DARI LOKAP KE LOKAP
Lokap Dang Wangi bukan satu yang asing untuk saya. Pada petang Sabtu 24 Oktober 1998 saya telah ditangkap dan dituduh sebagai Dalang Reformasi. Saya ditangkap disebelah Komplek Pertama Jalan Tuanku Abdul Rahman kerana sama berdemo menyokong gerakan rakyat untuk menjatuhkan Mahathir Muhamad dan United Malays National Organisation.
Saya dibawa ke PULAPOL kemudian dibawa ke lokap Dang Wangi. Ini lokap Dang Wangi yang ori. Lokap ori hancing dan kotor. Hapak bau kencing. Kami berasak-asak dalam sel yang sempit.
Pada 19 November 2016 yang lalu sekali lagi - kali ketiga - saya dimasukkan ke lokap Dang Wangi. Kali ini lokap baru. Rumah pasong Dang Wang telah diperbaharui. Moden, canggih dan bertingkat-tingkat.
Walau apa pun, saya rasa amat bernasib baik kerana telah pernah bermalam di Dang Wangi Ori. Pasti tidak ramai ‘Oltai Reformasi’ macam saya yang bernostalgia dengan bilik lokap lama.
Di Dang Wangi - kami empat orang - YB Howard, Fahmi Reza, Datuk Armand dan saya. Kami dimasukkan ke koridor bilik menanti. Koridor ini kemudian dikunci. Kami melepak diatas lantai. Fahmi baring tidur.
Saya perhatikan diluar jeriji besi ada empat atau lima orang polis lelaki dan perempuan dikoridor lokap. Ada beruniform ada yang tidak. Mereka tidak ambil pot bila kami masuk. Untuk mereka ini pekara biasa. Yang keluar dan yang masuk lokap adalah rutin harian. Tidak ada apa yang menarik.
Justeru, mereka semua mondongakkan kepala melihat kaca tv yang tersangkut didinding. Entah apa yang mereka tonton.
Tetiba seorang polis tanpa uniform dengan serious membuka pintu koridor. Dia terus mengarahkan kami masuk ke bilik khas. Dengan garang dia mengarahkan kami membuka kasut dan mengeluarkan semua yang ada dalam poket. Barang-barang ini diletakan diatas lantai.
‘Rokok dan lighter… tak boleh bawa masuk..’ Dia bersuara kuat dan garang.
Barang-barang kami dipereksa satu persatu. Dalam dompet YB Howard ada beberapa keping duit luar negara. Sang Polis tertarik dengan Dolar dan Euro. Dia membelek-membelek.
‘ Ini kes Bersih…berat ini… kurang-kurang empat lima hari disini…’ Sang Polis cuba menakut-nakutkan kami. Saya hanya tersenyum.
‘ Boleh bagi hadiah… aku tak pernah lihat duit rupa ini..’ Kami semua senyap. Sang Polis terus membelek dompet YB Howard.
Pintu bilik ini terbuka luas. Saya ternampak seorang lagi polis beruniform sedang cuba menarik perhatian Sang Polis yang tercegat dihadapan kami. Polis diluar menggamit-gamit tapi gagal mendapat respon. Sang Polis terus membelek dompet dan meneliti duit luar negara milik YB Howard.
Akhirnya saya bersuara dan memberitahu bahawa diluar ada teman memanggil. Sang Polis menoleh dan bergegas keluar.
Polis beruniform membisikkan sesuatu. Sang Polis mengangguk-angguk. Kami berempat tercegat berdiri berpandangan sesama sendiri.
Sang Polis masuk kembali. Bengis dan marahnya tetiba hilang. Sang Polis menjadi lembik. Dia tersenyum menyeringai sampai ke telinga. Saya yakin dari bisikan tadi Sang Polis ini telah diberitahu siapa kami sabenarnya.
‘ Ini Datuk Armand, dia ni exco Pemuda Umno Nasional ..orang kuat Khairy Jamaluddin, ini YB Howard dari Ipoh, ini Fahmi Reza dan saya Hishamuddin Rais.’ Saya menerangkan dengan suara kuat sajelas mungkin. Sang Polis merapati Datuk Armand dan terus berjabat salam dan kemudian memelok Armand Baju Merah.
Saya tahu apa sebenar-sebenarnya telah berlaku. Untuk mereka yang belum pernah masuk lokap biar saya terangkan. Dalam lokap mana pun di Malaysia ini semua boleh diuruskan. Jika ada dinar dan riyal semua boleh diatur.
Sang Polis tadi sebenarnya cuba membuat ‘ perniagaaan kueh pau’ dengan kami. Dia mahu tahu apakah kami ada duit atau tidak. Justeru dompet kami dilihat. Tetapi ‘ projek niaga kueh pau ‘ ini telah digagalkan apabila dia diberitahu siapa kami ini sabenaranya. Amin.
Tetiba pintu koridor dibuka. Muncul Lelaki Rambut Panjang memakai baju T Bersih5. Entah dari bilik mana dia muncul. Pada hemat saya dia pasti ditangkap kerana berdemo.
‘ Ramai lagi ke ditahan disini?’ saya bertanya.
‘ Sorang saje..’ Jawapan lelaki Tionghua berumur tiga puluhan ini. Lalu saya bertanya itu dan ini. Dia pula mula bersurah.
Dia ditangkap berhampiran Dataran Merdeka. Sebelum demo bermula. Dia cuba menaikkan drone berkamera tak jauh dari kawasan larangan Dataran.
‘ Drone dirampas… dua puluh ribu ringgit harganya…’ Suaranya sedih. Dia bersurah lagi. Waktu Bersih4 tahun lalu dia juga ada mengambil gambar dengan drone. Katanya dia berjaya mengambil banyak gambar Bersih4. Kali ini dia cuba melakukan sekali lagi.
Tapi kali ini nasib Si Mamat ini kurang baik. Orang ramai belum sampai ke Dataran. Dia kesaorangan. Dia memakai baju Bersih5. Ini betul-betul cari bahaya. Polis datang terus dia dicekup. Drone belum sempat naik ke udara. Dia kelihatan sedih dan sayu kerana dronenya dirampas.
Tak sampai 30 minit Si Mamat Tionghua ini bersama kami - nama dia dipanggil. Dia dibawa keluar untuk dimasukkan ke dalam lokap. Kemudian nama kami pula dipanggil. Kami diminta menukar pakaian. Tidak ada bilik khas. Pandai-pandai sendirilah dimana wajib berbogel dan berusaha untuk menyorokan Punai masing-masing.
Semua barang pribadi - dompet, cincin, jam tangan dll - ditulis dan ditinggalkan diluar.
Pintu lokap dibuka. Ini lokap moden. Ada kipas angin. Bilik pertama kiri dan kanan kelihatan penuh. Ramai yang sedang dilokap. Semua memakai baju OKT - ada warna oren ada warna unggu. Saya perhatikan dalam lokap di Malaysia ini semua bangsa ada. Anak semua bangsa ditahan.
Sekali imbas China, Melayu , India semua terkumpul dengan nasib yang sama dalam satu lokap. Ternampak juga wakil dari Bangla. Mata saya liar mencari-cari. Tapi yang jelas tidak ada Mat Nigeria bersama kami.
Tidak macam kali kedua saya bermalam dilokap Dang Wangi. Ketika itu penuh dengan Negro dari Senegal. Mungkin tahun 2000 ada operasi tangkap ‘gagak’ kerana terlalu banyak jenayah yang dilakukan oleh warga Afrika ketika itu.
Kami dibawa oleh polis ke lokap besar dibahagian belakang. Ada banyak sel kosong. Kami dimasukan ke sel besar walau pun kami hanya berempat. Saya tahu pihak polis tidak mahu kami dimasukkan untuk bercampur bersama OKT yang lain. Polis takut kami akan beri tarbiah politik. Saya pula akan terus menghasut para OKT agar membenci kerajaan. Ini tugas suci saya. Dimana saya berada saya tidak akan berhenti menghasut.
Hasutan dan tarbiah politik telah pernah berlaku dizaman reformasi. Ketika reformis ditahan kami dimasukkan bersama OKT jenayah. Konon untuk menyeksa kami agar takut dan jeran dengan penjara.
Pihak polis silap besar. Bila masuk ke sel saya terus mengajar para OKT yang lain menyanyikan lagu Suara Rakyat. Lokap menjadi hingar bingar. Malah saya difahamkan ketika Adam Adli dan Mandeep Singh ditahan kerana kes Kita Lawan tahun lalu - mereka telah dimasukkan ke dalam sel OKT jenayah. Ini peluang besar. Malam itu lokap Jinjang bergenaung dengan lagu-lagu anti Najib dan Rosmah. Esoknya mereka dipindahkan.
Polis juga mengumpul pengalaman. Sekarang OKT politik akan terus diasingkan dari sel OKT jenayah. Tidak lagi bercampur.
Akhir kami dimasukkan ke dalam sel pertama yang memang luas. Sel ini mungkin untuk 10 atau 15 OKT. Saya dengan cepat memeriksa pili air. Untuk untuk memastikan kami ada air atau tidak. Ini saya belajar dari pengalaman. Bukan semua pili dalam lokap ada air.
Tuntas. Lokap ini tidak ada air. Saya bersuara kepada Polis yang membawa kami dan menyatakan yang sel ini tidak ada air. Si Polis berkata yang kami boleh pindah ke sel lain. Dia tidak akan mengunci sel kami. Dia akan kunci pintu besar - kami bebas untuk memilih sel yang ada air. Akhirnya sel paling belakang dan terbesar jadi pilihan kami. Sel ini ada air. Lalu kami berpindah.
Ketika berpindah saya telah mengambil beberapa botol plastik yang kosong yang bersepah dalam sel. Saya juga mengumpul kertas dan plastik dimana saje terjumpa. Saya pungut satu persatu. Kawan-kawan yang lain tidak tahu apa yang sedang saya lakukan.
Kami terus duduk melepak dalam sel. Jam telah lewat. Kami telah melintasi waktu makan malam. Tapi kami ada bekalan kami air dalam botol plastik.
Dalam keadaan tenang ini saya ingin memberi kuliah. Ini kerana taraf saya tinggi dalam hal jil , penjara dan lokap. Kalau di sekolah asrama penuh - saya ini bertaraf ‘senior’. kalau di Universiti Malaya Kolej Ke Lima tahun 70’an saya bertaraf ‘ senior gentelman’.
Malah secara jujur saya nyatakan jika ada hadiah - sosok yang paling banyak kali masuk penjara - saya yakin saya akan menang tanpa saingan. Jika banyak kali masuk penjara akan mendapat Hadiah Nobel - saya yakin saya akan dianugerahkan hadiah Nobel.
‘ Dalam lokap.. dalam penjara… warder atau polis kita panggil Cik Gu….’ Saya memulakan kuliah.
‘ Ini bahasa penjara atau datang dari bahasa Mat Pet di Pusat Serenti.’
‘ Yang boleh tolong … kita panggil Cik Gu Tukang Payung…. Yang pereksa dompet tadi sabenarnya dia nak buat ‘deal’.Dia Cik Gu baik. Cara senang kita tinggalkan duit pada Cik Gu tadi dan dia akan dapatkan apa yang kita mahu…’
Kelihatan semua mendengar baik apa yang terangkan. Tetapi saya tak mahu bersyarah panjang. Kerana tersandar dinding sel dihadapan saya ialah Datuk Armand Azaha Abu Hanafiah - nama tepatnya. Dia adalah seorang ahli Exco Pemuda parti United Malaya National Organisation. Armand juga terlibat dan memimpin Kumpulan Baju Merah. Dia ditangkap bersama kami pada Sabtu 19 November 2016.
Agaknya apa akan berlaku dalam sel salepas ini? Tunggu minggu hadapan. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
---------------
4 ulasan:
Terima kasih. sy tunggu Rabu depan.
Potong stim betul lah lu ni
Memang potong stim laa dah berapa minggu gua pancut tak lepas² lagi.. harap minggu depan dah boleh pancut lah
ciss...tungggu lagi..menunggu ini berat bro..ibarat pungok rindukan bulan..ibarat najib rindukan altantuya..ibarat rosmah rindukan birkin manhattan..ibarat zahid inginkan jadi perdana munteri..ibarat jamal jamban menunggu jawatan menteri belia dan sukan..ibarat 52% rakyat malaysia menunggu najib rosmah dipenjarakan di las vegas...ibarat ulama rindukan bidari bermata duitan rm90juta..kahkahkah...
Catat Ulasan