami lebih teperinci. Dalam tulisan-tulisan ini saya hanya menyebut nama-nama dan naratif. Untuk kajian mendalam wajib bertanya dengan Tuan Lebai Google.

Dari Mesir saya saya membawa naratif - Mohamed Hassanein Heikal ketua pengarang akhbar Al-Ahram Mesir. Heikal telah menulis buku Iran The Untold Story pada tahun 1982.  Dalam buku ini ada satu babak dimana dikesahkan  bagaiman Shah Reza Pahlevi telah bersedia untuk membantai sebanyak mungkin para demonstran yang turun  ke jalan raya di Tehran.

Shah telah mengarahkan bala tentera bersedia  untuk menembak dan membunuh. Tetapi Shah sedar  dia memerlukan sokongan  dari  Amerika. Ketika itu Jimmy Carter duduk di Rumah Puteh.

Mengikut Heikal  - Raja Segala Raja ini telah menalipon Carter. Bayangkan betapa terkejutnya  Ahmad  Reza Pahlevi apabila yang menjawb bukan Carter tetapi pembantu Presiden.
‘ Sorry, your Royal Highness, The Presiden  sedang berehat di Camp David dan dia TIDAK mahu diganggu….”

Inilah kata-kata akhir dari Rumah Puteh. Kata-kata akhir ini adalah ledakan nuklear yang memusnahkan Tahtha  Burung Merak milik Reza Pahlevi yang dinobatkan oleh CIA pada tahun 1953.

Dari Tehran mari kita ke  Jakarta. Pada 12 Mei 1998 empat mahasiswa dari Universiti Trisakti ditembak mati oleh soldadu. Trisakti adalah universiti elit tempat anak orang kaya-kaya  belajar. Ketika  trajedi ini berlaku  ketua tentera  Suharto ialah General Wiranto.

Hingga ke hari ini tidak diketahui siapa yang melepaskan dan memberi arahan tembak ini. Trajedi Trisaktgi menjadi ledakkan nuklear yang menjatuhkan Tuan Haji Ahamad Suharto yang  telah dinobatkan oleh  CIA dari tahun 1965.

Kemudian mari kita lihat apa yang berlaku di Manila pada tahun 1986.  Marcos telah menipu dalam pilihan raya. Rakyat telah keluar ke jalan raya.  Untuk meneruskan kuasa Marcos telah bersedia untuk membantai para demonstran.

Sama saperti Shah,  Marcos juga didokong dan dinobatkan oleh Amerika. Justeru Marcos perlu mendapat sokongan  Rumah Puteh. Marcos telah menalipon Senator  Paul Laxalt kawan baik Presiden Regan untuk mendapat sokongan Amerika. 

Jawab Sang Senator ‘… cut and cut clean’.

Lalu, Presiden Marcos meminta General Juan Ponce Enrile rakan setia dirinya  untuk membawa kereta kebal ke pusat kota Manila. Tetapi  General Enrile telah enggan mengikut kata Marcos. Ini menjadi ledakan nuklear untuk Marcos.

Apa sabenarnya naratif yang saya paparkan ini? Apa makna naratif ini dalam kontek teori politik jalan raya?
Naratif ini menunjukan bahawa  disetiap kejayaan politik jalan raya - para  elit politik dan elit pemerentah telah pecah. Para elit telah bergaduh  sesama sendiri  ketika rakyat turun ke jalan raya.

Jutaan rakyat di Tehran, di Manila , di Jakarta, di Cairo, di Tunis - telah menakutkan gulungn elit. Rakyat di jalan raya sedang memberi tekanan. Para elit takut apa yang akan berlaku. Pada hemat Wiranti adalah lebih baik Suharto diterajang. Pada hemat Enrile adalah lebih molek Marcos dinyahkan dari Pilipina. Pada hemat Amerika adalah lebih baik Ahmad  Reza dibungkus hilang.

Elit politik dan elit ekonomi kembali kepada asas  wujudiah manusia. Manusia wujud untuk kepentingan  diri.

Lihat apa yang terjadi sesudah  politik jalan raya berjaya. Sah , Wiranto memiliki cita-cita politik. Sah, Enrile juga memiliki cita-cita politik. Dua bengolan ini   telah bertanding untuk menjadi Presiden sesudah Suharto dan Marcos lingkup. 

Pasti Wiranto berfikir : jika aku arahkan bunuh rakyat mungkin  aku lingkup dibaham rakyat lebih baik Suharto yang lingkup. Aku boleh jadi pengganti Suharto.

Pasti Enrile juga berfikir : dari aku membunuh jutaan rakyat Pilipina lebih baik Marcos disingkir. Aku selamat dan aku boleh menjadi pengganti Marcos.
Ini hujah dalam kepala para  general - para elit yang memerentah. Apa pula  kepentingan Jimmy Carter?  Bagaimana pula perhitungan Ronald Reagan? Tunggu minggu hadapan. (TT)

NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45



------------

Tiada ulasan: